Sabtu, 01 Februari 2014

"Rekonsiliasi Nasional" Hanya Untuk Selamatkan Najib Dari "Isu Kangkung"


Perbincangan rekonsiliasi selamatkan Najib daripada disingkir? 

Tawaran pendamaian Pakatan Rakyat (PR) dengan saingannya Barisan Nasional (BN) bagi menyelesaikan masalah perkauman dan ekonomi juga dapat membantu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak daripada musuh dalamannya yang mahu menyingkirkannya. 

Pemimpin kanan PR membuat spekulasi tawaran berunding bagi mencari persamaan berhubung isu peningkatan kadar inflasi, jenayah dan rusuhan kaum membantu Najib menangani puak ultra Melayu yang wujud di dalam Umno.

Pada masa sama, Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli menyifatkan percaturan di Kajang meskipun tidak popular dapat mengukuhkan kebolehan Najib memulakan rundingan pendamaian dengan PR.

Rafizi adalah “arkitek” dalam pencaturan Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Kajang bagi membolehkan ketua pembangkang itu dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor yang dikatakan kemudiannya akan mengambil alih jawatan menteri besar.



Rafizi mengandaikan persetujuan Najib untuk rundingan pendamaian adalah sebagai penyelamat bagi puak yang cuba menjatuhkan kedudukan perdana menteri itu.

"Anwar konsisten sejak awal lagi (berhubung rekonsiliasi). Bukannya kerajaan perpaduan. Biarkan pendekatan politik yang menentukan.

"Tetapi di sana ada kebuntuan. Najib melengahkannya dan menunggu keadaan yang sesuai. Saya berani mengatakan percaturan di Kajang memberi peluang kepada Najib untuk melihat perubahan.

"Jika kami menolak tawaran rekonsiliasi maka kami akan dilihat kehilangan sentuhan kerana PR melihat isu ini secara serius," katanya kepada The Malaysian Insider.

Najib tempoh hari mengumumkan BN terbuka kepada dialog dua hala dengan PR, tiga hari selepas Anwar mengulangi tawaran rekonsiliasi.

Tawaran Anwar meminta kedua-dua belah pihak mencapai konsensus nasional berhubung ketegangan hubungan antara kaum yang disifatkannya pra 13 Mei.

Sehari selepas ucapan Anwar itu, Adun PKR Lee Chin Cheh meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada Anwar.

Rafizi berkata, kedudukan Najib perlu diperkukuhkan bagi membolehkan perdana menteri itu mengukuhkan rasa tidak adil dan ekstremis dalam Umno.

Katanya, sejak pilihan raya umum lalu, doktrin Umno yang mengutamakan sokongan Melayu Islam telah mengenepikan suara pengukuhan etnik dan kerajaan pelbagai kaum.

Ini berlaku sejak banyak kerusi yang dimenangi Umno di kawasan majoriti Melayu di kawasan pedalaman negara.

"Doktrin kerajaan berdasarkan satu kaum telah dipromosikan oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Saya tidak bercakap demi kepentingan Najib tetapi membina kepercayaan Umno terhadap pengukuhan kerajaan Malaysia.

"Beliau telah diserang secara dalaman kerana mengutamakan kaum minoriti," katanya. -TMI

Tidak ada komentar:

Posting Komentar