Tampilkan postingan dengan label ZAHID HAMIDI. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label ZAHID HAMIDI. Tampilkan semua postingan

Selasa, 17 Desember 2013

Syiah: Peguam Mohd Sabu beri tempoh 3 hari kepada Zahid


Syiah: Peguam Mohd Sabu beri tempoh 3 hari kepada Zahid
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu hari ini menyerahkan kepada panelpeguam PAS untuk mengambil tindakan mahkamah ke atas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung dakwaan Syiah.
Beliau berkata, barisan peguam akan memfailkan saman ke atas Zahid sahaja yang juga Naib Presiden Umno, kerana pencetus fitnah ke atas dirinya.
"Saya hari ini menyerahkan kepada panel peguam untuk mengambil tindahan ke atas Zahid berhubung ucapan beliau pada Perhimpunan Agung Umno yang mengaitkan saya sebagai pemimpin Syiah.
"Peguam hanya akan bertindak ke atas Zahid sahaja kerana beliau merupakan pencetus fitnah tersebut, yang bagi saya didasari niat jahat untuk menjatuhkan maruah dan integriti saya," jelas beliau pada sidang media di Pejabat Agung PAS sebentar tadi. (Gambar atas)
Beliau mengambil keputusan untuk tidak akan memberi sebarang kenyataan berhubung dakwaan Syiah sehinggalah perkara tersebut dibawa ke mahkamah.
Mohamad juga meminta agar panel peguam meneliti ucapan Zahid pada perhimpunan tersebut yang mana wujud penyalahgunaan kuasa sebagai Menteri Dalam Negeri.
"Beliau dalam ucapanya menyatakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memberi kuasa kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mengambil tindakan ke atas saya.
"Saya yakin ini satu bentuk penyalahgunaan kuasa kerana semua tahu Jakim bukan terletak di bawah bidang kuasa KDN, maka atas dasar apakan KDN boleh dengan secara arbitrari memberi kuasa kepada Jakim untuk bertindak," katanya.
Beliau juga akan membuat satu laporan polis terhadap Zahid atas kenyataan  yang tidak bertanggungjawab dan berharap pihak polis dapat menjalankan tanggungjawab seadil yang mungkin.
Sementara itu, Peguam Mohamed Hanipa Maidin memberitahu pihaknya akan menghantar notis kepada Zahid seberapa segara untuk menarik balik dan memohon maaf dalam masa tiga hari.
Katanya, notis tersebut hanya ditujukan kepada Zahid dan tidak melibatkan KDN.
"Notis kita hanya tertumpu kepada Zahid saja bukan melibatkan KDN, sebab bagi kita Zahid merupakan pencetus kepada fitnah tersebut," jelasnya yang juga Ahli Parlimen Sepang.
Beliau tidak mengulas tentang bukti yang dikemukakan oleh KDN dan berharap jika Zahid mahu membuktikannya perlu dibawa ke mahkamah.
"Zahid telah memfitnah dan kita harap beliau dapat buktikan apa yang beliau katakan Mat Sabu sebagai pemimpin Syiah, tunjukkan bukti, Syiah itu mengancam keselamatan negara, sila buktikan apa yang telah berlaku dan Mat Sabu sesat, kita juga mahu bukti.
"Kalau ada kenyataan mengatakan bukti gred A atau B, biar mahkamah yang menentukan bukannya mereka yang membuat kenyataan.
"Kita tidak akan menyaman KDN tetapi kita ingin bertemu Zahid di mahkamah," tegas beliau.
Beliau berkata, Zahid sebagai menteri tidak boleh menggunakan kuasa untuk mengarahkan pihak tertentu kerana setiap siasatan dilakukan melalui laporan yang dibuat bukannya secara arahan terbuka dan fitnah.
Turut hadir pada sidang media tersebut adalah Peguam Nasar Khan Mirbas Khan dan Aminuddin Zulkifli. - Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata beliau akan membuat laporan polis ke atas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana mendakwanya sebagai pengikut Syiah, sebelum memfailkan saman fitnah.
Bercakap pada sidang media di ibu pejabat parti itu di sini Selasa, Mohamad mendakwa Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, adalah dalang di sebalik tuduhan yang berniat jahat untuk menjejaskan maruah dan integriti beliau.
"Peguam saya turut meneliti ucapan Zahid yang mengaitkan saya dengan Syiah dan saya percaya berlaku penyalahgunaan kuasa daripada pihaknya," kata Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu.
Dalam ucapan penggulungannya pada perhimpunan agung Umno baru-baru ini, Zahid berkata PAS telah memilih pengikut Syiah sebagai pemimpin No.2 PAS dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi kuasa kepada Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) untuk bertindak.
Mat Sabu menyifatkan kenyataan itu sebagai 'penyalahgunaan kuasa' kerana Jakim bukan di bawah bidang kuasa KDN dan oleh itu, ia tidak mempunyai asas untuk mengambil tindakan terhadapnya.
"Insya-Allah, saya akan membuat laporan polis terhadap Zahid di atas kenyataannya yang tidak bertanggungjawab. Saya berharap polis akan bertindak secara profesional tanpa rasa takut atau berat sebelah ketika menjalankan siasatan," kata Mat Sabu.
Mat Sabu turut berkata, beliau tidak akan memberi sebarang kenyataan mengenai perkara tersebut selepas ini sehingga ia dibawa ke mahkamah oleh peguamnya.
"Bermula hari ini, saya akan menyerahkan perkara itu kepada peguam saya dan tidak akan memberi sebarang penjelasan atau kenyataan berhubung isu ini. Saya tidak akan melayan perkara ini sehingga ia dibawa ke mahkamah," katanya.
Peguam Mat Sabu, Mohamad Hanipa Maidin, yang turut hadir berkata, satu surat tuntutan telah dihantar kepada Zahid pada minggu ini yang meminta beliau untuk memberi maklum balas dalam tempoh tiga atau empat hari.
"Kami belum membuat keputusan tetapi kami akan menghantar surat tuntutan yang meminta beliau supaya menarik balik kenyataannya dan meminta maaf. Jika tiada maklum balas, kami akan membawa perkara ini ke mahkamah," kata Hanipa, yang juga Ahli Parlimen Sepang.
Beliau juga berkata, tiada keperluan untuk Mat Sabu menafikan 10 bukti yang didedahkan KDN pada minggu lalu kerana ia tidak relevan.
"Mengikut undang-undang, beban bukti tiada pada Mat Sabu. Beliau tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah. Jika dia (Zahid) mempunyai kesemua bukti, bawa bukti itu ke mahkamah dan pertahankan justifikasinya," kata Hanipa.
Pada minggu lalu, KDN dilaporkan sebagai berkata, meminta Mat Sabu untuk tampil dan menyangkal bukti yang mengaitkannya dengan ajaran Syiah.
"Tiada istilah konsep menyangkal dalam undang-undang. Ia sama ada anda membuktikan ia atau tidak. Itu saja," katanya.- mStar

Senin, 16 Desember 2013

Peringatan kepada Zahid Hamidi: KDN bukanlah tanah subur untuk bermain POLITIK

Peringatan kepada Zahid Hamidi: KDN bukanlah tanah subur untuk bermain POLITIK
Walau apa pun alasan di sebalik dakwaan yang dilakukan oleh Kementerian Dalam Negeri dan menterinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terhadap Timbalan Presiden PAS yang dikaitkan dengan fahaman Syiah, agenda politik kenapa dakwaan itu dibuat adalah paling tepat sekali. Selain mahu menghancurkan PAS dan memastikan sokongan Melayu luar bandar kekal milik Umno, ia juga dipercayai mahu meningkatkan lagi reputasi Zahid yang kini memegang jawatan Naib Presiden Umno.
Di sebalik 10 bukti yang didedahkan, tidak ada satu pun yang menjurus kepada mengancam keselamatan negara. Sejak dua penggal menjadi orang nombor dua dalam PAS, tidak pernah sekali pun aksi atau perbuatan ke arah militan yang diketuai oleh Mat Sabu dalam parti itu. Beliau hanya dilihat hebat berceramah dengan menentang Umno dan kerajaan dengan hujah dan fakta yang mudah diterima oleh orang ramai sehingga ceramahnya tidak pernah ketandusan hadirin.
Dalam masa yang sama, jika benar Syiah itu bahaya dan mengancam, kenapa penyebarannya secara menyeluruh tidak dibanteras. Sementara Zahid berbangga memberitahu Perhimpunan Agung Umno bahawa Pendaftar Pertubuhan menolak penubuhan Majlis Syiah Malaysia, tetapi orang yang mahu mendaftarkan pertubuhan itu tidak pula disoal atau ditahan.
Sekali lagi, jika benar Syiah itu bahaya dan mengancam keselamatan negara, kenapa tidak ditahan saja Abdullah Hassan yang terang-terang mengakui sebagai ketua Syiah peringkat negeri Kedah?
Begitu juga, di pusat-pusat pengajian tertentu turut dikenal pasti sebagai tempat menyebarkan fahaman Syiah, kenapa tidak pernah kedengaran Zahid dan KDN bertindak? Kenapa hanya Mat Sabu yang dijadikan sasaran?
Jawapannya sangat mudah iaitu politik.  Zahid melihat dengan menyerang PAS dan Mat Sabu dengan isu Syiah ini, PAS bukan saja diharapkan dapat dikekang kekuatannya, bahkan dapat melonjakkan dirinya sebagai pemimpin masa depan Umno dan negara. Bukanlah rahsia lagi, sejak pemilihan Umno lalu lagi, tukang-tukang kempen Zahid mendendang lagu merdu ke telinga perwakilan bahawa Naib Presiden Umno itu adalah bakal Timbalan Perdana Menteri suatu hari nanti.
Malah ada juga tukang kempennya yang terlebih ghairah mengatakan Zahid bakal Perdana Menteri selepas Najib.
Tidak salah Zahid untuk bercita-cita tinggi dalam karier politiknya, begitu juga tidak menjadi dosa tukang-tukang kempennya mengharapkan Zahid menjadi apa pun, tetapi sebelum beliau melangkah lebih jauh dengan menjadikan KDN sebagai tapak untuk mempopularkan dirinya, ada baiknya beliau menoleh kepada sejarah bahawa kementerian itu bukanlah tapak yang subur untuk meningkatkan karier.
Musa Hitam kecundang dalam kariernya semasa menjadi Menteri Dalam Negeri berikutan peristiwa Memali manakala Hishammuddin pula hampir kalah dalam pemilihan Umno lalu kerana kelemahannya semasa menjadi Menteri Dalam Negeri mengundang cemuhan dan rasa tidak puas hati perwakilan. Mujur Najib cepat menukarkannya ke Kementerian Pertahanan. Jika terus kekal di KDN, Hishamuddin lebih berpotensi untuk tewas dalam pemilihan itu.
Sebelum itu, Tun Dr Ismail meninggal dunia semasa menjadi TPM dan Menteri Dalam Negeri manakala KDN juga tidak membantu karier Ghazali Shafie walaupun ketegasannya masih disanjung hingga kini.
KDN dalam sejarahnya tidak pernah menjamin kejayaan ahli politik yang bercita-cita tinggi, sebaliknya sentiasa menjadi tanah yang gersang dan tidak menjanjikan kejayaan untuk meningkat lebih tinggi. Kementerian itu terlihat sesuai untuk mereka yang tiada cita-cita dalam politik atau mereka yang sudah terjamin kedudukannya. Dr Mahathir berjaya mengekalkan kuasanya dan menang dalam banyak cabaran politiknya adalah kerana beliau mengetuai KDN yang mana di situlah berpusatnya kuasa melaksanakan undang-undang.
Pak Lah juga ketika menjadi TPM, turut menjadi Menteri Dalam Negeri tetapi kedudukannya ketika itu sebagai pengganti Dr Mahathir sudah hampir terjamin. Dalam masa yang sama, Pak Lah juga tidak terlihat menjadikan KDN sebagai medan untuknya bermain politik dan mempopularkan diri.
Azmi Khalid dan Radzi Sheikh Ahmad adalah contoh dua Menteri Dalam Negeri yang tiada cita-cita politik lebih tinggi dan ketika era mereka, hampir tiada isu berlebih-lebihan mengenai kementerian itu yang diperguna atau disalahguna untuk kepentingan politik.
Memang diakui KDN adalah antara kementerian yang kanan. Ia bukan saja berpusat banyak kuasa melalui beberapa agensi penting di bawahnya seperti PDRM, Imegresen, Jabatan Pendaftaran dan sebagainya. Melalui KDN juga, banyak terdapat peluang perniagaan, terutama sejak adanya pekerja asing. Ia sentiasa menjadi tumpuan untuk mencari peluang perniagaan, projek dan kontrak manakala sesiapa yang menjadi menterinya sering menjadi buruan ramai.
Ketika Hishamuddin berada di KDN, di sebalik cita-citanya dalam politik diketahui ramai, beliau dilihat gagal mengimbangi antara keperluannya untuk bertindak tegas dan bijaksana dalam beberapa isu seperti perhimpunan haram dan sebagainya serta bagaimana untuk melayan semua pencari projek yang datang kepadanya.
Lantaran itu, kelemahannya lebih diperhati dan dijadikan sasaran.
KDN secara umumnya memperlihatkan ia bukan tapak yang subur atau medan sesuai untuk terus menongkah dalam karier politik. Ini kerana kementerian ini memerlukan pemimpin yang bijaksana, tegas dan tiada agenda terselindung di sebaliknya.
Di peringkat awal mengetuai KDN, Zahid kelihatan tegas terutama dalam aspek pencegahan jenayah dan membanteras jenayah berat. Beliau bertegas dalam isu ISA, Ordinan Darurat, Akta Pencegahan Jenayah dan sebagainya. Lantaran itu, beliau disanjung sehingga mendapat 188 undi daripada 191 bahagian Umno dalam pemilihan lalu.
Tetapi suara tegasnya mulai tengelam sejak kemenangan itu. Kebelakangan ini, jarang benar suaranya kedengaran meskipun pelbagai jenis jenayah, terutama yang melibatkan pendatang asing sentiasa menghiasi dada akhbar setiap hari.
Isu Syiah yang dibangkitkan Zahid dalam Perhimpunan Agung Umno adalah bukti jelas ianya bersifat politik dan ingin meraih sokongan kelompok di dalam parti di mana beliau menjadi pemimpin nombor tiganya ketika ini. Jika benar Syiah berkaitan keselamatan negara, Zahid tidak perlu bercakap mengenainya kepada audien Umno.
Lagi pula, apa ancaman Syiah selama ini? Dan sudah berapa kali huru-hara dicetuskan oleh Mat Sabu melalui PAS? Di dalam PAS, sudah berapa ramai yang menjadi Syiah sejak Mat Sabu menjadi pemimpin nombor dua parti itu?
Kini juga mulai difahami mengapa Najib selepas pilihan raya lalu menukarkan sepupunya, Hishammuddin daripada KDN ke Kementerian Pertahanan. Sejak dipindahkan, serangan dan kecaman kepada Hishammudin banyak berkurangan dan beliau akhirnya berjaya menyelamatkan kedudukannya.
Zahid pula, walaupun di peringkat awalnya disanjung dah dipuja tetapi isu Syiah yang dibangkitkannya mula menerbitkan tompok-tompok hitam dalam kariernya. Selain rakyat biasa mengecam dan menpersendanya dalam isu Syiah ini, kelompok dalam Umno juga mula meragui ketegasan dan kebijaksanaannya kerana membangkitkan isu tersebut, sehingga seorang blogger dan pengamal media sosial yang terkenal dalam Umno iaitu Sang Kelambai menggelarkannya sebagai seorang lagi "menteri cap ayam" dalam Umno.
KDN sudah mula menghamparkan laluan sukar bagi perjalanan karier politik Zahid. Sejarah Musa Hitam yang kecundang di tengah jalan dan sejarah Hishammuddin yang kian kehilangan penyokong semasa mengetuai KDN, sedikit demi sedikit sedang menjejaki perjalanan Zahid pula.
Di ketika ini, yang paling tersenyum lebar tentunya ialah Najib dan Hishammuddin. – shahbudindotcom.blogspot.com

Sabtu, 07 Desember 2013

Zahid mahu Jakim tahan Mat Sabu

  • mat sabuTimbalan Presiden Pas Mohamad Sabu
 1 / 1 
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menggemparkan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2013 apabila meminta Jakim mengambil tindakan ke atas orang nombor dua Pas kerana didakwa mengamalkan ajaran Syiah.

Menteri Dalam Negeri itu ketika sesi penggulungan PAU hari ini memberikan 'lampu hijau' kepada Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang memegang portfolio agama menjalankan tugasnya.

"Kita tak faham kenapa pilih pemimpin Syiah itu jadi orang nombor dua dalam Pas. Datuk Seri Jamil Khir, KDN beri kuasa ambil tindakan terhadap kepimpinan kedua parti itu," katanya.


Dalam Muktamar Pas ke 59 baru-baru ini, Mohamad Sabu atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu berjaya mempertahankan jawatan timbalan presiden Pas.

Ahmad Zahid juga turut menggesa pemimpin Pas supaya tidak berselindung di sebalik perjuangan parti dan menyeru ahli Pas menolak ajaran sesat.

"Kita tahu pemimpin Syiah dalam Pas, parti itu perlu ketepikan politik sebegini, saya hairan bagaimana pemimpin ini boleh dilantik dalam parti.

"Saya berbesar hati jika Pas turut ikut banteras ajaran syiah, alangkah bagus Pas menunjukkan keberaniannya menolak pemimpin besar itu," katanya lagi.

Dalam pada itu, sebagai usaha membanteras ajaran sesat termasuk ajaran Syiah, beliau mencadangkan supaya Jabatan Kemajuan Agama Islam dengan kerjasama KDN menubuhkan suruhanjaya khas bagi menangani gejala tersebut.

Selain menguatkuasa Akta Pertubuhan 1966, usaha itu perlu bagi membendung ajaran sesat daripada menular di negara ini yang boleh memecahbelahkan perpaduan umat Islam.

"Ajaran Syiah semakin bahaya, musuh Islam ialah Syiah dan kerajaan sedang giat menanganinya dengan Jakim," katanya lagi.

Menurut portal The Malaysian Insider, Mat Sabu dalam reaksi awalnya berkata akan berbincang dengan peguamnya mengenai dakwaan Zahid itu.

“Saya tak dengar sendiri apa dia kata jadi kena bincang dengan peguam dulu,” katanya.