Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar) melepaskan jawatan sebagai penasihat Petronas berkuatkuasa semalam, lapor akhbar milik Umno Utusan Malaysia.
Menurut akhbar berbahasa Melayu itu, keputusan itu diambil berikutan Dr Mahathir ingin mengurangkan waktu kerjanya di pejabat dan surat peletakan jawatan itu diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Jumaat .
Sumber yang dipetik dalam laporan tersebut berkata, Dr Mahathir memberi sumbangan kepada pelbagai agensi sejak bersara daripada jawatan perdana menteri, 10 tahun lalu.
Dr Mahathir merupakan perdana menteri paling lama berkhidmat, iaitu selama 22 tahun sebelum menyerahkan jawatan tersebut kepada perdana menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada Oktober 2003.
Menurut akhbar berkenaan, masih belum dapat dipastikan sama ada Dr Mahathir akan turut melepaskan jawatan sebagai canselor Universiti Teknologi Petronas dan penasihat Lembaga Pembangunan Langkawi dan Lembaga Pembangunan Pulau Tioman.
Dr Mahathir, 88, juga adalah penasihat pengeluar kereta nasional Proton Holdings Bhd, yang kini dimiliki sepenuhnya oleh DRB-Hicom.
Dr Mahathir menerima rawatan di Institut Jantung Negara di Kuala Lumpur pada 18 November lalu. – 2 Disember, 2013. - themalaysianinsider
Tidak ada komentar:
Posting Komentar