Tampilkan postingan dengan label ANTI NAJIB. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label ANTI NAJIB. Tampilkan semua postingan

Sabtu, 04 Januari 2014

Najib tidak harus dipertahan lagi

Majoriti rakyat dan hampir semua kelompok masyarakat hidup dalam keadaan tertekan dan tidak gembira lagi sekarang ini.
Tidak seperti sebelumnya, tahap kegembiraan rakyat kini berada pada kadar paling rendah sekali, malah sesetengahnya mungkin negatif kegembiraannya.
Rakyat biasa yang berpendapatan rendah dan sederhana sedang memikul kos sara hidup yang lebih tinggi daripada biasa akibat kenaikan pelbagai jenis barang dan perkhidmatan sejak kebelakangan ini dan terus bertambah seiring dengan kedatangan tahun 2014.
Mereka yang ingin meluahkan perasaan terhadap kerajaan akibat kenaikan itu bertambah lagi tertekan hidupnya apabila digelar "bughah" atau penderhaka dan dikategori sebagai halal darahnya untuk dibunuh.
Walaupun fatwa dan pendapat daripada Mufti Perak, Harussani Zakaria mengenai hal ini masih boleh dipertikai, diperdebat dan disangsikan, hakikatnya agama bukan lagi dipergunakan untuk menggembirakan umat, sebaliknya lebih dijadikan alat untuk membodek dan pengampu penguasa demi kepentingan peribadi.
Isu mengenai kalimah Allah yang muncul kembali dan diikuti dengan serbuan Jais terhadap sebuah gereja serta disusuli pula dengan aksi demonstrasi Umno Selangor mengenainya, turut menjadikan penganut Islam dan Kristian tidak lagi gembira dan harmoni kehidupannya.
Berterusannya isu ini tanpa penyelesaian telah meletakkan kedua-dua penganut Islam dan Kristian hidup dalam kesangsian dan kegelisahan.
Dalam masa yang sama, pejuang-pejuang Umno di peringkat bahagian dan cawangan pula terus dibebankan dengan kerja-kerja tambahan yang berpunca daripada kelemahan pemimpin di atas.
Setelah satu demi satu isu muncul mengenai pemimpin di atas, terutama yang melibatkan Najib dan keluarganya, kini isu kemewahan dan pemborosan timbul kembali dengan pendedahan mengenai jet mewah Perdana 2 atau NR2.
Walaupun ada penjelasan daripada Pejabat Perdana Menteri mengenai penyewaan jet itu, ia tidak menafikan sama sekali kewujudan jet yang sedang disewa itu.
Penjelasan PMO lebih merupakan suatu pengakuan terhadap pendedahan mengenai jet itu yang disertakan dengan kewajaran mengapa penyewaan itu dilakukan.
Semua isu yang timbul berkaitan dengan pemimpin, keborosan dan kemewahan Najib serta kelemahan kerajaan, secara tidak langsung menambahkan lagi beban pemimpin akar umbi dalam berhadapan dengan rakyat.
Mereka kini bukan saja sudah kekurangan masa untuk diri sendiri dan berusaha menambah kekuatan Umno, bahkan banyak masa asyik dihabiskan untuk menjawab pelbagai dakwaan yang timbul mengenai Najib, Rosmah dan keluarganya saja.
Ini menyebabkan adanya pemimpin Umno di peringkat akar umbi yang mula mengambil sikap berkabung atau berdiam diri kerana merasakan sudah letih menjawab satu demi satu isu mengenai karenah pemimpin di atas, manakala sesetengahnya mula bersikap lantang dan melemparkan kritikan terhadap Najib dan kerajaan.
Satu-satunya kelompok yang mungkin sedang gembira ialah golongan kroni yang menjadi pengampu dan penasihat Najib kerana semua isu yang timbul ini menambahkan lagi peluang untuk memenuhkan kantung dan membesarkan perut masing-masing.
Namun demikian, semua isu yang timbul ini jelas memperlihatkan hanya satu perkara, iaitu kelemahan Najib sebagai Perdana Menteri.
Jika beliau mempunyai sikap tegas dan berprinsip serta tidak membiarkan elemen-elemen pelampau menguasai kepimpinannya sejak dari awal, banyak isu tidak akan muncul sebenarnya.
Dalam isu kalimah Allah dan kebenaran mengedar Bible dalam Bahasa Melayu, ia lebih berpunca daripada sikap 'double standard' Najib dalam menguruskan isu tersebut serta terlalu dipengaruhi oleh keinginan untuk memperolehi sokongan politik daripada penganut agama Kristian di Sabah dan Sarawak.
Di suatu ketika, Kristian dilarang menggunakan kalimah Allah dan Umno dipergunakan untuk bersuara bagi memperlihatkan perjuangan Islam Umno tetapi di ketika yang lain, kalimah Allah dibenarkan untuk penganut di Sabah dan Sarawak, malah Bible dalam bahasa Melayu turut dibenarkan.
Dalam isu 'bughah' yang dilemparkan oleh seorang mufti terhadap mereka yang berdemontrasi di Dataran Merdeka, ia tidak lain berpunca daripada sikap Najib yang mempamerkan dirinya suka dibodek dan diampu.
Kiranya daripada awal Najib sudah menunjukkan dirinya seorang yang tegas, menjulang kebenaran dan tak makan dek bodek, pastinya tidak sesiapa mahu membodeknya.
Malah, tidak mungkin juga seorang mufti mahu menjual agama semata-mata untuk menjaga perut dan kedudukannya.
Dalam pelbagai isu yang muncul berkaitan diri dan keluarganya pula, ia juga memperlihatkan kelemahannya yang paling ketara sebagai pemimpin.
Tidak pernah kita mempunyai pemimpin selemah beliau.
Sementara isu-isu sedia ada terus menimbun dan menjadikan kedudukan Umno, BN dan kerajaan semakin lemah hari demi hari, tidak mustahil lebih banyak lagi isu-isu baru yang lebih kronik bakal muncul dan terus membebankan rakyat.
Di ketika beliau mengumumkan 11 langkah berjimat cermat, tiba-tiba terdedah mengenai penyewaan jet baru dan penambahan seorang lagi duta khas iaitu Ahli Parlimen Bintulu sebagai Duta Khas bertaraf menteri ke Asia Timur, ia sekali lagi menampakkan wajah talam dua muka Najib dan seolah-olah banyak lagi pekung yang bakal terdedah.
Di ketika berbangga dengan penjimatan yang kecil, pemborosan yang lebih besar sedang dilakukan rupa-rupanya.
Sebelum lebih banyak terdedah dan keadaan menjadi lebih parah, hakikatnya Najib tidak harus dipertahankan lebih lama lagi. – shahbudindotcom.blogspot.com, 4 Januari, 2014.

Senin, 23 Desember 2013

TURUNKAN Najib, azam tahun baru 2014 rakyat Malaysia

TURUNKAN Najib, azam tahun baru 2014 rakyat Malaysia
Beberapa hari saja lagi, tahun baru 2014 akan menjelma. Seperti kebiasaannya setiap kali menjelang ketibaan tahun baru, perkara yang selalu dilakukan oleh kebanyakan orang ialah menanam azam masing-masing supaya apa yang mahu dicapai pada tahun tersebut sentiasa tersemat dalam hati dan menambahkan lagi kegigihan untuk berusaha.
Ada yang azamnya mahu memiliki kereta, membeli rumah baru, menamatkan zaman bujang, memiliki syarikat sendiri dan bermacam-macam lagi. Pendek kata, azam yang dipasang adalah bergantung kepada keupayaan seseorang dan apa yang mahu dicapainya.
Untuk tahun 2014 ini, apakah azam yang sesuai untuk rakyat Malaysia agaknya?
Rata-rata rakyat Malaysia kini sedang terbelenggu dengan pelbagai kenaikan yang dilakukan oleh kerajaan. Dengan kenaikan minyak, gula, cukai pintu, astro, letrik, tambang bas, LRT, monorel, tol dan pelbagai lagi, barangkali tahun 2013 boleh diisytiharkan sebagai tahun paling banyak barang dan perkhidmatan dinaikkan dalam sejarah hampir 57 tahun kemerdekaan negara.
Lebih memilukan hati rakyat ialah semua kenaikan itu dilakukan ketika kerajaan lantang melaungkan slogan "rakyat didahulukan" serta di ketika BN hanya memperolehi kemenangan tipis dalam PRU 13 yang baru saja berlalu.
Tidak dapat dinafikan juga bahawa semua kenaikan ini adalah berpunca daripada kegagalan kerajaan melonjakkan tahap ekonomi sehingga hutang negara terus bertambah, sementara pendapatan terus berkurangan. Ini menyebabkan kerajaan hanya melihat kaedah menaikan harga barang, menghapuskan subsidi dan meningkatkan kadar cukai untuk mengisi kantung perbendaraan negara.
Ini menjadikan kegelisahan dan kemarahan rakyat makin kuat kedengaran di mana-mana. Perdana Menteri, Najib Razak kini paling dipersalahkan atas semua perkara ini kerana beliau dilihat sebagai nakhoda yang gagal.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara atau PAC, Nur Jazlan Mohamed turut membayangkan bahawa pelbagai kenaikan yang berlaku sekarang umpama BN sedang menempa kekalahan dalam PRU 14 nanti. Menurut beliau, kenaikan ini menyebabkan rakyat, terutamanya pengundi bandar dan separa bandar menjadi lebih marah kepada rakyat.
Katanya, jika dalam PRU 13 lalu BN di kalah di kawasan-kawasan tersebut, dalam PRU 14 nanti kekalahan yang lebih teruk bakal diterima BN kesan daripada peningkatan kos sara hidup ini.
Seorang pensyarah, Redhuan Tee Abdullah yang selama ini dilihat sentiasa menyokong kerajaan, turut tidak dapat menyembunyikan rasa gelisahnya dengan mengingatkan bahawa kenaikan kadar tol akan menyebabkan ramai yang beralih untuk menyokong PR dalam pilihanraya akan datang.
Malah, secara berterus-terang juga beliau memberitahu, ramai rakan-rakannya yang dulu pro BN tetapi kini sudah menyampah dengan kerajaan.
Pemimpin pembangkang pula saban hari menyelar kegagalan Najib mengawal kenaikan ini dan memintanya lebih memikirkan soal kebajikan serta kesejahteaan rakyat.
Sebelum pilihanraya lalu, PR sudah banyak kali mengingatkan rakyat bahawa pelbagai kenaikan akan berlaku sekiranya BN terus dikekalkan memerintah negara ini. Dengan ingatan itu sudah menjadi kenyataan sekarang kini, apa yang lebih mengharukan ialah Najib juga turut memungkiri beberapa akujanjinya sendiri semasa kempen pilihanraya lalu.
Dalam keadaan semua rakyat tertekan sekarang ini, jika perlu menanam azam untuk menyambut ketibaan tahun 2014 nanti, keazaman yang paling munasabah bagi semua rakyat Malaysia ialah memastikan Najib dapat diturunkan daripada kerusi Perdana Menteri yang sedang diempukinya.
Segala azam lain tidak akan lebih bermakna selain daripada azam untuk menurunkan Najib sebagai Perdana Menteri. Najib kini sudah dilihat sebagai liabiliti bagi rakyat negara ini dan lebih lama beliau berada di kerusinya sekarang, pasti akan menjadikan kehidupan rakyat lebih sengsara jadinya dan banyak kenaikan lagi akan dilakukan.
Bagi rakyat biasa, perubahan dan pembaharuan dalam kehidupan mereka hanya mungkin berlaku setelah berlakunya perubahan dalam kepimpinan negara. Bagi yang pro BN pula, sedarlah bahawa lagi lama Najib kekal sebagai Perdana Menteri, lagi merosot sokongan rakyat. Dengan luahan kemarahan semakin kuat daripada dalam UMNO dan BN sendiri, potensi untuk BN kalah dalam pilihanraya akan datang lebih terbuka jika parti dan kerajaan kekal dipimpin oleh Najib berbanding pemimpin lain.
Lagi pula, dengan majoriti rakyat meluahkan rasa marah terhadap Najib sekarang ini, terus-terusan mahu mengekalkan Najib adalah petanda bahawa UMNO dan BN juga turut tidak mengutamakan kepentingan rakyat.
Yakinlah bahawa negara ini akan lebih baik jika tanpa Najib. Perkembangan kebelakangan ini menunjukkan beliau sudah hilang upaya dan tandus kreativiti untuk terus memajukan negara serta memberi kebahagiaan kepada rakyat.
Dengan semua rakyat, pro BN dan pro PR, masing-masing menjadikan hasrat mahu menurunkan Najib sebagai azam tahun tahun 2014 ini, ia adalah perjuangan murni yang tidak mustahil akan membuahkan kejayaan. Tanamkanlan keazaman untuk menjadikan tahun 2014 permulaan untuk memberi lebih tekanan dan desakan agar akhirnya Najib dapat diundurkan dan punca segala masalah kesengsaraan rakyat dapat diatasi.
Sentiasalah ingat, suara rakyat tetap suara keramat. - http://shahbudindotcom.blogspot.com 
Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com/index.php?option=com_k2&view=item&id=112142:turunkan-najib-azam-tahun-baru-2014-rakyat-malaysia&Itemid=2#ixzz2oMxTJMXu
Follow us: @MsiaChronicle on Twitter