Tampilkan postingan dengan label BN. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label BN. Tampilkan semua postingan

Kamis, 26 Desember 2013

Selepas mungkir janji, BN takut "digulingkan"

KOMENTAR BERITA OLEH AMIN ISKANDAR
DECEMBER 27, 2013
Rakyat Malaysia menanti tahun 2014 dengan kebimbangan kenaikan kos sara hidup. - Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 27 Disember, 2013.Rakyat Malaysia menanti tahun 2014 dengan kebimbangan kenaikan kos sara hidup. - Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 27 Disember, 2013.Tahun 2014 sudah pastinya bukan berita gembira bagi majoriti rakyat Malaysia berpendapatan rendah kerana kenaikan kos sara hidup yang bakal mereka hadapi.
Semasa berkempen menjelang Pilihan Raya 2013 lalu, Barisan Nasional melalui “Manifesto: Menepati Janji, Membawa Harapan” memberikan pelbagai janji indah seperti mengurangkan kos sara hidup.
Di antaranya adalah penurunan harga kereta secara berperingkat, menyediakan sejuta rumah mampu milik, pendidikan lebih baik, pembangunan luar bandar secara agresif dan keselamatan awam.
Akan tetapi selepas pilihan raya 5 Mei, apa yang rakyat dapat?
Bermula September lalu, subsidi minyak dan gula dipotong, menyebabkan kenaikan harga kedua-dua bahan berkenaan.
Perlu diingat, kenaikan harga minyak dan gula mempunyai kesan berantai kepada barangan lain. Dalam erti kata lain, janji kerajaan harga barang lain tidak akan naik selepas subsidi minyak dan gula dipotong tidak boleh digunapakai.
Tidak cukup dengan itu kerajaan mengumumkan tarif elektrik dinaikkan sebanyak 15% dan cadangan kenaikan harga tol juga pada 2014.
Dalam Bajet 2014 yang diumumkan pada Oktober, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bermula pada kadar 6% yang akan berkuatkuasa pada April 2015.
Ertinya, selepas tamat 2014 juga, kehadiran 2015 belum tentu memberikan kebahagian kepada majoriti rakyat Malaysia dengan pengenalan GST.
Tindakan “ganas” pentadbiran Najib dalam memotong subsidi dan menaikkan harga barang dan perkhidmatan yang menjadi keperluan asas turut membimbangkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar).
“Kita faham kerajaan memerlukan lebih wang tetapi itu tidak bermakna peningkatan seperti yang diumumkan.
“Adalah lebih baik mengurangkan kos, mengekalkan atau mengurangkan harga. Perkara sama boleh dilakukan kerajaan,” katanya dalam tulisan di blog Che Det semalam.
Menurut Dr Mahathir, banyak dapat dijimatkan jika kerajaan serius bertindak terhadap Laporan Ketua Audit Negara 2012 mengenai ketirisan  dan pembaziran kerajaan.
“Kerajaan biasanya melakukan pembaziran kerana tidak memikirkan pulangan dalam apa juga bentuk perbelanjaan. Jika kerajaan berhasrat mengurangkan kos urus tadbir, mereka boleh melakukannya,” katanya.
Dr Mahathir menulis menggunakan hujah yang sering dipakai pemimpin pembangkang.
Sebagai orang yang sudah memerintah Malaysia selama 22 tahun dan mengikuti perkembangan sejarah negara-negara jiran seperti Indonesia dan Filipina, Dr Mahathir sudah tentunya bimbang dengan tindakan pentadbiran Najib.
Dr Mahathir menyaksikan bagaimana rakan-rakan baiknya seperti Ferdinand Marcos dari Filipina dan Jeneral Muhammad Soeharto dari Indonesia digulingkan melalui demonstrasi jalanan selepas gagal mensejahterakan hidup rakyat.
Sudah pasti hujah Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hassan Malek mengatakan kenaikan kos sara hidup merupakan masalah kecil tidak dibeli bekas perdana menteri itu.
Maka tidak hairanlah Putrajaya juga dilihat begitu takut sekali dengan perhimpunan pada malam ambang Tahun Baru 2014 yang dikatakan berniat untuk menggulingkan kerajaan.
Semalam polis menahan pemilik akaun Facebook yang beroperasi dengan nama Asmaelz Hadzeny II yang diburu sejak minggu lepas kerana menghasut orang ramai menyertai perhimpunan dikatakan untuk menggulingkan kerajaan pada 31 Disember ini.
Sebelum itu polis menahan pengerusi Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) Azan Safar selepas seorang pengguna Facebook memberikan komen mengatakan akan berlaku rusuhan pada malam ambang Tahun Baru.
Selepas memungkiri janji, Putrajaya kelihatan begitu takut sekali dengan kemarahan orang ramai di atas tindakan mereka itu.
Yang hairannya, yang ditahan adalah orang yang marah kerana janji dimungkiri dan bukan yang memungkiri janji. – 27 Disember, 2013. -TMI

Selasa, 24 Desember 2013

BN hilang sokongan: Pandangan Pengerusi PAC - Kajian UMCEDEL selari - Saifuddin

BN hilang sokongan: Pandangan Pengerusi PAC - Kajian UMCEDEL selari - Saifuddin
Keputusan hasil kaji selidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) membuktikan bahawa pendapat Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed adalah berasas, kata bekas Ahli Parlimen Temerloh, Datuk Saifuddin Abdullah.
Saifuddin yang ditemui ketika pengumuman hasil kaji selidik UMCEDEL di Universiti Malaya hari ini berkata, jangkaan Nur Jazlan bahawa Barisan Nasional (BN) akan mengalami kekalahan lebih teruk di kawasan bandar dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang  berikutan kenaikan harga barang dan kos kehidupan selari dengan dapatan UMCEDEL bahawa peningkatan kos berkenaan akan menjadi penentu kelangsungan BN.
"Jazlan bercakap ikut pengalaman beliau. Saya percaya beliau membuat kajian. Kajian UMCEDEL ini membuktikan kata-kata Nur Jazlan itu benar," kata Saifuddin.
UMCEDEL mendapati kenaikan kos barangan, tarif elektrik dan harga minyak memberi kesan kepada kehidupan rakyat Malaysia secara keseluruhannya, dan tanpa sebarang tindakan, BN akan mengalami keadaan sukar dalam PRU14.
"Tiga isu ini adalah isu utama. Dalam tempoh enam bulan kalau kita tidak selesaikannya, kesannya mungkin berpanjangan," kata bekas timbalan menteri Pengajian Tinggi itu.
Hasil kajian UMCEDEL terhadap 1,676 responden di Semenanjung Malaysia yang dijalankan pada 6 hingga 8 Disember lalu mendapati 42% responden beranggapan kenaikan harga minyak memberikan kesan kepada kehidupan mereka diikuti 34% kenaikan harga barang dan kenaikan kadar tarif elektrik sebanyak 24%.
Pengarah UMCEDEL, Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman, berkata pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) juga tidak lagi mampu menjadi "pelampung penyelamat" buat BN untuk PRU14 memandangkan impak bantuan one-off kewangan berkenaan tidak lagi dirasai rakyat.
"Seramai 52% tidak bersetuju BR1M akan meningkatkan sokongan kepada BN kerana mampu mengurangkan kos sara hidup, manakala 42% sahaja bersetuju,” katanya.
Pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pula menyaksikan 61% responden tidak bersetuju, dengan hanya 20% sahaja yang bersetuju.
"Pengundi Cina lebih tinggi peratusan penolakan dengan 67%, kerana sebahagian besar mereka merasakan akan berlaku kenaikan harga barang jika cukai itu dilaksanakan.
"Manakala pengundi Melayu yang menolak GST pula pada kadar 61%. Ini persepsi rakyat berhubung pelaksanaan cukai ini," katanya. - TMI
Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com/index.php?option=com_k2&view=item&id=112352:bn-hilang-sokongan-pandangan-pengerusi-pac-kajian-umcedel-selari-saifuddin&Itemid=2#ixzz2oPa8KKFm
Follow us: @MsiaChronicle on Twitter

Minggu, 22 Desember 2013

Nur Jazlan jangka BN akan kalah lebih teruk ... {ramai yg mendoakan sebegitu}


11:15AM Dis 23 2013
Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed menjangkakan BN akan mengalami kekalahan lebih teruk di kawasan bandar dalam pilihan raya umum akan datang ekoran kenaikan harga barang dan kos sara hidup.

Laporan Sinar Harian hari ini memetik kenyataan MP Pulai itu yang berkata, kerajaan terpaksa berdepan dengan kemarahan rakyat akibat kenaikan kos berkenaan.

“Akibat kenaikan itu orang marah dan tidak undi kerajaan. (Dalam) PRU13 kita sudah kalah di bandar dan PRU14 nanti, BN akan (kalah) lebih teruk (di bandar),” katanya.


Beliau turut mempertahankan tindakan kerajaan yang menurutnya mungkin terpaksa mengorbankan janji pilihan raya – untuk menurunkan kos sara hidup.

“Ada ketikanya, kerajaan tidak dapat elak demi kepentingan negara. Jadi perlu dikorbankan (manifesto itu),” katanya lagi.- Malaysiakini

Selasa, 05 November 2013

PRK Sg Limau : BN belanja RM15 juta untuk dapat lebih 465 undi - bawa artis gred B - gula sekilo RM1 bukan hari-hari


 
ANALISIS Pada masa ini, BN mungkin boleh berpuas hati dengan kemampuan mereka mengurangkan hampir separuh majoriti PAS dalam pilihan raya kecil Sungai Limau.

PAS semalam menang dengan majoriti 1,084 undi berbanding 2,774 majoriti undi pada pilihan raya umum dalam bulan Mei yang lalu.

Sungai Limau yang mempunyai 19 daerah mengundi, menyaksikan PAS kehilangan empat daerah mengundi kepada BN - Sungai Limau, Kabu Sepuloh, Sedaka dan Padang Lumat.

Ironinya juga, PAS kini menguasai Sungai Limau dengan hanya menang di sembilan daerah mengundi berbanding BN yang menang di sepuluh daerah mengundi.

Bagaimana pun, analisis menunjukkan BN sebenarnya berbelanja terlalu besar untuk memperolehi peningkatan undi yang terlalu sedikit.

Menurut PAS, BN membelanjakan kira-kira RM15.5 juta dalam kempen mereka di Sungai Limau.

Jumlah itu meliputi RM5.5 juta untuk sekolah menengah agama, RM2.25 juta untuk sekolah jenis kebangsaan Cina, dan RM1.2 juta untuk sekolah-sekolah lain.

BN juga mengagihkan bantuan sebanyak RM2.8 juta untuk bantuan perumahan dan cermin mata percuma, RM802,700 untuk program Bantuan Azam Tani Mara, RM2.5 juta untuk tukun tiruan dan RM500,000 untuk jeti perikanan.

Selebriti 'gred B' 

Ia tidak termasuk RM300,000 untuk Masjid Simpang Empat, RM118,000 untuk guru-guru prasekolah agama Kafa dan 33 masjid, RM30,000 dalam bentuk pinjaman TEKUN serta RM19,700 dalam bentuk zakat dari Agrobank.

Malangnya, hasil daripada perbelanjaan ini hanya berjaya diterjemahkan kepada peningkatan sebanyak 465 undi buat BN- daripada 10,520 undi pada 5 Mei lalu kepada 10,985 undi semalam - jumlah yang terlalu sedikit jika dibandingkan dengan usaha serta wang yang disalurkan kepada pemilih di kawasan itu.

Dan jika jumlah RM15.5 juta itu dibahagikan dengan tambahan 465 tersebut, BN sebenarnya membelanjakan RM32,258 untuk setiap tambahan undi.

Tambahan 465 undi itu juga sebenarnya hanya satu pertiga daripada jumlah majoriti PAS yang berjaya dikurangkan BN iaitu sebanyak 1,690 undi.

Jadi di mana silapnya BN sehingga mereka masih gagal menawan Sungai Limau walaupun mengerahkan banyak jentera kerajaan untuk membantu kempen?

Sama ada BN sedar atau tidak, kempen yang berorientasikan pembangunan dan kemakmuran hidup tidak cukup untuk memujuk emosi majoriti pemilih di kawasan kubu kuat PAS itu.

Pemilih Sungai Limau tahu jualan murah gula dan tepung pada harga RM1 sekilo, dan jualan 5 kilogram beras pada harga RM5 sewaktu Karnival Luar Bandar Rakyat 1Malaysia sehari sebelum hari mengundi tidak akan berlaku setiap hari walaupun BN menang.

Mereka juga tahu bahawa persembahan barisan selebriti 'gred B' seperti Lan Pet Pet, Zehra Zamri, dan Achong Sweet Child sewaktu Himpunan Berani Hijrah Orang Muda Sungai Limau dua hari sebelum hari mengundi, sekadar hiburan picisan melepaskan batuk di tangga bagi memikat pengundi.
Godaan tawaran keduniaan

Buktinya, golongan muda yang menjadi sasaran program ini tidak juga memberikan kemenangan buat BN.

BN hanya berjaya diterima pemilih muda di kawasan kubu kuat mereka di Dulang Besar dan Dulang Kechil.

PAS, pada masa yang sama walaupun dilabel sebagai konservatif dan kurang memberikan tumpuan kepada pembangunan fizikal, berjaya menarik pengundi muda di banyak pusat mengundi, terutamanya di kubu kuat mereka di Bukit Besar dan Bukit Choras.

Dalam pilihan raya semalam juga, hanya 85.5 peratus (23,249) daripada keseluruhan pemilihan keluar membuang undi.

Soalnya, bagaimanakah 3,973 pengundi itu akan mengundi jika mereka membuang undi semalam?

Menjawab soalan ini, PAS mendakwa sekurang-kurangnya 3,666 orang penyokong mereka tidak mengundi semalam kerana ia jatuh pada hari Isnin yang merupakan hari bekerja.

Namun, BN juga merungut yang pemilihan hari mengundi ini turut mempengaruhi sokongan terhadap mereka dan bukan sahaja PAS.

Buat PAS, walaupun menang, hari-hari mendatang perlu dimanfaatkan sepenuhnya bermuhasabah bagi mencari diri dan mengukuhkan semula pengaruh mereka selepas 'bertahan' habis-habisan dalam pilihan raya kecil ini.

Buat BN pula, pengaruh wang dan janji-janji pembangunan bukanlah strategi yang ampuh untuk menawan kubu kuat PAS yang selalunya tidak tergoda dengan tawaran keduniaan sedemikian.

Kamis, 31 Oktober 2013

PRK Sg Limau : BN punya 2 calon?



PAS dakwa BN langgar peraturan pilihan raya, guna poster Mukhriz untuk berkempen
 

PAS hari ini mendakwa Barisan Nasional (BN) melanggar peraturan pilihan raya dalam kempen mereka di Sungai Limau apabila menggunakan bahan poster selain calon yang bertanding. 
Pesuruhjaya PAS Kedah Datuk Mahfuz Omar (gambar) membidas jentera BN yang terdesak sehingga terpaksa memasang poster Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir sebagai gambaran seorang calon pada pilihan raya kecil kali ini.

"Adakah BN menghantar dua orang calon sebab saya tengok ada dua poster calon N20, Dr Sohaimi dan Datuk Mukhriz.

"Kain rentang dan poster yang diletak menunjukkan bahawa seolah-olah adalah Mukhriz," kata Naib Presiden PAS itu yang mempersoalkan corak berkempen sedemikian oleh pemimpin BN.

Ahli Parlimen Pokok Sena tersebut menuduh BN cuba mengelirukan pengundi Sungai Limau apabila meletakkan poster sedemikian.

"Saya tak tahu jika ia bertujuan untuk mengelirukan pengundi.

"Jadi, mereka gunakan populariti Mukhriz," katanya.

Mahfuz kemudiaan mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya memberikan penjelasan mengenai perkara tersebut, sama ada ia melanggar Akta Peraturan Pilihan Raya ataupun tidak.

"Saya minta SPR berikan penjelasan.

"SPR harus tampil beri kenyataan, salah ataupun tidak," tegas beliau lagi.

PRK Dun Sungai Limau diadakan berikutan kematian penyandangnya, Tan Sri Azizan Razak pada Khamis lepas setelah lebih empat bulan mengalami masalah kesihatan serius.

Azizan menyandang kerusi DUN itu selama lima penggal dan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, beliau mengalahkan sepupunya, Fazillah Mohd Ali daripada Barisan Nasional (BN) dengan majoriti sebanyak 2,774 undi. -TMI