Tampilkan postingan dengan label Perdana Menteri. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Perdana Menteri. Tampilkan semua postingan

Selasa, 14 Januari 2014

Puak pro Mahathir mahu dia kembali gantikan Najib

Nostalgia untuk zaman yang lebih baik mendominasi minggu ini apabila veteran Umno secara terbuka menggesa Tun Dr Mahathir Mohamad kembali semula menerajui negara manakala adik perdana menteri memintanya kembali kepada integriti sebagaimana yang dilaksanakan oleh bapa mereka yang juga bekas perdana menteri.
Tetapi zaman yang lebih baik ialah apabila Umno adalah dominan dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA ) digunakan untuk menutup mulut mereka yang berbeza pendapat, sesuatu yang Tan Sri Zainuddin Maidin sentuh apabila meminta Dr Mahathir dikembalikan untuk memimpin negara.
Beliau adalah penyokong tegar Dr Mahathir terkini yang menegaskan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mesti turun. Beberapa blogger pro-Dr Mahathir membuat penyataan yang sama dalam minggu selepas pemilihan Umno lalu ketika kem Najib menang dengan bergaya.
Mereka juga bersikap sama terhadap Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno pada April 2009, setahun selepas Barisan Nasional (BN) mengalami kekalahan bersejarah dalam Pilihan Raya Umum 2008 apabila hilang majoriti 2/3.
Tetapi Umno terpaksa memilih Najib, anak perdana menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein dan lelaki yang dididik untuk kerja itu selepas bapanya meninggal dunia 38 tahun lalu, semalam.
Dan Dr Mahathir bersetuju dengan pilihan itu, di mana beliau menyertai semula Umno sehari selepas Najib menjadi presiden parti. Itu adalah lima tahun lalu dan Najib mengambil kuasa dengan menyedari bahawa zaman kerajaan serba tahu sudah berlalu, melembutkan tekanan undang-undang berkaitan keselamatan dan meliberalisasikan ekonomi, mahu mengubah Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, dan ia mengecewakan golongan pro-Dr Mahathir.
Pada tahun lalu apabila BN kalah lebih teruk dalam Pilihan Raya Umum 2013, Putrajaya memberikan semula beberapa kebebasan dan keutamaan kepada agenda ekonomi Bumiputera. Namun, golongan pro-Dr Mahathir tetap tidak gembira dan kini mahu perubahan.
Jadi, Najib mesti pergi dan Malaysia perlu kembali ke zaman Mahathir di mana pertumbuhan negara adalah tinggi dan mereka yang tidak bersetuju perlu tinggal di Kamunting, padahal baru beberapa hari lalu kita melihat tahanan terakhir ISA meninggalkan pintu kemnya.
Tetapi cadangan ini tidak boleh dilaksanakan. Zaman Mahathir mencipta terlalu ramai "kucing gemuk" yang hanya berjaya kerana mereka adalah kroni dan anggota polis yang bergantung kepada ISA untuk menjaga keamanan dan bukannya melalui kerja detektif sebenar.
Tidak menghairankan apabila sesetengah pihak mahu kembali ke era itu, untuk menjaga wang dan kuasa mereka dalam tahap persaingan ekonomi di padang permainan yang semakin sama rata dan ekonomi global yang semakin mengecil.
Tetapi siapakah di kalangan ahli parlimen Umno boleh menggantikan Najib? Yang pro-Dr Mahathir namakan tidak ada, kecuali Dr Mahathir sendiri mengetuai majlis orang tua untuk melakar masa depan Malaysia.
Itulah yang boleh dikatakan tentang bakat yang ada dalam Umno selepas sekian lama Dr Mahathir berkuasa. Ia memperlihatkan apa yang boleh diperolehi daripada demokrasi terpimpin Umno.
Untuk golongan pro-Dr Mahathir, hanya doktor yang baik ini boleh menyelamatkan negara dan pulang ke tahun-tahun kegemilangan 1980-an apabila Malaysia merupakan harimau ekonomi Asia bersama dengan Indonesia, Filipina dan Thailand.
Tidak ada orang lain. Tidak seperti syair pujian Datuk Seri Nazir Razak kepada bapanya yang dilihat sebagai seorang yang berintegriti, seorang demokrat dan pejuang nasionalis bagi negara ini lebih daripada untuk bangsa atau keluarganya sendiri.
Kedua-dua pro-Dr Mahathir dan Nazir adalah sentimental zaman gemilang, satu untuk seorang lelaki dan satu lagi untuk kehebatan seorang lelaki - sesuatu yang tidak ada pada Najib.
Namun, Najib mempunyai mandat untuk sekurang-kurangnya tiga tahun lagi, kecuali berlaku pemberontakan parti. Tetapi dia mesti membuat keputusan, sama ada untuk melayan karenah golongan pro-Dr Mahathir dan berhenti atau menjadi perdana menteri seperti bapanya.
Dia mesti membuat keputusan segera atau nostalgia ini akan menjadikan dia dan negara jatuh lebih dalam. – 15 Januari, 2014. - TMI

Kamis, 09 Januari 2014

Masih bergunakah Perdana Menteri kepada kita?

Kedudukan penyandang jawatan Perdana Menteri paling dipertikaikan ketika ini. Ketika rakyat bergelut dengan bermacam-macam masalah dan kesulitan, di samping isu demi isu yang muncul serta menjadi perdebatan ramai, seorang Perdana Menteri yang seharusnya memainkan peranan meredakan keadaan dan menunjuk jalan penyelesaian lebih banyak membisu dan menghilangkan diri daripada memainkan peranan yang sewajarnya.

Ketika rakyat bising dengan kenaikan harga barang dan melakukan demonstrasi bantahan mengenainya, Najib yang menjadi Perdana Menteri lebih selesa menghabiskan masanya bercuti bersama keluarga. Sehingga kini ke mana percutian hujung tahun Najib, sama ada ke Sydney, Los Angelas atau hujung dunia yang lain, masih lagi menjadi misteri.


Tapi yang pastinya, ketika rakyat bising, merungut dan digelar bughah, beliau sedang bersenang-lenang di luar negara.

Ketika isu kalimah Allah muncul kembali dan menghangatkan pertikaman antara Islam dan Kristian, walaupun beliau ada di dalam negara tetapi keberadaannya tidak memberi erti. Sudah berminggu-minggu isu ini menjadi perdebatan, apa pendirian Najib sebagai Perdana Menteri langsung tidak diketahui.

Beliau bukan saja tidak mahu menyatakan pendiriannya, malah tidak mahu bercakap dengan media mengenainya. Begitu juga, walaupun beliau turut mempengerusikan mesyuarat mingguan kabinet ketika isu kalimah Allah ini sedang hangat diperkatakan, kita juga tidak tahu sama ada ia dibincangkan atau tidak. Yang kita tahu, sehingga ini Najib masih membisu mengenai isu Allah ini sedangkan sebahagian punca timbulnya masalah ini adalah daripada tindakannya menyetujuinya formula 10 perkara dengan penganut agama Kristian pada 2010 dahulu.

Begitu juga, ketika harga barang naik, kos sara hidup meningkat dan rakyat dipaksa mengikat perut, apa yang kita dengar perbelanjaan kerajaan untuk menampung kehidupan keluarga Perdana Menteri terus bertambah, termasuk bertambahnya jet mewah yang disewa.

Hutang negara yang semakin membesar dan hampir mencecah tahap 55 peratus iaitu kategori yang boleh dianggap muflis, ia langsung tidak menzahirkan perubahan kepada gaya hidup, gaya perbelanjaan dan langkah berjimat cermat Perdana Menteri dan kerajaan.

Dalam analogi yang mudah, Perdana Menteri adalah umpama nakhoda bagi sebuah kapal. Dalam pelayarannya kapal itu, nakhoda inilah yang semestinya memainkan peranan untuk memastikan perjalanan sentiasa selamat, cukup bekalan makanan, anak-anak kapal terpelihara, tiada kemalangan atau kecederaan apabila ribut dan badai melanda serta menentukan pelbagai perkara lagi. Yang penting, nakhoda mesti tahu peranannya dan sentiasa berperanan ketika saat-saat genting.

Tidak dikatakan nakhoda yang baik apabila seseorang nakhoda itu tidak memainkan peranan sepanjang pelayaran sehingga kapal sering terumbang-ambing, dimasuki air dah tidak tentu hala tujunya.

Dalam kedudukan Najib yang sering tidak berperanan, membisu dan mendiam diri terhadap berbagai isu yang muncul sedangkan beliau sebagai nakhoda begitu dituntut peranannya, beliau kini tidak ubah seperi nakhoda yang gagal dan tidak berguna. Tindakannya yang tidak mahu bersuara atau takut bersuara di ketika rakyat dibebankan dengan banyak permasalahan menjadikan beliau semakin tidak berperanan di mata rakyat.

Negara seolah-olah tiada Perdana Menteri ketika isu kalimah Allah ini hangat diperkatakan. Ia seperti dibiarkan begitu saja tanpa sebarang kawalan dan panduan. Semua orang boleh bercakap, menuduh, mengkritik, menghentam dan melemparkan tuduhan kepada sesiapa saja.

Amatlah malang dalam keadaan yang boleh mencetuskan perbalahan bila-bila masa ini, Mahathir terpaksa bersuara dan mengajar Najib seperti menyarankan supaya kerajaan berjimat cermat dan mengurangkan kos serta meminta pihak swasta menyuarakan kebimbangan dalam isu kenaikan kos sara hidup rakyat dan mengembalikan ISA dalam menangani kemelut isu kalimah Allah yang kian memuncak sekarang ini.

Ini nyata berbeza ketika era Mahathir dulu. Semua perkara dalam kawalannya dan semua isu yang berbangkit akan mendapat perhatian daripadanya. Tidak pernah, walau sekecil mana sesuatu isu itu yang tidak mendapat perhatian daripadanya. Begitu juga ketika zaman Pak Lah, walaupun beliau dituduh lemah dan tidak sepantas Mahathir tetapi dalam semua isu yang berlaku, suaranya tetap kedengaran.

Apabila seorang Perdana Menteri bersuara dan memberi kenyataan dalam sesuatu isu, sekurang-kurangnya petunjuk kepada jalan penyelesaian dapat dilihat. Berbanding sekarang, dalam isu kalimah Allah misalnya, oleh kerana Najib memilih untuk berdiam diri dan membisu, ke arah mana penyelesaiannya masih lagi menjadi kabur dan tidak ketahuan. Semua orang seperti dibiarkan menyalakan api dan mencurahkan minyak.

Dalam hal ini, kedudukan Najib sebagai Perdana Menteri atau nakhoda kepada sebuah kapal, hampir tidak ada. Oleh kerana peranan Perdana Menteri lebih terlihat dalam aspek perbelanjaan mewah dan pemborosan sahaja, kelakuannya tidak ubah seperti nakhoda yang asyik tidur ketika kapal sedang belayar tetapi hanya muncul ketika waktu makan sahaja. Sungguh jelek nakhoda seperti itu.

Di mata rakyat, itulah kedudukan Najib sekarang. Ada atau tiada beliau, hampir tiada bezanya. Kedudukan Perdana Menteri sebagai nakhoda, penunjuk jalan dan pembimbing dalam meredakan keadaan apabila berlaku krisis, nampaknya sudah tidak berfungsi lagi. Malah dalam banyak keadaan, kedudukan Najib sebagai Perdana Menteri lebih merupakan beban dan masalah kepada rakyat.

Sudah ramai yang menyoal, apa gunanya seorang Perdana Menteri kepada kita sekarang ini?

Selagi Najib atau yang sefesyen dengannya menjadi nakhoda negara ini, jawatan Perdana Menteri bukan saja tidak memberi manfaat kepada rakyat, malah lebih dianggap beban yang hanya meningkatkan kos saraan semata-mata. - http://shahbudindotcom.blogspot.com/