Tampilkan postingan dengan label azmin. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label azmin. Tampilkan semua postingan

Jumat, 28 Februari 2014

Pemilihan PKR : Khalid akan tentang Azmin

  • khalid ibrahim dan azmin ali
 1 / 1 
SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mengumumkan akan bertanding dalam pemilihan PKR sebagai timbalan presiden parti sekaligus menentang Mohamed Azmin Ali.

Bagaimanapun, Abdul Khalid berkata, fokus utama perlu diberikan pada PRK Dun Kajang, 23 Mac ini sebagai salah satu langkah untuk memenangi jawatan tersebut.

"Saya akan terima amanah rakyat supaya saya bekerja dengan penuh tanggungjawab.

"Namun kita harus fokus kepada PRK Dun Kajang terlebih dahulu, jangan terlalu kempen saya untuk jawatan timbalan pre Ksiden.

"Kalau kita kalah di Kajang malulah saya, bagaimana harapan rakyat dan saya nak jadi timbalan presiden PKR," katanya pada Majlis Kasih Bertaut, di kediaman rasminya, malam ini.

Tambahnya, keputusan itu dilakukan berikutan menerima sokongan rakan dalam parti.


Dalam pada itu, Abdul Khalid yang juga Adun Pelabuhan Klang itu menasihatkan pengikutnya supaya menjadikan perkara itu sebagai fokus kedua.

"Saya sudah terangkan sebab menawarkan diri bertanding timbalan presiden PKR, saya harap rakyat menjadikan hal ini perkara kedua.

"Saya tak nak ada yang cakap menteri besar salah guna kuasa," katanya.

Selain itu, Abdul Khalid juga menyatakan keputusan yang dilakukannya tidak melibatkan spekulasi Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Ibrahim menarik diri daripada bertanding jawatan tersebut.

"Saya tak tahu pun Nurul Izzah nak bertanding atau menarik diri," katanya. - SH

Rabu, 26 Februari 2014

PKR Siasat Laporan Azmin Saman Suara Keadilan

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedang menyiasat desas-desus yang mendakwa Timbalan Presidennya, Mohamed Azmin Ali menyaman lidah rasmi parti itu sendiri - Suara Keadilan kerana menyiarkan laporan berunsur fitnah.
Sehubungan itu PKR menubuhkan jawatankuasa khas yang diketuai Ketua Penerangannya, Dr Muhammad Nur Manuty bagi mendapatkan fakta lengkap mengenai perkara itu.
Bagaimanapun hingga kini Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail masih belum dapat mengesahkan kesahihan maklumat berkenaan.
"Perkara itu dibangkit dalam mesyuarat MPP (Majlis Pimpinan Pusat) yang diadakan di Kajang baru-baru ini mengenai tulisan saudara Hishamuddin Rais di dalam Suara Keadilan yang dikaitkan menyentuh atau bernada serangan terhadap beberapa pemimpin.
"Keputusan MPP ialah menubuhkan sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada lima orang untuk kemudiannya berjumpa dengan kumpulan Suara Keadilan bagi mengumpulkan maklumat, latar belakang dan mendengar pandangan mereka," katanya di sini, Rabu.
Jelas Saiduddin, PKR hanya akan bertindak selepas mendapatkan fakta lengkap terhadap siasatan yang sedang dijalankan itu.
"Kalau nanti mereka menemui maklumat seperti surat guaman dan sebagainya ke atas Suara Keadilan, jawatan kuasa itu akan bawa saranan kepada pimpinan pusat.Buat masa ini belum terima.
"Saya dengar begitu (saman Suara Keadilan)...hanya diberitahu melalui SMS. Tapi belum tengok sendiri lagi surat peguam itu," katanya.
Sebelum ini timbul laporan di media bahawa Suara Keadilan diarahkan PKR memberi penjelasan berhubung penyiaran artikel Hishamuddin sebagai kolumnis lidah parti itu yang bertajuk “Khalid dan Azmin” kerana dikatakan memfitnah Azmin.
Artikel itu disiarkan Suara Keadilan bilangan 160 pada 11 Februari lalu.
Artikel tersebut menganalisis dan menerangkan kemelut yang melanda antara Azmin dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Dalam artikel itu, Hishamuddin menyifatkan Azmin masih mempunyai unsur dan ideologi Umno dan kurang disenangi parti komponen Pakatan Rakyat (PR) lain seperti PAS dan DAP.- mStar

Sabtu, 01 Februari 2014

Khalid terbuka untuk berdamai dengan Azmin

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK 
FEBRUARY 01, 2014
LATEST UPDATE: FEBRUARY 01, 2014 07:47 PM
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berucap di majlis meraikan peminat bola sepak pasukan Selangor di kediaman rasminya di Shah Alam, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 1 Februari, 2014.  Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berucap di majlis meraikan peminat bola sepak pasukan Selangor di kediaman rasminya di Shah Alam, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 1 Februari, 2014.Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini menyatakan kesediaan untuk menjernihkan hubungannya dengan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali bagi mewujudkan keadaan saling hormat-menghormati.
Abdul Khalid berkata, apa yang menjadi keutamaan adalah rakyat memberi sokongan kepada parti pemerintah dan pemimpin itu pula dapat menyumbang kepada pembangunan negeri.
"Politik memang terbuka. Jadi tidak menjadi satu masalah. Dalam politik kita sekarang perlu menimbulkan suasana hormat-menghormati satu sama lain.
"Politik ini bukan akhirnya. Politik satu usaha supaya satu kumpulan mendapat sokongan rakyat untuk diberikan kuasa memerintah. Jadi orang yang dipilih boleh menyumbang kepada kejayaan negeri," katanya ketika ditemui media di majlis meraikan peminat bola sepak Selangor di Shah Alam, hari ini. 
Mohamed Azmin sebelum ini sering mengkritik pentadbiran Abdul Khalid termasuk mengenai bajet kerajaan negeri yang disifatkannya kurang diperuntukkan kepada rakyat.
Katanya, adalah satu perkara yang sia-sia bagi kerajaan negeri Selangor berjaya meningkatkan rizab kepada RM2.7 bilion tetapi rakyat tidak dapat merasainya.
"Apa makna ada rizab besar, kalau jalan masih berlubang, kalau sampah tidak dipungut, banjir masih berulang, kalau cerun masih alami kejadian tanah runtuh, kalau masalah denggi masih tertinggi dalam negara," katanya.
Abdul Khalid ketika ditemui menafikan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim jika terpilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang akan menyelesaikan pertelingkahannya bersama Azmin.
Katanya, perkara itu sememangnya tiada dalam strategi PKR tetapi kehadiran Anwar adalah sebagai mengisi kekosongan di DUN Selangor.
"Itu tiada dalam strategi kita. Sebenarnya tujuan kemasukan Anwar adalah sebagai penelitian seorang Adun. Dalam masa begitu singkat, kita perlu mencari orang yang senang dapat diketengahkan untuk bertanding di Selangor,” katanya.
Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli ketika ditemubual The Malaysian Insider berkata, pencalonan Anwar sebagai wakil Pakatan Rakyat (PR) di DUN Kajang merupakan serampang dua mata iaitu menstruktur semula pentadbiran negeri dan pada masa sama menjernihkan hubungan Abdul Khalid dan Azmin.
Katanya, dengan terpilihnya Anwar sebagai Adun Kajang kelak, hubungan Abdul Khalid dan Azmin dapat dijernihkan selain Anwar dapat menjadi pemantau kepada kerajaan negeri.
Menyentuh isu kenyataan bekas setiausaha politik Abdul Khalid, Faekah Husin dalam laman sosial Twitter, beliau berkata, apa yang dilontarkan Faekah itu bukan datang daripadanya dan menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak rasmi.
Katanya, apa jua yang akan diumumkannya berkaitan urusan kerajaan negeri akan dibuat melalui kenyataan akhbar.
“Percakapan melalui internet bukan kenyataan rasmi. Ramai orang menggunakan ini. Saya akan buat kenyataan akhbar dan kenyataan bertulis untuk apa pendirian negeri dan saya dalam hal ini.
“Kita tidak boleh menggunakan (kenyataan) itu sebagai satu usaha menaik atau menjatuhkan orang lain. Usaha itu mungkin mencetuskan kemarahan dan rasa tidak percaya,” katanya.
Faekah sebelum ini dalam laman Twitternya menulis, "Yang mengejar bernafsu besar, yang mengendong patutkah berjiwa besar?".
Difahamkan kenyataan itu dikeluarkan selepas timbul ura-ura Anwar akan mengambil alih jawatan Menteri Besar Selangor daripada Abdul Khalid berikutan peletakan jawatan Adun Kajang, Lee Chin Cheh.
Di majlis itu juga, Abdul Khalid ditanya mengenai status siasatan dua bekas pengurusan tertinggi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang dipindahkan ke pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor.
Beliau berkata, seorang pegawai khas bebas daripada pejabat SUK diarahkan untuk melakukan pemantauan dan bukannya setiausaha kerajaan negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi.
“Sekarang mereka di bawah jagaan pejabat SUK dan diletakkan seorang pegawai khas bebas untuk mengendalikan pentadbiran. Ini kerana setiausaha juga dikatakan namanya terlibat dalam hal ini.
“Oleh itu, untuk menunjukkan tiada percanggahan kepentingan, kita tidak meminta setiausaha mengendalikannya,” katanya yang mengenakan jersi pasukan bola sepak Selangor hari ini.
Bulan lalu, bekas Pengurus Besar PKNS, Datuk Othman Omar dan bekas setiausaha kerja perbadanan itu, Norita Mohd Sidek ditukarkan serta-merta ke pejabat SUK dan dilarang menghadiri mensyuarat ahli lembaga pengarah PKNS.
Abdul Khalid sebelum ini memaklumkan Khusrin diberi masa dua minggu untuk membuat siasatan terhadap Othman dan Norita membabitkan kes surat penamatan perkhidmatan Azmin sebagai Ahli Lembaga Pengarah PKNS bertarikh 8 Januari lalu.
Norita dalam kenyataan balasnya mendakwa kuasa lantikan ahli perbadanan itu terletak di tangan exco.
Norita berkata, PKNS memaklumkan kepada Azmin mengenai penamatan jawatannya melalui sepucuk surat bertarikh 8 Januari.
"Tempoh jawatan beliau ditamatkan selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Selangor pada 13 November 2013 dan disahkan pada 4 Disember 2013.
"PKNS ingin memaklumkan bahawa kuasa melantik ahli perbadanan adalah di tangan exco dan bukan di tangan pengurus besar selaras dengan klausa 4(1) enakmen penubuhan PKNS," katanya.
Mohammed Khusrin juga memaklumkan Azmin kekal digugurkan daripada jawatan Ahli Lembaga Pengarah PKNS dan tidak akan dilantik kembali.
Katanya, surat Othman pada 16 Januari lalu yang mengatakan PKNS menarik balik pengguguran tersebut adalah tidak benar. – 1 Februari, 2014. - TMI