Tampilkan postingan dengan label khalid MB Sel. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label khalid MB Sel. Tampilkan semua postingan

Jumat, 28 Februari 2014

TS Khalid akui musuh politik daripada kalangan PKR, tetapi ia ‘perkara biasa’


Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim semasa di Majlis Seni Bela Diri, Senjata dan Warisan Negeri Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 1 Mac, 2014. Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim semasa di Majlis Seni Bela Diri, Senjata dan Warisan Negeri Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 1 Mac, 2014.Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim bersetuju dengan penasihat DAP, Lim Kit Siang yang berkata musuh sebenar calon PKR di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, adalah daripada kalangan dalam PKR dan Pakatan Rakyat (PR) yang bercakaran sesama sendiri.
Khalid mengakui beliau juga turut mempunyai ramai musuh politik dalam PKR, tetapi menyifatkannya sebagai perkara biasa dalam arena politik, sama seperti parti politik lain di negara ini.


"Saya juga ramai musuh, tetapi kita patut terima hakikat politik bahawa ia bersifat dinamik, kalau kita melihat DAP, mereka juga mempunyai pergelutan dalaman.

"PAS juga sama, termasuk Umno dan komponen Barisan Nasional (BN) seperti MCA, mereka masih lagi berusaha dalam proses pemulihan, dan MIC kadang-kala berpecah kemudian bersatu, jadi semuanya sama," katanya kepada media selepas program seni silat di Shah Alam, Selangor hari ini.

Khalid, yang mengumumkan akan bertanding untuk jawatan timbalan presiden PKR menjelang pemilihan parti yang akan datang, berkata beliau tidak pernah mendengar mana-mana parti politik di dunia yang tidak mempunyai pergelutan dalaman dan yang stabil sepanjang masa.

Semalam, Lim, merujuk kepada perbalahan di kalangan pemimpin PKR, mengingatkan parti komponen PR untuk bersama-sama memastikan Anwar bukan sahaja memperoleh kemenangan, tetapi juga kemenangan besar.

"Musuh sebenar di Kajang bukanlah daripada MCA atau Umno, tetapi daripada dalam PKR dan Pakatan.
"Kemenangan 'simple majority' di Kajang adalah kekalahan. Kita perlu menyasarkan kemenangan besar untuk menyampaikan mesej Putrajaya menanti perubahan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)," kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu. - TMI

Senin, 10 Februari 2014

Lemah sangatkah politik Khalid Ibrahim?

  • khalid ibrahim
 1 / 1 
SEJAK Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kajang disengajakan, ramai di kalangan ahli PKR yang menyokong dengan hujah bahawa langkah tersebut terpaksa dilakukan kerana kelemahan berpolitik Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor.

Mereka memuji Khalid hebat dalam pentadbiran, tetapi pada masa yang sama, mengeji beliau tidak mahir berpolitik.

Apakah betul dakwaan mereka?

Menaikkan rizab Selangor

Mari kita bermula dari 2008. Khalid dilantik menjadi Menteri Besar Selangor dan mendapati kerajaan Selangor yang kaya sebenarnya miskin. Duit kerajaan entah ke mana meskipun Datuk Seri Dr Khir Toyo boleh memiliki mahligai di Shah Alam.


Tiada jalan lain bagi Khalid. Sama ada beliau mencari jalan untuk meningkatkan pendapatan kerajaan negeri Selangor ataupun beliau merayu dan membiarkan diri diperas ugut daripada segi kewangan oleh kerajaan persekutuan yang masih di bawah Umno.

Bagi Khalid, untuk melawan kemaraan dan kacauan Umno di Selangor, kerajaan Selangor Pakatan Rakyat mesti mempunyai dana yang bukan sekadar cukup, malah menggerunkan lawan.

Oleh itu, tidak susah untuk memahami mengapa Khalid sentiasa mewar-warkan jumlah rizab kerajaan Selangor kepada umum. Ia adalah strategi politik serampang dua mata, pertama mendapat kepercayaan dan keyakinan rakyat bahawa Selangor sedang ditadbir dengan baik, dan kedua ditujukan untuk Umno, bahawa kerajaan negeri Pakatan Rakyat mempunyai dana yang cukup untuk berperang dengannya sekiranya mereka melakukan apa-apa.

Meningkatkan rizab kerajaan negeri Selangor adalah satu langkah politik untuk menyekat sebarang peluang Umno untuk merampas kembali Selangor.

Hanya dengan rizab yang menggerunkan, Putrajaya tidak berani melakukan sabotaj berbentuk kewangan pada kerajaan negeri Selangor kerana ia tahu kerajaan Selangor mampu menyelesaikannya.

Ia dilakukan dengan baik oleh Khalid apabila beliau melawan sabotaj Umno menggunakan isu kutipan sampah melalui pembelian sendiri jentera pengurusan sampah.

Untuk membolehkan rakyat melupakan Umno di Selangor dan hanya teringat kepada Pakatan Rakyat, Khalid memberikan air percuma 20m3 setiap bulan kepada rakyatnya.

Pemberian air percuma ini menjadi satu mercu tanda kecemerlangan pentadbiran Khalid, kerana rakyat tidak pernah menikmati kemewahan ini semasa Umno-BN mentadbir.

Kerana air percuma ini, rakyat juga merasakan Selangor ditadbir dengan baik kerana rizab semakin meningkat sehingga mampu memberikan air percuma yang selama ini tidak mampu diberikan oleh kerajaan Umno-BN.

Air percuma ini pada kulitnya dilihat sebagai satu usaha berkebajikan Khalid, tetapi di sebaliknya, ia sebenarnya dicatur dengan penuh teliti yang merangkumi kehebatan ilmu strategik politik Khalid.

Lantikan Khusrin, gaji, istana

Sebagai seorang bekas CEO satu syarikat yang besar, setiap tindakan Khalid akan dilakukan dengan penghujungnya “apakah kesudahan yang diinginkan.”

Khalid perlu memastikan setiap langkah taktikalnya menguntungkan kerajaan negeri dan juga rakyatnya meskipun berdepan dengan keadaan yang amat sukar. Situasinya mesti win-win, atau win-lose, tapi lose untuk pihak lain.

Selain itu, Khalid juga dilihat sentiasa mengelakkan diri dan kerajaan negeri daripada bertembung dengan pihak istana.

Khalid belajar daripada episod bantahannya terhadap pelantikan Datuk Mohammed Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan negeri Selangor.

Ketika itu, walaupun Khalid membantah pelantikan Khusrin yang dilakukan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) tanpa merujuknya terlebih dahulu, tetapi beliau tetap menghadirkan diri ke majlis angkat sumpat Khusrin atas alasan menghormati Sultan Selangor.

Daripada segi politik, Khalid memahami sekiranya beliau memulau majlis angkat sumpah tersebut, ia akan dilihat sebagai mengisytihar perang dengan istana.

Apakah kebaikan atau keuntungan yang boleh dicapai dengan berperang dengan istana? Tiada, malah ia merugikan kerana langkah itu akan memberi laluan untuk Umno mempertingkat serangan dan menjejaskan sokongan pengundi Melayu kepada Pakatan Rakyat.

Oleh itu, Khalid akur dengan lantikan Khusrin meskipun dalam protes kerana menjaga hubungan baiknya dengan istana perlu diutamakan bagi mengelak gangguan tidak perlu terhadap kerja beliau sebagai MB Selangor. Langkah sedemikian juga mengelakkan beliau dan seluruh kerajaan negeri daripada terperangkap dalam permainan Umno.

Berbalik ke waktu ini, ramai yang mengecam tindakan Khalid menaikkan gaji exco, speaker, timbalan speaker dan beliau sendiri sebagai menteri besar pada skala yang besar.

Walaupun panas pada awal isu ini terletus, tetapi akhirnya, isu gaji tinggi di Selangor sebenarnya berpihak kepada kebijaksanaan politik Khalid.

Gaji yang tinggi melambangkan kemakmuran pentadbiran Selangor. Gaji MB lebih tinggi daripada PM sebenarnya satu kemenangan untuk Pakatan Rakyat, kerana ia menunjukkan Selangor ditadbir jauh lebih baik daripada Putrajaya sehingga membolehkan keadaan itu berlaku. Meskipun Umno-BN mentadbir untuk 5 dekad lamanya, mereka masih tidak mampu berbuat demikian.

Khalid juga tidak mahu apa yang berlaku semasa pentadbiran Umno-BN berlaku di zaman Pakatan Rakyat iaitu ahli politik termasuk exco merekacipta projek dan menceburkan diri dalam aktiviti untuk menambah sumber pendapatan diri dan keluarga kerana kesempitan wang. Situasi inilah menjadi baja kepada suburnya masalah kronisme, salah guna kuasa, projek rundingan terus dan rasuah di dalam pentadbiran Umno-BN.

Apakah jalan keluar untuk mengelakkan perkara ini berlaku? Bagi Khalid, memberikan gaji yang setimpal kepada mereka adalah jalan keluar paling mudah dan logik. Walaupun dari luar kenaikan gaji yang dicadangnya kelihatan lumayan, sebenarnya gaji itu adalah setimpal dengan kecemerlangan kerajaan negeri Selangor.

Jais, isu Allah dan PKNS

Dalam isu kemelut agama pula, Khalid sebagai MB Selangor menghadapi dua ujian politik yang besar, kedua-duanya melibatkan tindakan Jais.

Pertama ialah serbuan Jais ke gereja DUMC dan yang kedua ialah serbuan Jais ke Persatuan Bible Malaysia (PBM) untuk merampas Bible berbahasa Melayu.

Khalid sudah tentu sedar isu kalimah ALLAH ini bukanlah isu akidah, kerana sekiranya ia adalah isu akidah, sudah tentu hukumnya meliputi semua negeri di Malaysia.

Namun, apabila ada sesetengah negeri dibenarkan kerajaan untuk menggunakan kalimah ALLAH dan sesetengah negeri tidak, sudah pasti isu kalimah ALLAH pada pandangan Khalid menjadi satu isu politik.

Isu kalimah  ALLAH tidak pernah reda, dan malah makin buruk apabila ahli politik, para peguam dan media daripada kedua-dua belah terus menghangatkan suasana dengan menegaskan pandangan masing-masing mengenai penggunaan nama ALLAH.

Penganut Kristian terus menggesa pemimpin bukan Islam daripada PR untuk bersuara mempertahankan hak mereka. Mereka juga mengharapkan pemimpin Melayu PR bersuara untuk pihak mereka menggunakan fakta sejarah dan sudut perlembagaan.

Pihak satu lagi pula, mereka terus bertegas bahawa kalimah ALLAH adalah hak milik eksklusif orang Islam dan tidak boleh digunakan oleh penganut agama lain.

Perkara ini menjadi lebih rumit, apabila kajian UMCEDEL dan Merdeka Centre menunjukkan lebih daripada 75 peratus orang Islam di Malaysia berpendapat bahawa kalimah ALLAH adalah hak milik eksklusif orang Islam.

Oleh itu, apakah kesudahan yang diharapkan daripada kemelut kalimah ALLAH ini?

Dalam isu kalimah ALLAH, situasi apakah yang paling menguntungkan Pakatan Rakyat dan pada masa sama menghalang Umno terus mengambil untung politik daripada segi menjauhkan pengundi Melayu pedalaman daripada mendekati Pakatan Rakyat?

Itu yang menjadi pertimbangan Khalid. Khalid sedar isu ALLAH sudah menghampiri tahap tiada penyelesaian, maka apa yang boleh dilakukannya ialah mengelakkan diri dan kerajaan negeri daripada menambah minyak pada isu yang tengah membara.

Ini dilakukan oleh Khalid dengan mengambil sikap pasif terhadap isu tersebut.

Khalid tahu mengheret kerajaan negeri ke kemelut isu ALLAH adalah satu tindakan tidak bijak. Isu kalimah ALLAH ini sepatutnya masalah kerajaan persekutuan, dan tiba-tiba kini ia cuba dijadikan seolah-olah ia masalah Selangor kerana tindakan Jais seperti cara Umno melontarkan kentang panas isu kalimah ALLAH ini kepada Pas.

Apakah kesudahan yang boleh diharapkan jika Khalid membawa kerajaan negeri untuk berperang dengan satu agensi di bawah kuasa sultan? Tiada, kerana 75 peratus orang Melayu tidak bersetuju dengan nama ALLAH digunakan oleh agama lain, sudah tentu berperang dengan Jais dan Mais tidak akan menyelesaikan kemelut ini.

Berpihak kepada mana-mana pihak akan menyemarakkan keadaan. Langkah yang boleh diambil oleh Khalid ialah meredakan keadaan.

Bagaimana untuk meredakan keadaan? Iaitu dengan bersikap pasif dan mengelak daripada melakukan apa-apa yang boleh menghangatkan lagi kontroversi dan memberi peluang kepada Umno untuk menyerang.

Maka, kerajaan negeri Selangor mengambil pendirian menghormati apa yang dilakukan Jais dan Mais untuk tidak dilihat bertembung dengan istana sambil memberikan teguran kepada Jais agar memaklumkan terlebih dahulu kepada kerajaan negeri sebelum serbuan dilakukan pada masa depan.

Sikap pasif Khalid juga boleh dilihat apabila beliau tidak menyahut cadangan beberapa Adun DAP untuk meminda Enakmen 1988 Selangor. Jika disahut, maka Khalid sendiri membantu DAP dan Pakatan Rakyat memijak bom yang dipasang lawan.

Itulah langkah tengah yang diambil oleh Khalid untuk meredakan isu kalimah ALLAH.

Sudah tentu, ada pihak yang tidak senang dengan tindakan Khalid, tetapi daripada sudut politik, apa yang dibuat Khalid menghentikan isu kalimah ALLAH daripada terus marak dan dimanipulasikan pihak tertentu untuk menegangkan lagi hubungan antara kaum dan agama di Selangor.

Dan sikap pasif Khalid ini memberi manfaat kepada Pakatan Rakyat daripada terus rugi daripada sudut persepsi politik bahawa mereka tidak berpihak kepada orang Melayu.

Khalid sedar bahawa Pakatan Rakyat berhadapan dengan masalah kurangnya sokongan Melayu pedalaman, dan orang Melayu pedalaman ini tidak mempunyai masalah untuk kekal bersama Umno-BN.

Oleh itu, daripada sudut politiknya, Khalid tidak boleh melakukan sesuatu yang menambahkan alasan untuk mereka kekal bersama Umno-BN.

Bagi rakyat di kawasan bandar dan semi-bandar, terutamanya pengundi bukan Islam, Khalid memilih untuk mengambil 'calculated risk' dengan menaruh harapan bahawa mereka sedar bahawa ini adalah permainan Umno-BN. Khalid menaruh keyakinan bahawa mereka akan kekal bersama Pakatan Rakyat untuk menumbangkan Umno-BN.

Kontroversi di PKNS dan pemecatan 30 pekerja kontrak di PKNS juga secara tersiratnya menunjukkan kehebatan Khalid berpolitik.

Tindakan tegas dan cepat ini dilakukan pada waktu PRK Kajang bakal langsung dapat mengurangkan protes dalaman secara drastik terhadap isu ini kerana masing-masing ingin menjaga kepentingan kempen Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kajang.

Memahami CEO Khalid

Sebagai seorang CEO, Khalid perlu memastikan perniagaan Guthrie adalah terjamin. Sebagai MB, Khalid perlu memastikan Selangor terus berkembang, terus kaya dan terus kekal di tangan Pakatan Rakyat.

Kerajaan Selangor mesti kekal telus. Kerajaan Selangor mesti dilihat kerajaan yang ‘do what you say, and say what you do.’

Asalkan kerajaan Selangor kekal di tangan Pakatan Rakyat dengan kepercayaan yang diberikan rakyat, barulah rakyat dan parti Pakatan Rakyat dapat mendapat manfaat daripadanya. Jika ia kembali kepada Umno-BN, hanya segelintir yang sahaja yang dapat tinggal di rumah seperti istana.

Kerajaan negeri yang mencampur-adukkan hal ehwal kerajaan negeri dengan hal parti tidak akan bertahan lama.

Banyak keputusan kerajaan negeri perlu diambil atas kepentingan kerajaan negeri, dan kebanyakan keputusan tersebut sebenarnya tidak menguntungkan parti politik; sebagai contoh - mengurangkan pembelanjaan daripada sudut lantikan politik atau memberi projek kecil-kecilan untuk membiayai program parti secara halus.

Lebih-lebih lagi, Khalid tahu agensi seperti SPRM adalah ‘lebih rajin’ untuk menyiasat salah laku di dalam kerajaan negeri milik PR berbanding Umno-BN. Oleh itu, beliau tidak boleh mengambil sebarang risiko untuk SPRM dan Umno-BN mendapat sebarang bukti kesilapan dengan membiarkan hal ehwal negeri disalahgunakan untuk keperluan parti.

Beliau terpaksa kedekut. Demi kerajaan Selangor untuk terus hidup, Khalid perlu pentingkan kepentingan kerajaan negeri daripada kepentingan parti.

Barangkali itulah yang menyebabkan ahli partinya sendiri menuduh beliau tidak pandai berpolitik, meskipun langkah politik Khalid untuk menghalang kemaraan Umno di Selangor cukup mengkagumkan.

Sebagai seorang bekas CEO di syarikat sebesar Guthrie, mustahil Khalid tidak mahir berpolitik. Politik dalam dunia korporat kadangkala adalah jauh lebih ganas daripada politik di luar.

Khalid tidak pernah malu menyatakan bahawa beliau kaya. Dan kerana itu, beliau "has nothing to lose."

CEO yang menampilkan dirinya seolah-olah tidak pandai berpoltik, tetapi, pada masa sama cukup berani dan tangkas membuat keputusan (lihat episod PKNS) apabila situasi memerlukannya adalah amat digeruni oleh kawan mahupun lawan.

Apakah anda masih percaya Khalid tidak bijak berpolitik?

Minggu, 02 Februari 2014

Khalid Tidak Akan Berganjak Sebagai MB Selangor


Abdul Khalid
KLANG: Walaupun Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata terdapat perbincangan beliau akan mengambil alih jawatan menteri besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim tidak mungkin akan meletak jawatan, kata sumber yang rapat dengan menteri besar.
Mereka berkata, Khalid hanya akan berbuat demikian jika Timbalan Presiden PKR Azmin Ali juga mengosongkan kerusi DUN Bukit Antarabangsa yang disandang beliau.
"Khalid tegas dengan pendirian ini dan tidak akan berganjak jika kompromi ini tidak dipenuhi," kata sumber yang rapat dengan kerajaan negeri.
Menurut sumber, Khalid telah bersetuju untuk memberi laluan kepada Anwar, tetapi jika penasihat PKR itu bertanding di Bukit Antarabangsa yang mana kerusi itu akan dikosongkan oleh Azmin.
Walau bagaimanapun beliau mendakwa Anwar kembali memperkatakan tentang hal itu dengan meminta bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang Lee Chin Cheh untuk memberi laluan kepada beliau bertanding kerusi DUN itu.
Anwar
Sumber lain berkata Khalid enggan memenuhi sebahagian daripada rancangan itu kerana Anwar telah gagal untuk meyakinkan Azmin untuk mengosongkan kerusinya.
"Khalid telah menurunkan pelan kedua yang melibatkan Lee," kata sumber itu.
Satu lagi sumber yang rapat dengan pejabat menteri besar berkata Khalid sebenarnya telah bersetuju Anwar mengambil alih tempatnya jika beliau menang kerusi negeri.
"Bagaimanapun, beliau telah mengenakan syarat, iaitu untuk Azmin yang dilihat sebagai pembuat kacau hendaklah dikeluarkan daripada DUN.
"Dia menganggap Azmin sebagai punca masalah ini di Selangor dan mengeluarkan Lee untuk membawa masuk Anwar sebenarnya tidak menangani isu sama sekali," kata sumber itu.
Sumber itu juga berkata Khalid, yang popular di kalangan masyarakat dengan dasar mesra rakyat dan personaliti merendah diri, mungkin tidak berganjak jika Azmin tidak disingkirkan.
Azmin
"Khalid adalah seorang tokoh korporat yang sangat berpengalaman dalam berurusan dan membuat keputusan. Dia tidak akan berundur melainkan jika dia mendapat apa yang dia mahu," kata sumber itu.
Seluruh negara terkejut apabila Lee meletak jawatan minggu lepas dan Anwar dinamakan sebagai calon bagi kerusi di Kajang.
Langkah itu dilihat sebagai sebahagian daripada langkah-langkah yang diambil oleh PKR untuk menghapuskan Khalid yang dianggap sebagai seorang yang lokek dan enggan menghabiskan wang negeri mengikut keperluan.

Sabtu, 01 Februari 2014

Khalid terbuka untuk berdamai dengan Azmin

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK 
FEBRUARY 01, 2014
LATEST UPDATE: FEBRUARY 01, 2014 07:47 PM
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berucap di majlis meraikan peminat bola sepak pasukan Selangor di kediaman rasminya di Shah Alam, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 1 Februari, 2014.  Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berucap di majlis meraikan peminat bola sepak pasukan Selangor di kediaman rasminya di Shah Alam, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 1 Februari, 2014.Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini menyatakan kesediaan untuk menjernihkan hubungannya dengan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali bagi mewujudkan keadaan saling hormat-menghormati.
Abdul Khalid berkata, apa yang menjadi keutamaan adalah rakyat memberi sokongan kepada parti pemerintah dan pemimpin itu pula dapat menyumbang kepada pembangunan negeri.
"Politik memang terbuka. Jadi tidak menjadi satu masalah. Dalam politik kita sekarang perlu menimbulkan suasana hormat-menghormati satu sama lain.
"Politik ini bukan akhirnya. Politik satu usaha supaya satu kumpulan mendapat sokongan rakyat untuk diberikan kuasa memerintah. Jadi orang yang dipilih boleh menyumbang kepada kejayaan negeri," katanya ketika ditemui media di majlis meraikan peminat bola sepak Selangor di Shah Alam, hari ini. 
Mohamed Azmin sebelum ini sering mengkritik pentadbiran Abdul Khalid termasuk mengenai bajet kerajaan negeri yang disifatkannya kurang diperuntukkan kepada rakyat.
Katanya, adalah satu perkara yang sia-sia bagi kerajaan negeri Selangor berjaya meningkatkan rizab kepada RM2.7 bilion tetapi rakyat tidak dapat merasainya.
"Apa makna ada rizab besar, kalau jalan masih berlubang, kalau sampah tidak dipungut, banjir masih berulang, kalau cerun masih alami kejadian tanah runtuh, kalau masalah denggi masih tertinggi dalam negara," katanya.
Abdul Khalid ketika ditemui menafikan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim jika terpilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang akan menyelesaikan pertelingkahannya bersama Azmin.
Katanya, perkara itu sememangnya tiada dalam strategi PKR tetapi kehadiran Anwar adalah sebagai mengisi kekosongan di DUN Selangor.
"Itu tiada dalam strategi kita. Sebenarnya tujuan kemasukan Anwar adalah sebagai penelitian seorang Adun. Dalam masa begitu singkat, kita perlu mencari orang yang senang dapat diketengahkan untuk bertanding di Selangor,” katanya.
Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli ketika ditemubual The Malaysian Insider berkata, pencalonan Anwar sebagai wakil Pakatan Rakyat (PR) di DUN Kajang merupakan serampang dua mata iaitu menstruktur semula pentadbiran negeri dan pada masa sama menjernihkan hubungan Abdul Khalid dan Azmin.
Katanya, dengan terpilihnya Anwar sebagai Adun Kajang kelak, hubungan Abdul Khalid dan Azmin dapat dijernihkan selain Anwar dapat menjadi pemantau kepada kerajaan negeri.
Menyentuh isu kenyataan bekas setiausaha politik Abdul Khalid, Faekah Husin dalam laman sosial Twitter, beliau berkata, apa yang dilontarkan Faekah itu bukan datang daripadanya dan menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak rasmi.
Katanya, apa jua yang akan diumumkannya berkaitan urusan kerajaan negeri akan dibuat melalui kenyataan akhbar.
“Percakapan melalui internet bukan kenyataan rasmi. Ramai orang menggunakan ini. Saya akan buat kenyataan akhbar dan kenyataan bertulis untuk apa pendirian negeri dan saya dalam hal ini.
“Kita tidak boleh menggunakan (kenyataan) itu sebagai satu usaha menaik atau menjatuhkan orang lain. Usaha itu mungkin mencetuskan kemarahan dan rasa tidak percaya,” katanya.
Faekah sebelum ini dalam laman Twitternya menulis, "Yang mengejar bernafsu besar, yang mengendong patutkah berjiwa besar?".
Difahamkan kenyataan itu dikeluarkan selepas timbul ura-ura Anwar akan mengambil alih jawatan Menteri Besar Selangor daripada Abdul Khalid berikutan peletakan jawatan Adun Kajang, Lee Chin Cheh.
Di majlis itu juga, Abdul Khalid ditanya mengenai status siasatan dua bekas pengurusan tertinggi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang dipindahkan ke pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor.
Beliau berkata, seorang pegawai khas bebas daripada pejabat SUK diarahkan untuk melakukan pemantauan dan bukannya setiausaha kerajaan negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi.
“Sekarang mereka di bawah jagaan pejabat SUK dan diletakkan seorang pegawai khas bebas untuk mengendalikan pentadbiran. Ini kerana setiausaha juga dikatakan namanya terlibat dalam hal ini.
“Oleh itu, untuk menunjukkan tiada percanggahan kepentingan, kita tidak meminta setiausaha mengendalikannya,” katanya yang mengenakan jersi pasukan bola sepak Selangor hari ini.
Bulan lalu, bekas Pengurus Besar PKNS, Datuk Othman Omar dan bekas setiausaha kerja perbadanan itu, Norita Mohd Sidek ditukarkan serta-merta ke pejabat SUK dan dilarang menghadiri mensyuarat ahli lembaga pengarah PKNS.
Abdul Khalid sebelum ini memaklumkan Khusrin diberi masa dua minggu untuk membuat siasatan terhadap Othman dan Norita membabitkan kes surat penamatan perkhidmatan Azmin sebagai Ahli Lembaga Pengarah PKNS bertarikh 8 Januari lalu.
Norita dalam kenyataan balasnya mendakwa kuasa lantikan ahli perbadanan itu terletak di tangan exco.
Norita berkata, PKNS memaklumkan kepada Azmin mengenai penamatan jawatannya melalui sepucuk surat bertarikh 8 Januari.
"Tempoh jawatan beliau ditamatkan selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Selangor pada 13 November 2013 dan disahkan pada 4 Disember 2013.
"PKNS ingin memaklumkan bahawa kuasa melantik ahli perbadanan adalah di tangan exco dan bukan di tangan pengurus besar selaras dengan klausa 4(1) enakmen penubuhan PKNS," katanya.
Mohammed Khusrin juga memaklumkan Azmin kekal digugurkan daripada jawatan Ahli Lembaga Pengarah PKNS dan tidak akan dilantik kembali.
Katanya, surat Othman pada 16 Januari lalu yang mengatakan PKNS menarik balik pengguguran tersebut adalah tidak benar. – 1 Februari, 2014. - TMI

Sabtu, 11 Januari 2014

Persengketaan Tan Sri Khalid dan Azmin Ali kembali memuncak


KLANG: Persengketaan lama antara Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Mohamed Azmin Ali dilihat kembali memuncak apabila Menteri Besar itu menggugurkan Timbalan Presiden Parti Keadilan (PKR) berkenaan daripada jawatan ahli lembaga pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
Walaupun sumber PKNS mendakwa keputusan tersebut untuk 'mengukuhkan' perbadanan itu, pengikut setia Mohamed Azmin sebaliknya mendakwa keputusan itu bertujuan melemahkan pemimpin berkenaan menjelang pemilihan parti tahun ini.
"Pengguguran (Mohamed) Azmin adalah satu keputusan perniagaan untuk mengukuhkan kedudukan penyumbang ekonomi terbesar negeri ini," tegas sumber PKNS itu.
Bagaimanapun ternyata penyokong Azmin menolak alasan ini dengan mendakwa Abdul Khalid bertindak dengan sewenang-wenangnya untuk menghapuskan musuh politiknya.
Sehubungan itu mesyuarat khas dijangka akan diadakan di Ibu Pejabat PKR pada Ahad malam bagi membincangkan mengenai kedudukan Mohamed Azmin dan beberapa isu lain di Selangor.
Salah seorang daripada mereka berkata Mohamed Azmin selalu memberikan tekanan kepada Menteri Besar ketika mesyuarat ahli lembaga pengarah.
"Azmin bertanya banyak soalan dan sering mencabar kenyataan dan keputusan Khalid yang diputuskan dalam mesyuarat.
"Itulah sebabnya beliau digugurkan," katanya.
Seorang lagi penyokong Mohamed Azmin berkata: "Jika anda seorang ahli politik, adalah penting untuk anda memegang jawatan dalam syarikat atau organisasi berkaitan kerajaan untuk mendapatkan pengaruh.
"Apa yang Tan Sri (Abdul Khalid) lakukan adalah untuk sekat sayap Azmin sebelum pemilihan PKR."
Tambahnya Abdul Khalid juga m -menghantar mesej kepada ahli akar umbi parti bahawa beliau lebih berkuasa daripada Timbalan Presiden PKR itu. - mStar

Sabtu, 26 Oktober 2013

Utusan sokong PAS gantikan Khalid sebagai MB Selangor, bukan Azmin


Kolumnis Utusan Malaysia, Awang Selamat hari ini mempersoalkan keengganan PAS menyertai kepimpinan tertinggi negeri Selangor setelah wujud perselisihan dalaman PKR bagi memilih Menteri Besar Selangor yang paling layak.
Beliau berkata desas-desus bertiup kencang bahawa Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) akan digantikan dengan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali tidak lama lagi.
“Awang tertanya-tanya mengapa PAS tidak mahu menuntut jawatan Menteri Besar? Adakah PAS tidak cukup keyakinan untuk menggalas teraju kepimpinan dengan sekadar jadi pengekor?
“Adakah parti dalam Pakatan Rakyat (PR) akan menentang habis-habisan jika PAS mengambil tindakan sedemikian? Kebanyakan pemimpin PAS negeri juga dikatakan lebih condong kepada Khalid.
“Isu ini sedang hangat diperkatakan dalam PKR. Bagaimanapun khabarnya Khalid enggan berundur walaupun didesak oleh Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya melalui akhbar edisi Ahad, Mingguan Malaysia hari ini.
Menurut Awang Selamat, pihak yang menyokong Abdul Khalid kurang senang dengan tekanan yang dikenakan ke atas beliau kerana mereka berpendapat kejayaan pakatan pembangkang mempertahankan Selangor turut disumbangkan oleh faktor kepimpinan Menteri Besar Selangor itu.
Katanya, beberapa pemimpin PKR Selangor yang menyokong Azmin mahukan Anwar lebih tegas melakukan perubahan kepada jawatan Menteri Besar.
“Menurut mereka Anwar telah berjanji untuk melantik Azmin menggantikan Khalid. Sebagai Timbalan Presiden, sepatutnya beliau sudah lama diberi jawatan lebih utama.
“Awang menetap di kawasan pentadbiran Selangor. Tidak kisahlah siapa menjadi Menteri Besar sama ada Khalid mahupun Azmin asalkan perlembagaan negeri membenarkan,” katanya.
Awal bulan ini, Anwar mengkritik Abdul Khalid dan meminta Menteri Besar Selangor itu tidak lagi berbangga dengan lebihan kewangan yang diperolehi tetapi gagal membelanjakannya dengan baik.
Sebaliknya, Anwar memuji Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang disifatkannya berjaya membawa Pulau Pinang mencapai tahap prestasi terbaik.
Anwar mendakwa, setakat ini Pulau Pinang di bawah pimpinan Lim menunjukkan prestasi membanggakan berbanding Selangor ekoran kelemahan yang dilihat masih belum berjaya diatasi dalam pentadbiran Abdul Khalid. – 27 Oktober, 2013.