Tampilkan postingan dengan label jalan-jalan. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label jalan-jalan. Tampilkan semua postingan

Sabtu, 14 Desember 2013

[Jalan-Jalan] Jom ke Maldives

oleh NIEZAM ABDULLAH

Pemandangan dari udara Holiday Inn Resort di Kandooma, Maldives.
APABILA sebut sahaja Maldives, saya percaya bagi pengembara bajet, mereka mungkin merasakan pulau ini bukanlah sebuah destinasi pilihan untuk dikunjungi.
Kebanyakan pengembara menganggap Maldives hanya sesuai bagi mereka yang gemarkan percutian mewah ataupun bertaraf lima bintang.
Ini kerana Maldives itu sendiri dilihat sebagai sebuah destinasi percutian yang eksklusif dengan keadaan laut, pasir dan pantainya yang begitu luar biasa.
Maka kos untuk menjejakkan kaki ke sebuah pulau di lautan India ini juga sering kali dianggap tinggi apatah lagi kedudukan bandar-bandarnya yang berselerak dengan 1,190 buah pulau.
Tetapi persepsi itu salah sama sekali kerana Maldives menyediakan percutian untuk semua peringkat iaitu daripada percutian ‘ciput’ sehinggalah kepada mewah.
Pantai dan laut, panorama yang indah.
Tempat-tempat penginapan yang disediakan serendah RM80 sehinggalah kepada RM2,000 bagi satu malam. Malah ada juga yang lebih daripada itu. Semuanya bergantung setakat mana kita mampu berbelanja untuk bercuti.
Terdapat kira-kira 105 tempat penginapan yang menyediakan pelbagai kemudahan sama ada untuk percutian bersama teman, keluarga ataupun berbulan madu.
Ia bukanlah satu halangan untuk kita memilih lokasi ini sebagai destinasi percutian terutamanya bagi mereka yang cintakan suasana pantai dan gemarkan aktiviti laut seperti menyelam skuba dan sebagainya.
Identiti Maldives sebenarnya menarik. Ia sebuah negara kecil dengan populasi penduduknya dianggarkan berjumlah kira-kira 350,000 ribu orang. Agama rasminya adalah Islam dan tidak sukar mencari makanan halal.
Menyedari pelancongan merupakan salah satu tarikan kepada negara ini, maka pemerintah terpaksa memperkenalkan dua undang-undang berbeza untuk rakyat dan juga pelancong.
Maldives juga sesuai untuk berbulan madu.
Bagi pelancong, mereka dibenarkan untuk meminum arak dan melakukan aktiviti-aktiviti sosial yang ditegah oleh agama Islam dan bagi penduduk pula mereka harus menghormati pelancong kerana ia adalah sumber pendapatan kepada negara.
Namun begitu penduduk harus mematuhi undang-undang Islam yang diamalkan termasuklah bersedia dihukum sebat di khalayak sekiranya ada di antara mereka ditangkap atas kesalahan melakukan zina.
Maldives menggunakan mata wang Rufiyaa (MRF). Setiap AS$1 dolar bersamaan MRF15.42. Bagaimanapun bagi memudahkan pelancong berbelanja, mata wang dolar Amerika Syarikat turut diterima untuk berurus niaga.
Pada Oktober lalu saya berkesempatan mengunjungi pulau itu bersama AirAsia X yang baharu sahaja membuka destinasi penerbangannya pada 28 September lepas.
Perjalanan selama kira-kira empat jam itu membangkitkan rasa teruja apabila pesawat bersedia untuk mendarat kerana air laut dan kecantikan pantai sudah dapat dilihat dari udara.
Dari lapangan terbang, saya dan para rombongan dibawa ke sebuah pulau kecil iaitu Kandooma Fushi yang terletak sebelah Selatan ibu negara Maldives iaitu Male.
Mengambil masa kira-kira 40 minit perjalanan dengan bot laju ke destinasi berkenaan, kita akan dapat melihat pulau-pulau kecil yang kebanyakannya menempatkan rumah penginapan menarik dan berbeza antara satu sama lain.
Destinasi percutian pilihan saya ialah di Holiday Inn Resort Kandooma, sebuah resort atas pulau kecil yang unik.
Resort ini menyediakan 160 buah vila dengan empat gaya berbeza sama ada vila dengan suasana pantai dan taman, rumah atas pantai, penginapan keluarga atau vila atas air.
Harga penginapannya di antara RM900 sehingga RM1,500 bagi satu malam. Ia mungkin mahal kerana resort ini bertaraf lima bintang. Tetapi jika anda mampu, mengapa tidak mencubanya.
Kepada mereka yang tidak berkemampuan untuk menikmati kemudahan lima bintang, agensi pelancongan di Maldives turut memberi ruang kepada pengembara bajet untuk menikmati kemudahan di resort seperti itu.
Ini kerana mereka menyediakan pakej menarik untuk pelancongan bajet. Contohnya jika anda menginap di hotel berharga RM80 semalam, anda boleh mengeluarkan sedikit belanja dalam jumlah tertentu untuk menikmati makan tengah hari di pulau A, makan malam di pulau B dan seterusnya melakukan aktiviti pantai di pulau C yang mana kesemua resort di pulau-pulau itu adalah lima bintang.
Ia lebih menjimatkan kerana walaupun ada menginap di sebuah hotel bajet tetapi anda tetap memperoleh peluang merasai kenikmatan di tempat-tempat mewah.
Langkah itu adalah salah satu usaha kerajaan Maldives untuk menggalakkan lebih ramai pelancong pelbagai peringkat menggunakan peluang sepenuhnya bercuti di pulau-pulau di negara berkenaan.
Mungkin ada yang menganggap menghabiskan masa lima hari di sebuah pulau kecil yang hanya ada sebuah resort agak membosankan, tidak seperti Pulau Langkawi yang boleh dijadikan sebagai tempat beli-belah.
Persepsi itu harus dibuang jauh kerana Maldives bukan destinasi seperti itu sebaliknya ia lebih memberi keutamaan kepada mereka yang benar-benar sukakan pantai dan laut.
Sama seperti kebanyakan pulau lain, pelbagai aktiviti dapat dilakukan sepanjang berada di Maldives antaranya menyelam skuba, bersnorkel untuk melihat batu-batu karang, memancing di waktu malam, BBQ dan juga menikmati permainan pantai.
Bagaimanapun tanpa aktiviti itu, percutian ke Maldives turut bermakna kerana air laut yang jernih berlatarkan langit membiru merupakan satu tarikan luar biasa yang mampu mempesonakan.
Ditambah lagi dengan hembusan bayu laut bersama putih pasir pantai, benar-benar membawa satu pengalaman baharu kepada pengembara.
Saya percaya, sekali anda berpeluang untuk menikmati percutian ke pulau eksklusif ini, sukar untuk anda padamkan betapa pulau ini benar-benar indah dan menakjubkan.
Bagaimana hendak ke Maldives?
Bermula 28 September 2013, AirAsia X memperkenalkan perjalanan terus dari Terminal Tambang Murah (LCCT), Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Ibrahim Nasir, Maldives.
Ia mengambil masa kira-kira empat jam dengan jumlah penerbangan empat kali seminggu iaitu pada hari Selasa, Khamis, Jumaat dan Ahad.
Pihak AirAsia X turut memperkenalkan kadar tambang promosi dari semasa ke semasa yang mana ia jauh lebih murah daripada kebanyakan syarikat penerbangan lain.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, anda boleh melayari www.airasia.com bagi mendapatkan maklumat promosi yang ditawarkan.

Sabtu, 16 November 2013

[JALAN-JALAN] . . .Istanbul


Penulis di Selat Bosphorus. Foto Bernama
Daripada Kurniawati Kamarudin

ISTANBUL (Bernama) -- Menikmati 'Chai" atau teh O panas sambil menikmati pemandangan indah Selat Bosphorus, yang memisahkan benua Eropah dan Asia, dari atas Bukit Camcila, Istanbul, sememangnya memberi satu kepuasan kepada pengunjung.

Peluang berdiri di atas bukit di benua Asia, menghadap ke bahagian Eropah, sudah pasti mata akan terpaut dengan keindahan dan pembangunan pesat Istanbul, sebuah kota yang mempunyai peninggalan sejarah empayar-empayar terdahulu seperti Rom, Byzantine dan Uthmaniyyah.

Berketinggian 268 meter dari aras laut, Bukit Camcila adalah bukit tertinggi daripada tujuh bukit yang terdapat di Istanbul. Lokasi ini menjadi pilihan bukan sahaja dalam kalangan pelancong, tetapi penduduk di Turki untuk bersantai terutama pada hujung minggu.

Udara segar bukit yang dingin membangkitkan suasana romantis terutama ketika malam menjengah dengan limpahan cahaya daripada bangunan-bangunan yang terdapat berhampiran Selat Boshporus.

Ini menjadikan Turki sebagai lokasi idaman setiap pelancong yang mencakupi dari pelbagai keindahan khususnya seni bina, budaya serta tarikan alam semula jadi.

MISI MALAYSIA DI TURKI

Oleh itu, tidak hairanlah Turki menjadi destinasi ketujuh di dunia yang paling dikunjungi pelancong sepanjang 2012.

Kehidupan serba moden masyarakat di Istanbul sepertimana di negara-negara Eropah lain, sedikitpun tidak menjejaskan keagungan sejarah yang masih dipelihara dengan baik, yang menjadi kebanggaan kira-kira 80 juta penduduk Turki.

Istanbul yang dahulunya dikenali sebagai Constantinople mempunyai kepadatan penduduk yang kini mencecah 17 juta orang.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz baru-baru ini berada di sini mengetuai satu delegasi untuk menarik seberapa ramai pelancong Turki berkunjung ke Malaysia terutama pada Tahun Melawat Malaysia 2014.

Dengan menjanjikan percutian mewah dengan harga yang jauh lebih murah, kunjungan selaku menteri yang bertanggungjawab ke sini baru-baru ini, memberi makna yang cukup besar dalam merealisasikan hasrat itu.

Pembukaan semula pejabat Tourism Malaysia di Istanbul sejak 2011 selepas ditutup pada tahun 2009 mempunyai signifikasinya dengan menyasarkan lebih 13,000 pelancong Turki ke Malaysia semasa Tahun Melawat Malaysia tahun hadapan.

MENYUSURI SELAT BOSHPHORUS

Jika pernah menonton filem "Istanbul Aku Datang" yang memilih kota itu sebagai lokasi pengambarannya, pasti asyik melihat keindahan yang terdapat di dalamnya.

Suasana nyaman, bangunan dan seni bina yang cantik membuatkan ramai memasang angan-angan untuk datang ke sini.

Terbayang lakonan Lisa Surihani didalam filem itu sedang menaiki bot di Selat Boshporus sambil menikmati 'chai" atau teh Turki yang menjadi minuman wajib masyarakat di sini.

Sememangnya tidak akan lengkap nota perjalanan ke Istanbul sekiranya tidak melalui pengalaman menyusuri pemandangan indah sepanjang Selat Boshporus, satu-satunya laluan antara Laut Mati dan Mediterranean.

Perjalanan kira-kira 45 minit menaiki bot atau feri yang menyusuri selat itu bagai tidak terasa apabila mata terpukau dengan pemandangan indah bandar yang dipenuhi stuktur bersejarah seperti Istana Dolmabahce, Sariyer, Kanlica dan Kubu Rumeli.

Dua jambatan menyeberangi selat ini - Jambatan Bosphorus dan Jambatan Sultan Mehmet Fatih - menghubungkan benua Eropah dan Asia dari atas manakala terowong kereta api bawah air sejauh 13.6 km menghubungkan kedua-dua bahagian itu dari bawah dibuka baru-baru ini.

KEINDAHAN ISTANA DOLMABAHCE

Terdapat banyak tempat bersejarah yang berdiri megah di kota Istanbul sehingga hari ini, dan satu daripadanya ialah Istana Dolmabache.

Saat melangkah masuk ke pintu kawasan Istana Dolmabache yang pernah menjadi pusat pemerintahan Republik Turki ini, mata sudah terpegun dengan keindahan ukiran dan senibinanya.

Kilauan Bohemian Crystal Chandelier yang terbesar didunia menyambut kedatangan pengunjung saat melangkah ke dewan utama istana berkenaan. Ia adalah hadiah daripada Ratu Voctoria dengan memiliki 750 lampu dengan berat 4.5 tan.

Banyak menggunakan ukiran-ukiran emas pada dinding-dindingnya, kos untuk membina istana itu dikatakan menelan belanja 35 tan emas yang dibina semasa pemerintahan Sultan Abdul Mecid I, yang merupakan Sultan Ottoman ke-30 pada 1843 hingga 1856.

Istana paling besar dan mewah di Istanbul itu pernah menjadi tempat tinggal enam orang sultan dan keluarganya serta menjadi pusat pemerintahan Turki sejak 1856 hingga 1922. Berkeluasan 11.2 hektar, ia mempunyai 285 kamar, 44 dewan, enam tempat mandi dan 68 tandas.

MELAWAT JANTUNG ISTANBUL

Lawatan ke Istanbul dianggap tidak lengkap jika tidak melawat Masjid Sultan Ahmad atau lebih dikenali sebagai Masjid Biru, yang umpama jantung bagi Istanbul sebagai sebuah negara Islam.

Dibina antara 1609-1616 semasa pemerintahan Sultan Ahmad 1 yang menggunakan arkitek terkenal, Sedefkar Mehmed Aga, jelas menggambarkan kehebatan seni bina Islam itu masih utuh dengan dihiasi kira-kira 20,000 seramik berwarna biru di dinding bahagian dalam masjid hingga ia mendapat gelaran Masjid Biru.

Enam menara yang dilengkapi tidak kurang daripada 30 kubah membuatkan masjid ini sangat cantik dan megah untuk dirakamkan foto sebagai kenangan.

Masih digunakan untuk menunaikan solat, tiada bayaran dikenakan untuk memasukinya. Mereka yang bukan beragama Islam dibenar memasuki ruang di dalam masjid dengan berpakaian menutup aurat.

Kira-kira 500 meter dari Masjid Biru, berdiri teguh bangunan Hagia Sophia (Aya Sofya) yang pada awalnya adalah sebuah gereja sebelum berfungsi sebagai masjid. Kini ia menjadi sebuah muzium yang menerima ribuan pengunjung setiap hari untuk melihat keindahan seni binanya.

Tiket masuk berharga TRY 25 atau (RM40) berbaloi untuk melihat pertembungan senibina Islam, Kristian di dalam satu bangunan. Dibina pada zaman Rom sekitar 537 Masehi, ia pernah menjadi gereja terbesar di dunia selama hampir 1,000 tahun.

Apabila kejatuhan Rom ketika Perang Salib, Hagia Sophia diubah menjadi sebuah masjid semasa Sultan Muhammad Al-Fatih pada tahun 1453 Masehi. Walaupun begitu, lukisan ibu Maria masih dikekalkan di bahagian dindingnya.

Kalimah Allah dan Muhamaad serta lukisan-lukisan di dinding memberi keunikan yang tersendiri yang menggambarkan hubungan baik kedua-dua agama itu.

Banyak lagi lokasi menarik yang boleh diterokai di Istanbul antaranya Istana Topkapi, yang dahulunya mampu memuatkan 4,000 penghuni dalam satu masa, terletak tidak jauh dari tebing Sungai Boshporus.

Merupakan bekas kediaman pemerintahan Khalifah Uthmaniyyah selama hampir 400 tahun, istana itu kini dijadikan muzium dengan menyimpan khazanah yang tidak ternilai antaranya pedang Rasullullah.

MEMBELI HASIL TANGAN TURKI

Pulang ke tanah air dengan tangan kosong tanpa membeli cendera hati, mungkin tidak akan berlaku jika datang ke Istanbul. Ini kerana terlalu banyak hasil barangan dan produk tempatan yang boleh didapati di sini.

Terkenal dengan penghasilan permaidani buatan tangan, ia menjadi tarikan utama sekiranya pergi ke Grand Bazaar, pasar tertua dibina pada 1461 Masehi.

Dengan lebih 4,000 buah kedai menjual pelbagai barangan produk tempatan seperti tudung pashmina, pinggan tembikar, tembaga dan manisan, pelancong harus pandai menawar bagi mendapat harga yang berpatutan.

Selain itu, sebuah lagi bazar yang tidak kurang terkenalnya dalam kalangan penduduk Istanbul dan pelancong ialah Spice Bazaar, di Fatih.

Saiznya agak kecil berbanding Grand Bazaar dan di sini terdapat pelbagai jenis rempah ratus seperti safron, kekacang serta buah kering.

Akhir sekali, jangan lupa membawa pulang manisan terkenal Turki yang pelbagai warna dan bentuk yang menambah lagi kenangan manis pelancong yang pernah mengunjungi Istanbul.

-- BERNAMA