Sabtu, 16 November 2013

[JALAN-JALAN] . . .Istanbul


Penulis di Selat Bosphorus. Foto Bernama
Daripada Kurniawati Kamarudin

ISTANBUL (Bernama) -- Menikmati 'Chai" atau teh O panas sambil menikmati pemandangan indah Selat Bosphorus, yang memisahkan benua Eropah dan Asia, dari atas Bukit Camcila, Istanbul, sememangnya memberi satu kepuasan kepada pengunjung.

Peluang berdiri di atas bukit di benua Asia, menghadap ke bahagian Eropah, sudah pasti mata akan terpaut dengan keindahan dan pembangunan pesat Istanbul, sebuah kota yang mempunyai peninggalan sejarah empayar-empayar terdahulu seperti Rom, Byzantine dan Uthmaniyyah.

Berketinggian 268 meter dari aras laut, Bukit Camcila adalah bukit tertinggi daripada tujuh bukit yang terdapat di Istanbul. Lokasi ini menjadi pilihan bukan sahaja dalam kalangan pelancong, tetapi penduduk di Turki untuk bersantai terutama pada hujung minggu.

Udara segar bukit yang dingin membangkitkan suasana romantis terutama ketika malam menjengah dengan limpahan cahaya daripada bangunan-bangunan yang terdapat berhampiran Selat Boshporus.

Ini menjadikan Turki sebagai lokasi idaman setiap pelancong yang mencakupi dari pelbagai keindahan khususnya seni bina, budaya serta tarikan alam semula jadi.

MISI MALAYSIA DI TURKI

Oleh itu, tidak hairanlah Turki menjadi destinasi ketujuh di dunia yang paling dikunjungi pelancong sepanjang 2012.

Kehidupan serba moden masyarakat di Istanbul sepertimana di negara-negara Eropah lain, sedikitpun tidak menjejaskan keagungan sejarah yang masih dipelihara dengan baik, yang menjadi kebanggaan kira-kira 80 juta penduduk Turki.

Istanbul yang dahulunya dikenali sebagai Constantinople mempunyai kepadatan penduduk yang kini mencecah 17 juta orang.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz baru-baru ini berada di sini mengetuai satu delegasi untuk menarik seberapa ramai pelancong Turki berkunjung ke Malaysia terutama pada Tahun Melawat Malaysia 2014.

Dengan menjanjikan percutian mewah dengan harga yang jauh lebih murah, kunjungan selaku menteri yang bertanggungjawab ke sini baru-baru ini, memberi makna yang cukup besar dalam merealisasikan hasrat itu.

Pembukaan semula pejabat Tourism Malaysia di Istanbul sejak 2011 selepas ditutup pada tahun 2009 mempunyai signifikasinya dengan menyasarkan lebih 13,000 pelancong Turki ke Malaysia semasa Tahun Melawat Malaysia tahun hadapan.

MENYUSURI SELAT BOSHPHORUS

Jika pernah menonton filem "Istanbul Aku Datang" yang memilih kota itu sebagai lokasi pengambarannya, pasti asyik melihat keindahan yang terdapat di dalamnya.

Suasana nyaman, bangunan dan seni bina yang cantik membuatkan ramai memasang angan-angan untuk datang ke sini.

Terbayang lakonan Lisa Surihani didalam filem itu sedang menaiki bot di Selat Boshporus sambil menikmati 'chai" atau teh Turki yang menjadi minuman wajib masyarakat di sini.

Sememangnya tidak akan lengkap nota perjalanan ke Istanbul sekiranya tidak melalui pengalaman menyusuri pemandangan indah sepanjang Selat Boshporus, satu-satunya laluan antara Laut Mati dan Mediterranean.

Perjalanan kira-kira 45 minit menaiki bot atau feri yang menyusuri selat itu bagai tidak terasa apabila mata terpukau dengan pemandangan indah bandar yang dipenuhi stuktur bersejarah seperti Istana Dolmabahce, Sariyer, Kanlica dan Kubu Rumeli.

Dua jambatan menyeberangi selat ini - Jambatan Bosphorus dan Jambatan Sultan Mehmet Fatih - menghubungkan benua Eropah dan Asia dari atas manakala terowong kereta api bawah air sejauh 13.6 km menghubungkan kedua-dua bahagian itu dari bawah dibuka baru-baru ini.

KEINDAHAN ISTANA DOLMABAHCE

Terdapat banyak tempat bersejarah yang berdiri megah di kota Istanbul sehingga hari ini, dan satu daripadanya ialah Istana Dolmabache.

Saat melangkah masuk ke pintu kawasan Istana Dolmabache yang pernah menjadi pusat pemerintahan Republik Turki ini, mata sudah terpegun dengan keindahan ukiran dan senibinanya.

Kilauan Bohemian Crystal Chandelier yang terbesar didunia menyambut kedatangan pengunjung saat melangkah ke dewan utama istana berkenaan. Ia adalah hadiah daripada Ratu Voctoria dengan memiliki 750 lampu dengan berat 4.5 tan.

Banyak menggunakan ukiran-ukiran emas pada dinding-dindingnya, kos untuk membina istana itu dikatakan menelan belanja 35 tan emas yang dibina semasa pemerintahan Sultan Abdul Mecid I, yang merupakan Sultan Ottoman ke-30 pada 1843 hingga 1856.

Istana paling besar dan mewah di Istanbul itu pernah menjadi tempat tinggal enam orang sultan dan keluarganya serta menjadi pusat pemerintahan Turki sejak 1856 hingga 1922. Berkeluasan 11.2 hektar, ia mempunyai 285 kamar, 44 dewan, enam tempat mandi dan 68 tandas.

MELAWAT JANTUNG ISTANBUL

Lawatan ke Istanbul dianggap tidak lengkap jika tidak melawat Masjid Sultan Ahmad atau lebih dikenali sebagai Masjid Biru, yang umpama jantung bagi Istanbul sebagai sebuah negara Islam.

Dibina antara 1609-1616 semasa pemerintahan Sultan Ahmad 1 yang menggunakan arkitek terkenal, Sedefkar Mehmed Aga, jelas menggambarkan kehebatan seni bina Islam itu masih utuh dengan dihiasi kira-kira 20,000 seramik berwarna biru di dinding bahagian dalam masjid hingga ia mendapat gelaran Masjid Biru.

Enam menara yang dilengkapi tidak kurang daripada 30 kubah membuatkan masjid ini sangat cantik dan megah untuk dirakamkan foto sebagai kenangan.

Masih digunakan untuk menunaikan solat, tiada bayaran dikenakan untuk memasukinya. Mereka yang bukan beragama Islam dibenar memasuki ruang di dalam masjid dengan berpakaian menutup aurat.

Kira-kira 500 meter dari Masjid Biru, berdiri teguh bangunan Hagia Sophia (Aya Sofya) yang pada awalnya adalah sebuah gereja sebelum berfungsi sebagai masjid. Kini ia menjadi sebuah muzium yang menerima ribuan pengunjung setiap hari untuk melihat keindahan seni binanya.

Tiket masuk berharga TRY 25 atau (RM40) berbaloi untuk melihat pertembungan senibina Islam, Kristian di dalam satu bangunan. Dibina pada zaman Rom sekitar 537 Masehi, ia pernah menjadi gereja terbesar di dunia selama hampir 1,000 tahun.

Apabila kejatuhan Rom ketika Perang Salib, Hagia Sophia diubah menjadi sebuah masjid semasa Sultan Muhammad Al-Fatih pada tahun 1453 Masehi. Walaupun begitu, lukisan ibu Maria masih dikekalkan di bahagian dindingnya.

Kalimah Allah dan Muhamaad serta lukisan-lukisan di dinding memberi keunikan yang tersendiri yang menggambarkan hubungan baik kedua-dua agama itu.

Banyak lagi lokasi menarik yang boleh diterokai di Istanbul antaranya Istana Topkapi, yang dahulunya mampu memuatkan 4,000 penghuni dalam satu masa, terletak tidak jauh dari tebing Sungai Boshporus.

Merupakan bekas kediaman pemerintahan Khalifah Uthmaniyyah selama hampir 400 tahun, istana itu kini dijadikan muzium dengan menyimpan khazanah yang tidak ternilai antaranya pedang Rasullullah.

MEMBELI HASIL TANGAN TURKI

Pulang ke tanah air dengan tangan kosong tanpa membeli cendera hati, mungkin tidak akan berlaku jika datang ke Istanbul. Ini kerana terlalu banyak hasil barangan dan produk tempatan yang boleh didapati di sini.

Terkenal dengan penghasilan permaidani buatan tangan, ia menjadi tarikan utama sekiranya pergi ke Grand Bazaar, pasar tertua dibina pada 1461 Masehi.

Dengan lebih 4,000 buah kedai menjual pelbagai barangan produk tempatan seperti tudung pashmina, pinggan tembikar, tembaga dan manisan, pelancong harus pandai menawar bagi mendapat harga yang berpatutan.

Selain itu, sebuah lagi bazar yang tidak kurang terkenalnya dalam kalangan penduduk Istanbul dan pelancong ialah Spice Bazaar, di Fatih.

Saiznya agak kecil berbanding Grand Bazaar dan di sini terdapat pelbagai jenis rempah ratus seperti safron, kekacang serta buah kering.

Akhir sekali, jangan lupa membawa pulang manisan terkenal Turki yang pelbagai warna dan bentuk yang menambah lagi kenangan manis pelancong yang pernah mengunjungi Istanbul.

-- BERNAMA

Tidak ada komentar:

Posting Komentar