Tampilkan postingan dengan label kangkung. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label kangkung. Tampilkan semua postingan

Senin, 10 Februari 2014

Kangkung - McDonald's tarik semula iklan


McDonald's Malaysia menarik semula iklan yang dilihat mempermainkan kenyataan kontroversi 'kangkung' oleh perdana menteri.

Rangkaian makanan segera popular itu memberitahu Malaysiakini yang iklan tersebut sebenarnya "tidak diluluskan" dan terlepas daripada saringan rasmi.

"McDonald's Malaysia ingin menjelaskan bahawa visual yang dihasilkan itu terlepas ke restoran-restoran kami akibat kesilapan komunikasi.


"Semua bahan ini telah ditanggalkan," kata rangkaian restoran itu dalam kenyataan mereka.

Bahan iklan itu yang mula dikesan di meja-meja restoran McDonald's di sekitar Lembah Klang adalah sebahagian daripada kempen pemasaran McSavers.

Ia berbunyi seperti berikut:

“Harga sayur tidak turun tapi harga burger tetap turun”

Ia ditanggalkan beberapa hari kemudiannya.

Ayat dalam kempen itu dilihat merujuk kepada kenyataan Datuk Seri Najib Abdul Razak yang mendakwa harga kangkung sudah berkurangan.

Kenyataa itu yang dibuat Najib bagi menggambarkan bagaimana turun naik harga barang berlaku kerana faktor luaran dan bukannya dasar kerajaan, diperlekehkan oleh orang ramai - malaysiakini

Sabtu, 18 Januari 2014

Demo Kangkung Umno P. Pinang pagi tadi bertukar kecoh

LEE_KHAI_LOON
Seorang lelaki diserang peserta protes di depan pejabat pusat khidmat Adun Machang Bubuk, di Alma, Pulau Pinang, pagi tadi.
Looi Sue-Chern, TMI
Satu lagi pusingan protest terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machang Bubuk, Lee Khai Loon diadakan di Alma, Pulau Pinang, di depan pusat khidmatnya, pagi ini.
Kejadian hari ini tidak sebersih protes semalam apabila seorang lelaki dikasari peserta protes itu.
Difahamkan lelaki terbabit berkata sesuatu yang menimbulkan kemarahan peserta protes ketika beliau berjalan ke arah motosikalnya di seberang Jalan Alma.
Dalam sekelip mata, beliau dikelilingi kira-kira 50 peserta. Kelihatan ada yang memegang, menolak dan memukulnya dengan helmet yang dipakainya.
Jeritan kata-kata kesat kedengaran dilemparkan kepada lelaki itu ketika kumpulan protes semakin marah.
Anggota polis yang bersedia berkawal memerhatikan protes itu dengan cepat masuk campur dan menarik keluar lelaki terbabit daripada khalayak yang sedang berkerumun itu.
Kumpulan yang marah itu tetap mengekori lelaki itu ketika beliau ditemani polis ke kereta peronda. Keadaan masih tegang walaupun selepas kereta peronda meninggalkan lokasi.
Beberapa peserta protes memaki hakum lelaki itu kerana dituduh berkata “Melayu bodoh”.
Ketika situasi kelihatan hampir hilang kawalan, khalayak it diarahkan bersurai dan pulang oleh beberapa pemimpin Melayu di tempat kejadian.
Terdahulu, protes itu diadakan di tempat yang sama di mana Lee menganjurkan flash mob kangkung Rabu lalu, dan pada hari ini, patung dengan gambar Lee yang bersaiz A4 dibakar, dipijak dan diludah.
Seorang lelaki kelihatan mendedahkan punggungnya ke arah gambar itu. Kumpulan protes membabitkan kira-kira 300 orang itu juga membakar beberapa kad manila dan sepanduk menghentam Lee dan partinya di depan pusat khidmat Adun PKR itu.
Beberapa sepanduk ditampal di tingkap lot kedai kosong di bawah pusatnya yang berada di tingkat satu.
Protes sejam itu bermula kira-kira jam 12.30 pagi dengan pemimpin daripada Umno Pulau Pinang, organisasi bukan kerajaan Kongres Melayu Pulau Pinang dan Pekida Pulau Pinang yang membuat ucapan berapi-api membela Najib, di mana analogi kangkungnya baru-baru ini menjadi tumpuan jenaka alam siber.
Lee sebelum ini mengetuai flash mob dan menyumbat kangkung ke dalam patung berupa Najib.

Tarian punggong lebih teruk dari flash mob kangkung - DSAI



Tarian punggong lebih teruk dari flash mob kangkung - DSAI
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan flash mob yang mengejek Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menggunakan 'kangkung' untuk menjelaskan isu kenaikan harga.

Ia dianjurkan oleh ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon, di kawasan pasar malam di Alma, Bukit Mertajam Rabu lalu.

Anwar berkata Pemuda Umno dan NGO hak Melayu PERKASA pun telah menghina pemimpin Pakatan Rakyat tetapi hanya segelintir sahaja yang telah membantah.

Menurutnya, tarian punggung oleh kumpulan pro-kerajaan yang
terdiri daripada veteran tentera di hadapan bekas penyelaras BERSIH, Datuk S Ambiga pada 2012, lagi teruk daripada flash mob 'kangkung'.

"Kenapa tidak ada bantahan apabila tarian punggung itu dilakukan? Adakah perbuatan itu betul dari segi agama atau pelakuan (moral)" tanya Anwar yang juga ahli  Parlimen Permatang Pauh ketika ditemui semasa lawatan ke Sungai Lembu semalam.

"Anda tidak boleh mempertahankan itu (tarian punggung) berbanding dengan apa yang (Lee) Khai Loon lakukan," katanya.

Rabu Rabu, kira-kira 15 orang menyertai flash mob membantah inflasi yang semakin meningkat, dengan menyumbat kangkung ke dalam mulut ternganga replika Najib yang diperbuat daripada styrofoam.

Pemimpin Umno mengecam Lee sebagai "kurang ajar, kebudak-
budakan, bermentaliti rendah, serta tidak wajar sebagai seorag wakil rakyat" kerana menghina pemimpin nombor satu negara itu, dan menuntut Lee memohon memohon maaf atas tindakannya itu.

Manakala ADUN Pulau Betong, Farid Saad pula meminta Ketua Menteri Lim Guan Eng dan pemimpin Pakatan supaya mengambil mengambil tindakan terhadap Lee.

Farid menyokong Najib dengan berkata ucapan perdana menteri diambil di luar konteks sedangkan beliau hanya bermaksud walaupun harga barangan keperluan meningkat, tetapi yang lainnya turun, seperti kangkung.

Najib telah menjelaskan kenyataannya, dengan berkata beliau menggunakan sayur-sayuran sebagai contoh mengenai bagaimana kuasa pasaran menentukan harga makanan. - malaysiakini

Tak salah kritik Najib

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK
JANUARY 18, 2014
Adun Machang Bubuk Lee Khai Loon menyumbat sayur kangkung ke dalam patung yang menyerupai perdana menteri Rabu lalu.Adun Machang Bubuk Lee Khai Loon menyumbat sayur kangkung ke dalam patung yang menyerupai perdana menteri Rabu lalu.Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machang Bubuk dari PKR Lee Khai Loon mengatakan tidak salah mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan tindakannya menyuap kangkung ke replika Perdana Menteri bukanlah satu penghinaan.
Katanya, pertunjukan "I Love Kangkung" pada Rabu lalu adalah satu simbolik menuntut perdana menteri supaya lebih prihatin terhadap beban kehidupan rakyat jelata yang semakin berat akibat daripada kenaikan harga barang.
"Saya ingin menegaskan bahawa tindakan menjemput perdana menteri untuk makan kangkung tidak membawa maksud untuk menghina sesiapa. Saya tidak faham mengapa Umno dan penyokong mereka menyamakan tindakan tersebut sebagai satu tanda penghinaan.
"Kenyataan kangkung yang dibuat Perdana Menteri telah menunjukkan bahawa kerajaan persekutuan seolah-olah bersikap lari daripada tanggungjawab mengawal harga barangan.
“Dengan itu, seluruh media sosial serta media massa telah penuh dengan pelbagai komedi dan sindiran berasaskan kangkung untuk menyindir perdana menteri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hari ini, Bernama melaporkan lebih 3,000 peserta menyertai perhimpunan mengecam tindakan biadab Lee dan sekumpulan penyokong DAP menyumbat kangkung ke dalam mulut patung menyerupai Perdana Menteri di sebuah pasar malam di Machang Bubuk pada Rabu.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata perhimpunan itu bertujuan membantah tindakan menghina Najib dan merupakan amaran keras kepada pihak tidak bertanggungjawab yang secara berterusan menghina Melayu dan agama Islam.
Lee berkata tindakan segelintir pihak yang menjadikan dirinya sebagai kambing hitam terhadap isu kangkung menunjukkan sikap tidak memandang serius kemarahan rakyat yang semakin panas.
Katanya, sebagai seorang wakil rakyat yang dipilih, beliau perlu bertanggungjawab dan berani bersuara melalui acara itu yang mencerminkan pandangan awam.

"Kerajaan Persekutuan yang lama diterajui oleh Umno-Barisan Nasional (BN) telah menyebabkan hutang negara meningkat setiap tahun, defisit kewangan dan akhirnya mangsanya adalah rakyat biasa yang perlu menanggung akibat tersebut.
"Pemimpin Umno-BN perlu memandang serius tentang masalah kenaikan harga barang dan mengenal pasti puncanya seperti amalan rasuah, ketirisan dan pemborosan oleh kerajaan persekutuan, pengurusan ekonomi yang lemah serta berpihak kepada syarikat besar," katanya.
Ketua Penerangan Majlis Pimpinan Negeri PKR Pulau Pinang itu berkata akan teruskan mengadakan program komuniti untuk membantah cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta kenaikan harga barang pada masa akan datang supaya suara rakyat dapat disalurkan melalui pelbagai medium. – 18 Januari, 2014. -TMI

Rabu, 15 Januari 2014

Oh Kangkung

Kangkung pada tahun ini lebih popular berbanding sayur-sayur seperti sawi, bayam dan kobis. Berdasarkan carian di Yahoo, Google mahupun Bing, pastilah sayur jenis ini dikaitkan dengan resepi, manfaat, dan lain-lain. Jarang sekali kangkung mendapat perhatian meluas kecuali setelah diangkat martabatnya oleh Perdana Menteri Najib dalam ucapannya baru-baru ini. Kangkung kelihatannya telah menempati status yang tinggi setelah prestasinya merudum gara-gara budak meninggal kerana batang kangkung yang dimakan mengandungi lintah yang kemudiannya membiak dalam perut kanak-kanak itu.
googlekangkung

Sayur yang mengandungi banyak vitamin A, B, C dan K ini sedap jika dimasak tumis. Manfaat kangkung antaranya mengurangi haid, keputihan di faraj, mual bagi ibu hamil dan melancarkan air mani. Sudah tentu ini tiada kaitan dengan prestasi kehidupan seks (rujuk sinihttp://beta.malaysiakini.com/news/245025 Pengambilan gula berlebihan boleh menjejaskan kehidupan seks seseorang)! Mujur juga naik turun barang tidak dikaitkan sekali lagi dengan ketetapan Allah (sebagai Melayu Islam dan bukan penduduk Pulau Pinang, saya dibenarkan menyebut kata ini.).
Kangkung bukan sahaja menjadi subjek pada era moden tetapi juga subjek dalam Hikayat Hang Tuah, bilamana dengan kebijaksanaan yang ada pada Hang Tuah, dia melihat Maharaja China, yang tiada sesiapapun dibenarkan melihat wajahnya. Ketika rombongan Hang Tuah ke China hendak dijamu makan, Hang Tuah telah menyatakan bahawa orang Keling makan sayur, daun kayu dan buah kayu yang tidak dikerat dan dibiarkan panjang-panjang. Ketika makan, Hang Tuah telah mendongakkan kepala. Pada masa itulah beliau dapat melihat Maharaja China yang duduk dalam mulut naga emas bersisik. Jelas, kebijaksanaannya telah menyelamatkan dirinya daripada dipenggal, dengan subjek yang sama bagaimanapun ia menunjukkan kecetekan pemimpin negara kita pada masa ini.
Datuk Seri Najib dilaporkan mengatakan tentang penurunan sesetengah barang, kangkung yang sebelum ini naik kini turun, “Dalam suratkhabar, saya baca, ada yang dah turun,. Kangkung dulu naik sekarang dah turun.” (rujuk paparan video di sini http://www.youtube.com/watch?v=E7EOmv1GkM0) Sambil menyifatkan ramai yang tidak memuji kerajaan dan bila harga naik, mereka menyalahkan kerajaan. Ini menurutnya tidak adil.
Tidak sedikit yang menjadikan topik ini untuk datang dengan gambar di baju kemeja, instagram, whatsapp dan sebagainya sebagai bahan jenaka. Bukan sahaja berita ini menjadi buah mulut di media alternatif tetapi juga BBC News.
bbc spinach
Kejadian ini bukan sesuatu yang membanggakan apabila Perdana Menteri Malaysia yang dijuluki dengan gelaran Bapa Transformasi, hanya mampu mengubah kedudukan kangkung tetapi tidak status rakyatnya yang dihimpit kenaikan barang dan kurangnya kuasa beli. Kenaikan tarif elektrik, minyak petrol, gula, makanan, tambang bas – semua ini menaikkan kos hidup. Pengangkutan, perumahan, pendidikan adalah bidang kuasa kerajaan pusat.
Ini menunjukkan kegagalan pentadbiran Perdana Menteri bukan sahaja dalam mendapatkan legitimasi rakyat tetapi juga menguruskan kewangan dan perbelanjaan negara – sangat bertentangan dengan bapanya, Tun Abdul Razak, Bapa Pembangunan yang berupaya meningkatkan taraf hidup golongan luar bandar dan membangunkan ekonomi negara melalui Rancangan Buku Hijau (20 Disember 1974).
Kangkung dan Rancangan Buku Hijau walaupun kedua-duanya menyentuh sektor pertanian tetapi mempunyai kesan berbeza ke atas rakyat Malaysia – di bandar, pinggir bandar dan kampung – sama ada mereka menggemari nasi goreng kampong, kangkung goreng belacan atau yong tau fu. Sikap bena tak bena menyebabkan pernyataan kurang bijak seperti “Tiada aduan bukti rakyat malaysia sokong kenaikan harga”, “jangan makan ayam sekiranya harga ayam mahal”, “pengguna jalan raya boleh memilih untuk menggunakan jalan biasa lain sekiranya menganggap kenaikan tol terlalu tinggi”, “Harga barang adalah ketetapan Allah”.
Ini bukanlah kenaikan harga 20 sen atau 50 sen, air teh ais kurang gula atau kopi O, tetapi kesan domino yang dihadapi oleh pengguna terutamanya mereka yang bergantung pada bahan asasi seperti gula, sayuran, minyak petrol.
Yang dikhuatiri dalam gelak tawa dan sorak sorai kita tentang ucapan kangkung (baca: kata adj), kita terlupa akan penting dan gentingnya perbelanjaan negara diurus dengan baik agar kesannya tidak ditanggung rakyat yang menghabiskan hidup menyelesaikan hutang negara.
Dan dalam keriuhan “kangkung” ini, semoga lagu Lenggang Kangkung yang menjadi hiburan ketika kanak-kanak tidak pula menjadi punca konflik tuntutan warisan budaya Malaysia Indonesia yang banyak berkongsi sejarah dan budaya dalam satu tamadun yang besar. Perkelahian yang sia-sia tidak diperlukan terutama dalam negara yang kononnya aman didiami pelbagai etnik. Justeru, marilah kita memanjatkan kesyukuran kerana Malaysia masih aman. – Roketkini.com