Tampilkan postingan dengan label kassim ahmad. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label kassim ahmad. Tampilkan semua postingan

Senin, 24 Februari 2014

Tindakan pada Kassim Ahmad lewat sebab Mahathir


OLEH HASBULLAH AWANG CHIK
FEBRUARY 25, 2014
Pihak berkuasa agama berlengah dalam mengambil tindakan terhadap kenyataan Kassim Ahmad, kata Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad. Gambar fail.Pihak berkuasa agama berlengah dalam mengambil tindakan terhadap kenyataan Kassim Ahmad, kata Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad. Gambar fail.Tiada tindakan yang diambil oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pihak berkuasa agama negeri berhubung kenyataan Dr Kassim Ahmad dipercayai akibat pengaruh daripada bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kata ahli Parlimen PAS.
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, berkata kelewatan jabatan agama negeri mengambil tindakan terhadap Kassim akan mengundang salah faham di kalangan umat Islam serta mewujudkan ketegangan di antara orang Melayu.
“Kita nampak semua jabatan agama ambil tindakan terhadap Syiah tetapi apabila Kassim mengeluarkan kenyataan menghina Rasulullah yang mana kedudukannya diabadikan dalam Al-Quran tiada tindakan daripada mana-mana pihak.
“Apabila melibatkan Dr Mahathir yang menjadi orang yang menjemput Kassim untuk berucap maka langsung tidak ada apa-apa tindakan. Kita hairan dengan mainan politik sebegini rupa,” katanya pada satu sidang media di Shah Alam, hari ini.
Kassim dalam satu seminar yang diadakan di Putrajaya dilaporkan menuduh ulama mengawal Islam di Malaysia menggunakan sistem kasta paderi, mempersoal penggunaan hadis dalam menjelaskan ajaran Al-Quran dan mengatakan salah bagi umat Islam mendewakan Nabi Muhammad kerana "beliau hanya pesuruh Allah".
Beliau turut mempersoalkan pemakaian tudung oleh wanita Islam, mengatakan "rambut bukannya sebahagian daripada aurat" dalam ceramahnya yang bertajuk, "Hala Tuju Malaysia dalam masa 30 Tahun". - 25 Februari, 2014 TMI

Rabu, 19 Februari 2014

Mahathir memang kuat pemohong ...Mahathir berbohong tentang Kassim Ahmad, kata bekas ketua Persatuan Ulama

OLEH ZULKIFLI SULONG
FEBRUARY 19, 2014
Ahmad Awang meneliti dokumen tentang Kassim Ahmad sebelum diserahkan kepada The Malaysian Insider. – Gambar The Malaysian Insider, 19 Februari, 2014.Ahmad Awang meneliti dokumen tentang Kassim Ahmad sebelum diserahkan kepada The Malaysian Insider. – Gambar The Malaysian Insider, 19 Februari, 2014.Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad didakwa berbohong apabila berkata para ulama di negara ini gagal melawan Dr Kassim Ahmad dengan hujah, lalu melabelkannya sebagai 'anti-Hadis'.
Bekas Presiden Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Ustaz Ahmad Awang berkata, ketika kejadian pertama Kassim membawa teorinya pada tahun 1986, beliaulah ketika itu Pengarah Penyelidikan Pusat Islam (kini Jakim) yang berdepan dengan Kassim.
"Atas kapasiti sebagai Yang di-Pertua PUM, kami berdepan dengan Kassim di Masjid Seksyen 16, Petaling Jaya. Beliau meminta kami dengarkan dulu dia bercakap, selepas dia bercakap, masa habis, dan dia pulang ke Pulau Pinang.
"Dia berjanji akan bertemu semula. Namun selepas itu, sampai sekarang dia tidak mahu bertemu kami. Ia berakhir dengan dia sahaja yang bercakap dan kami hanya mampu mendengar dan tidak boleh berhujah balas bagi menjawab dakwaan beliau," cerita Ahmad Awang kepada The Malaysian Insider, mengingati kembali kejadian hampir 30 tahun lalu itu.
Tidak lama selepas pertemuan itu, katanya, Kassim pergi ke akhbar Watan ketika itu (walaupun berjanji tidak ada sebarang laporan media berkaitan majlis itu) dan memaklumkan akhbar tersebut para ulama gagal berhujah dengan beliau.
"Jadi, bukan sahaja Dr Mahathir sahaja yang berbohong dalam hal ini, Kassim Ahmad yang menjadi rakan Mahathir sejak di Universiti Malaya Singapura juga berbohong," kata Ahmad.
Dr Mahathir berkata, Kassim sering dilabel anti-Hadis kerana pihak yang menuduhnya gagal berhujah dengannya mengenai isu agama.
"Dia dilabelkan sebagai anti-Hadis sebab orang tidak boleh jawab apa yang dia katakan. Kita lihat di sini, label digunakan sebagai alat untuk mematahkan pendapat orang lain," katanya selepas Majlis Pelancaran Kursi Keamanan Global Tun Mahathir di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, kelmarin.
Katanya, sama seperti Kassim, beliau juga sering dilabel dengan pelbagai gelaran selepas hujahnya tidak diterima pihak tertentu.
"Saya juga dilabel sebagai anti-Cina, dituduh rasis dan macam-macam. Jadi walaupun saya berkata benda yang benar, saya tetap dianggap rasis," katanya.
Kassim adalah junior Dr Mahathir di Universiti Malaya Singapura.
Kassim juga pelopor Kelab Sosialis UM Singapura yang banyak mengeluarkan kenyataan menggunakan tulisan warna merah.
Pada 18 September 1986, Majlis Fatwa Kebangsaan mewartakan fatwa bahawa buku tulisan Kassim bertajuk "Hadith: Satu Penilaian Semula" adalah haram.
Fatwa yang dibuat oleh Majlis Fatwa Sabah itu diterima pakai oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.
Antara lain, fatwa itu menyebut, "Pengarang buku itu termasuk dalam golongan orang yang murtad, sekiranya undang-undang murtad dikuatkuasakan di Negara ini, maka pengarang buku itu wajib dibunuh."
Menurut Ahmad Awang, Kassim didakwa anti-Hadis apabila beliau mencadangkan umat Islam hanya merujuk kepada Al Quran semata-mata dan menolak hadis Rasulullah sebagai sumber hukum dalam Islam.
Ia bermula apabila beliau selaku Pengarah Penyelidikan Pusat Islam menerima lima buah buku tulisan Rashad Khalifa dari Tucson Arizona, Amerika yang ditahan oleh Jabatan Kastam daripada diserahkan kepada Kassim yang sepatutnya menerima buku-buku itu.
Buku-buku itu adalah:
1) Miracle of the Quran: Significance of the Mysterous Alphabets
2) The Computer Speaks: God's  Message to the world.
3) Quran: The Final Scripture
4) Quran, Hadith and Islam, dan
5) Authorized English version Translated from the Original.
Selepas dikaji, kata Ahmad, ia bertentangan dengan Islam dan Majlis Fatwa Kebangsaan yang bersidang di Johor Bahru pada tahun 1986 yang mengharamkan buku-buku itu.
Ahmad yakin, walaupun buku itu berjaya disekat, tetapi Kassim menerima juga buku itu melalui cara lain.
"Hampir kesemua teori Kassim Ahmad tentang Hadis datang dari buku-buku ini," kata Ahmad.
Ketika memberikan ucapan dalam seminar pemikiran Kassim Ahmad di Putrajaya pada 15 dan 16 Februari lalu, yang dianjurkan Yayasan Kepimpinan Perdana, Kassim berkata, umat Islam sepatutnya menjadikan Al Quran sahaja sebagai sumber rujukannya hukumnnya.
Beliau juga berkata, frasa kedua dalam dua kalimah syahadah mendewakan Nabi Muhammad.
Beliau juga berkata, rambut bukan aurat wanita.
"Menutup rambut dengan bertudung bermakna udara bersih tidak dapat memasuki rambut. Dengan itu rambut menjadi busuk.
"Dengan lain perkataan, ia tidak sihat. Anehnya, wanita yang bertudung menganggap diri mereka lebih suci!" kata Kassim dalam ucapannya itu.
Ekoran itu, pelbagai pihak membantah Kassim, termasuk badan yang selama ini menyokong Umno, seperti Isma. – 19 Februari, 2014.- TMI

Kassim Ahmad ibarat bongkah ais di permukaan laut



Pelbagai pihak melahirkan kritikan terhadap kenyataan tidak beradab serta bertentangan dengan prinsip Islam yang dikeluarkan oleh Kassim Ahmad.

Kenyataan beliau bukanlah perkara baru, bahkan buku beliau turut diharamkan dan diyakini boleh membawa kerosakan akidah.

Pelbagai fatwa serta kecaman telah dilakukan sebelum ini, nampaknya ia tidak berkesan untuk mengubah pendirian dan kefahaman salahnya terhadap ajaran Islam.


Melihat latar belakang beliau, pandangannya bukanlah sesuatu yang pelik kerana kejahilan adalah musuh utama manusia, namun tidak menyedari kejahilan adalah lebih besar lagi.

Lantaran itu wujudnya istilah seperti jahil murakab, iaitu seseorang yang tidak menyedari bahawa ia tidak mengetahui. Atau dalam bahasa biasa "dia tidak tahu yang dia tidak tahu.”

Kalaulah ia hanya sekadar Kassim Ahmad, mungkin tidaklah besar sangat untuk diulas dan diberi perhatian.

Namun bilamana pemikiran salah ini diterima dan dibahas sebagai suatu pemikiran yang dianggap hebat, maka ia akan menjadi masalah.

Ia ibarat bongkah ais di atas permukaan laut, walau yang kelihatan hanya seketul ais yang kecil, namun di bawahnya jauh lebih besar dari apa yang dilihat.

Apa perlu dibuat?

Pihak berkuasa agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) khususnya, dan majlis agama Islam negeri mesti melihat isu ini secara serius untuk diatasi.

Sekadar mengeluarkan fatwa sahaja tanpa tindakan hanya akan menjadikan ia satu bahan ketawa masyarakat.

Kalau ajaran al-Arqam diburu sehingga akar umbinya, maka sepatutnya ajaran yang menyimpang ini juga mesti diatasi.

Saya melihat serangan dan kecaman tidak akan menyelesaikan masalah. Kefahaman salah beliau perlu diperbetulkan melalui perbincangan dan diskusi yang penuh hikmah.

Memang pelik pemikiran beliau, akan tetapi ia bukanlah sesuatu yang sukar untuk diatasi.

Ambil contoh gesaan beliau agar al-Quran ditafsir semula, dan pentafsirannya mestilah berdasarkan al-Quran sahaja, bukan Hadis dan bukan pandangan para sahabat atau para alim ulama.

Persoalannya, kalau beliau menolak Hadis, bagaimana beliau boleh beriman dengan al-Quran kerana al-Quran diturunkan kepada Rasulullah dan Baginda membacakan al-Quran ini?

Umpamanya, di dalam al-Quran, Allah memerintahkan sujud, bagaimana kita nak tahu cara perbuatan sujud tersebut kalau bukan melalui cara yang ditunjukkan Rasullulah?

Demikian juga puasa, zakat dan seluruh ajaran al-Quran. Kalaulah Rasulullah bukan pentafsir kepada al-Quran, apakah kita lebih layak mentafsirnya?

Kassim Ahmad, dan orang-orang Islam yang lain yang jelas dilihat keliru perlu dipanggil, diperbetulkan dan diberi kefahaman sebenar terhadap kekeliruan tersebut.

Seandainya beliau telah dipanggil dan diberi penjelasan, maka jangan pula ada penganjur yang merasai hebat pemikiran salah beliau sehingga sanggup menganjurkan wacana pemikiran beliau.

Lebih dukacita beberapa orang mufti dan pemimpin agama yang biasa cepat mengeluarkan pandangan yang melibatkan pembangkang terus diam membisu tidak mengeluarkan kenyataan kecaman sebagaimana biasa.

Apakah ini membuktikan politik melebihi segalanya termasuk isu akidah bagi mereka ini? Wallahu a'lam.

Yang dikhuatiri PAS ialah tindakan mereka yang sudi membisu dalam hal ini akan dilihat oleh orang yang jahil bahawa apa yang disebut Kassim Ahmad boleh diterima.

JAKIM perlu memanggil penganjur dan mendapatkan keterangan, bahkan pihak berwajib perlu bertindak kerana pelbagai pihak telah membuat laporan polis untuk tindakan seterusnya.


DATUK TUAN IBRAHIM TUAN MAN naib presiden PAS dan pengerusi lujnah dakwah PAS.

Selasa, 18 Februari 2014

Surat terbuka kepada Dr Kassim Ahmad


Saya menulis surat ini kepada Tuan doktor selepas saya membaca beberapa petikan daripada kenyataan Tuan di akhbar dan media internet. Entah mimpi apa tiba-tiba Tuan kembali bersuara setelah sekian lama bagai diam bertapa.
Rasanya sudah lama Tuan tidak bersuara. Kali terakhir kita bertemu kira-kira enam tahun lalu di Permatang Pauh.
Sewaktu Tuan duduk bersendirian, saya memberanikan diri untuk berteman bicara dengan tuan. Tidak mengapa jika Tuan tidak mengingati saya. Itu tidak penting.
Yang penting waktu itu, Tuan menyebut bahawa tuan tidak menolak hadis kecuali hadis palsu. Sayapun setuju. Tuan juga menyebut bahawa Tuan tidak anti hadis.
Bahkan Tuan menyebutkan bahawa perlunya al-Quran dijadikan rujukan. Itupun tiadalah siapa yang ingin menyangkalnya.
Di penghujung bicara kita waktu itu, Tuan sangat menghargai kepimpinan Fadzil Mohd Noor. Akupun teruja mendengarnya. 
Walaupun dalam masa yang sama Tuan juga menghargai kepimpinan Dr Mahathir Muhamad.
Tuan berasa cukup jelek dengan politik Umno. Waktu itu. Saya hanya mencatatkan semua itu dalam kertas otak saya.
Betapa saya sangat menghargai keintelektualan Tuan dalam bidang kesusasteraan dan politik tidaklah saya berani pada bidang keagamaan khususnya yang melibatkan persoalan aqidah dan syariah.
Meski kita mempunyai jalur yang sama dalam sastera namun persoalan agama yang Tuan nyatakan adalah suatu yang sukar dan saya memilih tidak bersama Tuan.
Saat orang Melayu mendewa-dewakan Hang Tuah bagai wira mereka, tiba-tiba Tuan dengan berani menongkah arus dan menukilkan bahawa lelaki tampan itu sebenarnya pengkhianat dan tidak layak dianggap sebagai wira.
Wira yang menegakkan keadilan adalah Hang Jebat yang beratus tahun mati sebagai penderhaka. Mati penuh kehinaan.
Hidup Tuan penuh pemberontakan seperti hidupnya Hang Jebat. Malangnya Tuan lupa akan adab susila orang Melayu yang penuh berbudi. Melayu tidak akan hidup dengan nafas revolusi Bolshevik atau amuk Jebat derhaka. Melayu ada caranya yang tersendiri.
Saya bukanlah ulama yang boleh mengatur ayat al Quran dan hadis (yang tentunya yang shahih) untuk menentang hujah Tuan. Saya hanya orang Melayu yang ingin hidup pada lingkungan Islam yang indah dan harmoni.
Jika kelompok ulama seperti kasta paderi, tentu kelompok pemikir seperti Tuan berkeinginan membina kasta tersendiri yang belum tahu apa istilahnya.
Bukan semua ulama akan menjurus kepada kebaikan. Sebab itu Imam Ghazali membahagikan ulama kepada dua; ulama baik dan ulama jahat. Sewaktu dulupun, Tuan pernah menjadi pejuang kelas bawahan.
Tetapi tidak wajar untuk Tuan menghukum kelas bourjuis semua sebagai “mustakbirin” dan kelas proletariat sebagai “mustaafin”. Kejahatan itu bukan terletak pada kelas atau ilmunya. Memang ada ulama tinggi ilmunya tetapi hidungnya panjang seperti Pinocchio atau “musang berjanggut” dalam filem P. Ramlee.
Bagaimanapun, menganggap ulama sebagai suatu kelompok elit dalam agama merupakan kekeliruan yang nyata.
Tuan akan menjadi menjadi fokus nasional. Nama Tuan semakin kerap dalam media massa hingga memungkinkan orang kita lupa tentang kenaikan harga barangan, ketegangan antara agama dan kaum dan timbunan permasalahan nasional, rasuah, hutang negara yang membimbangkan, ketirisan dan kegagalan kerajaan memerintah.
Orang Melayu akan mengamuk semacam Jebat bila agama dan bangsa mereka dilihat dihina. Barangkali elok saya peringatkan kembali puisi Usman Awang, “maruah dan agama dihina jangan, hebat amuknya tak kenal lawan”.
Pada umumnya,kenyataan Tuan itu satu penghinaan. Kebijaksanaan orang Melayu akan tenggelam. Orang Melayu akan turun berdemonstrasi, mengecam dan menghukum Tuan hingga stamina orang Melayu lemah untuk menentang syaitan besar yang sedang bertakhta menyusun skrip buat sandiwara yang tidak berkesudahan.
Kerana itu, saya mencadangkan pada rakan-rakan saya yang marah pada Tuan; jalan yang paling mulia menentang Dr Kasim Ahmad, jangan dirampas saxophone dari mulutnya tapi bawalah tali gambus keramat kalian!
Harap Tuan memahaminya dan kembali ke pangkuan jalan al Rahman. Amin. – 18 Februari, 2014.