Tampilkan postingan dengan label surat terbuka. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label surat terbuka. Tampilkan semua postingan

Selasa, 18 Februari 2014

Surat terbuka kepada Dr Kassim Ahmad


Saya menulis surat ini kepada Tuan doktor selepas saya membaca beberapa petikan daripada kenyataan Tuan di akhbar dan media internet. Entah mimpi apa tiba-tiba Tuan kembali bersuara setelah sekian lama bagai diam bertapa.
Rasanya sudah lama Tuan tidak bersuara. Kali terakhir kita bertemu kira-kira enam tahun lalu di Permatang Pauh.
Sewaktu Tuan duduk bersendirian, saya memberanikan diri untuk berteman bicara dengan tuan. Tidak mengapa jika Tuan tidak mengingati saya. Itu tidak penting.
Yang penting waktu itu, Tuan menyebut bahawa tuan tidak menolak hadis kecuali hadis palsu. Sayapun setuju. Tuan juga menyebut bahawa Tuan tidak anti hadis.
Bahkan Tuan menyebutkan bahawa perlunya al-Quran dijadikan rujukan. Itupun tiadalah siapa yang ingin menyangkalnya.
Di penghujung bicara kita waktu itu, Tuan sangat menghargai kepimpinan Fadzil Mohd Noor. Akupun teruja mendengarnya. 
Walaupun dalam masa yang sama Tuan juga menghargai kepimpinan Dr Mahathir Muhamad.
Tuan berasa cukup jelek dengan politik Umno. Waktu itu. Saya hanya mencatatkan semua itu dalam kertas otak saya.
Betapa saya sangat menghargai keintelektualan Tuan dalam bidang kesusasteraan dan politik tidaklah saya berani pada bidang keagamaan khususnya yang melibatkan persoalan aqidah dan syariah.
Meski kita mempunyai jalur yang sama dalam sastera namun persoalan agama yang Tuan nyatakan adalah suatu yang sukar dan saya memilih tidak bersama Tuan.
Saat orang Melayu mendewa-dewakan Hang Tuah bagai wira mereka, tiba-tiba Tuan dengan berani menongkah arus dan menukilkan bahawa lelaki tampan itu sebenarnya pengkhianat dan tidak layak dianggap sebagai wira.
Wira yang menegakkan keadilan adalah Hang Jebat yang beratus tahun mati sebagai penderhaka. Mati penuh kehinaan.
Hidup Tuan penuh pemberontakan seperti hidupnya Hang Jebat. Malangnya Tuan lupa akan adab susila orang Melayu yang penuh berbudi. Melayu tidak akan hidup dengan nafas revolusi Bolshevik atau amuk Jebat derhaka. Melayu ada caranya yang tersendiri.
Saya bukanlah ulama yang boleh mengatur ayat al Quran dan hadis (yang tentunya yang shahih) untuk menentang hujah Tuan. Saya hanya orang Melayu yang ingin hidup pada lingkungan Islam yang indah dan harmoni.
Jika kelompok ulama seperti kasta paderi, tentu kelompok pemikir seperti Tuan berkeinginan membina kasta tersendiri yang belum tahu apa istilahnya.
Bukan semua ulama akan menjurus kepada kebaikan. Sebab itu Imam Ghazali membahagikan ulama kepada dua; ulama baik dan ulama jahat. Sewaktu dulupun, Tuan pernah menjadi pejuang kelas bawahan.
Tetapi tidak wajar untuk Tuan menghukum kelas bourjuis semua sebagai “mustakbirin” dan kelas proletariat sebagai “mustaafin”. Kejahatan itu bukan terletak pada kelas atau ilmunya. Memang ada ulama tinggi ilmunya tetapi hidungnya panjang seperti Pinocchio atau “musang berjanggut” dalam filem P. Ramlee.
Bagaimanapun, menganggap ulama sebagai suatu kelompok elit dalam agama merupakan kekeliruan yang nyata.
Tuan akan menjadi menjadi fokus nasional. Nama Tuan semakin kerap dalam media massa hingga memungkinkan orang kita lupa tentang kenaikan harga barangan, ketegangan antara agama dan kaum dan timbunan permasalahan nasional, rasuah, hutang negara yang membimbangkan, ketirisan dan kegagalan kerajaan memerintah.
Orang Melayu akan mengamuk semacam Jebat bila agama dan bangsa mereka dilihat dihina. Barangkali elok saya peringatkan kembali puisi Usman Awang, “maruah dan agama dihina jangan, hebat amuknya tak kenal lawan”.
Pada umumnya,kenyataan Tuan itu satu penghinaan. Kebijaksanaan orang Melayu akan tenggelam. Orang Melayu akan turun berdemonstrasi, mengecam dan menghukum Tuan hingga stamina orang Melayu lemah untuk menentang syaitan besar yang sedang bertakhta menyusun skrip buat sandiwara yang tidak berkesudahan.
Kerana itu, saya mencadangkan pada rakan-rakan saya yang marah pada Tuan; jalan yang paling mulia menentang Dr Kasim Ahmad, jangan dirampas saxophone dari mulutnya tapi bawalah tali gambus keramat kalian!
Harap Tuan memahaminya dan kembali ke pangkuan jalan al Rahman. Amin. – 18 Februari, 2014.

Selasa, 21 Januari 2014

Surat terbuka kepada Najib, dari Nurul Izzah

  • Nurul Izzah AnwarNurul Izzah Anwar
 1 / 1 
SAYA harap Datuk Seri berada dalam keadaan sihat dan tenang. Saya mendoakan Datuk Seri dilimpahkan kerahmatan dan keberkatan daripada ALLAH SWT.

Ingin saya sampaikan bahawa saya memahami keadaan Datuk Seri yang mungkin tersasul semasa memberikan ucapan di Kemaman tempoh hari.

Saya akui, saya juga tertawa kecil, tapi dalam masa sama, saya sedar kita semua manusia, tidak lepas daripada melakukan kesilapan.

Bagaimanapun, Datuk Seri perlu sedar, apa yang Datuk Seri katakan itu cumalah salah satu daripada banyak kenyataan yang keluar daripada mulut Menteri Kabinet Malaysia kebelakangan ini. Dulu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek pernah berkata, “jika harga ayam mahal, jangan makan ayam”.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar juga pernah berkata, pengguna jalan raya boleh memilih untuk menggunakan jalan biasa lain sekiranya menganggap kenaikan tol terlalu tinggi. “Bagi mereka yang fikirkan ia terlalu mahal, mereka ada pilihan untuk tidak gunakan jalan tersebut.”

Datuk Seri, cuba tanyakan soalan ini dengan ikhlas kepada diri Datuk Seri sendiri, adakah ini kenyataan daripada mereka yang prihatin dengan masalah rakyat? Laporan media arus perdana mengatakan kadar inflasi di Malaysia sudah mencapai kemuncaknya pada 2.9 peratus pada November 2013.

Rakyat negara ini sudah lali dengan berita ini. Tetapi, tugas kerajaan bukan sahaja untuk mengawal kadar inflasi ini, tetapi juga untuk memberi penerangan kepada rakyat apakah makna inflasi ini, bagaimanakah kadar inflasi ini dikira dan seterusnya, apakah kesan-kesannya kepada rakyat. Sebagai ahli ekonomi, saya percaya Datuk Seri tahu akan kepentingan Indeks Harga Konsumer (CPI) kepada penentuan kadar inflasi ini.

Rakyat marhaen dapat melihat harga barang semakin meningkat dari hari ke hari, tapi perkara ini tidak langsung dicerminkan dalam kadar inflasi. Mengikut perkiraan pakar ekonomi, kadar inflasi yang sebenar di Malaysia berada pada kira-kira 8 peratus.

Dalam soal gaji dan upah, pekerja Malaysia juga jelas terseksa dengan kadar gaji rendah. Pada ketika ini pekerja Malaysia cuma menikmati 28 peratus daripada KDNK, berbanding keuntungan perniagaan pada 67.1 peratus. Bandingkan dengan negara jiran kita, Singapura yang pada 1997 mempunyai pecahan gaji berbanding KDNK sebanyak 42 peratus. Nampaknya pecahan ini amat tidak seimbang. Jika kita bandingkan dengan beberapa negara maju lain, pecahan ini lebih besar, contohnya pekerja-pekerja di Jepun menikmati gaji dan upah sebanyak 52 peratus daripada KDNK keseluruhan.

Datuk Seri, saya pelawa Datuk Seri sendiri turun melihat sendiri keadaan rakyat. Baru-baru ini, saya ternampak sebuah iklan jawatan kosong di sebuah restoran makanan segara yang popular, menawarkan gaji RM900 sebulan. Saya ingin tanya, bagaimanakah seseorang itu boleh hidup di kawasan Lembah Kelang dengan gaji RM900 sahaja? Pada hemat saya komen tentang kangkung tempoh hari melihatkan betapa Datuk Seri dan Kabinet Datuk Seri terputus daripada realiti kehidupan rakyat marhaen. Masalah pendapatan ini juga membawa kepada suatu masalah yang lebih besar. Orang miskin nampaknya tidak ada ruang untuk melepaskan diri daripada belenggu kemiskinan, kerana pendidikan yang berkualiti tiada dalam jangkauan mereka.

Saya fikir, sekiranya mahukan Malaysia yang terus-menerus mengeluarkan sumber manusia berkualiti secara mampan, isu pendidikan perlu diberi perhatian secara serius, bukan sekadar penukaran kosmetik.

Datuk Seri, saya juga amat bimbang sekali dengan retorik perkauman serta sentimen kebencian yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini.

Isu-isu seperti hak keistimewaan orang Melayu dan isu-isu keagamaan sudah menjadi permainan ahli-ahli politik yang tidak peduli akan hak-hak kemanusiaan sejagat. Saya amat bimbang anak-anak Malaysia akan terpengaruh dengan sikap perkauman yang melampau, sehinggakan ada semakin berani guna kata-kata kesat atau berbaur ugutan ke atas bangsa-bangsa lain.

Justeru, Datuk Seri perlu menjadi pemimpin kepada semua rakyat Malaysia. Tidak boleh berdiam diri berkenaan isu-isu yang menggugat ketenteraman dan kesejahteraan hidup rakyat. Apakah dengan mendiamkan diri membolehkan Datuk Seri meninggalkan warisan yang lebih bermakna yang Datuk Seri sendiri inginkan? Pilihan di tangan Datuk Seri. Tepuk dada, tanya selera.

Selasa, 24 Desember 2013

Lagi Surat Terbuka Untuk Najib

DECEMBER 25, 2013
Pasca PRU13, ataupun pasca rakyat memberi mandat kepada kerajaan Barisan Nasional (BN), kesabaran rakyat terus dan terus diuji. Pelbagai jenis keperluan rakyat dinaikkan dengan alasan yang pelbagai. Kata Datuk Seri, kita naikkan gula kerana mahu mengurangkan kadar diabetes rakyat Malaysia. Malah kata menteri-menteri yang lain, yang menjadi 'trademark' setiap kali kos sara hidup dinaikkan, "Kalau tak suka, jangan duduk di Malaysia!".
Macam Malaysia ini kerajaan BN yang punya. Suka hati menghalau rakyat untuk berhijrah ke negara lain.
Datuk Seri Najib Razak, saya masih ingat salah satu manifesto parti sewaktu PRU13. Datuk kata mahu menurunkan kadar tol secara berperingkat, Datuk kata mahu menurunkan itu dan ini, maka gembiralah kami seraya memberi mandat kepada Datuk agar melaksanakan manifesto dan janji. Datuk kata prihatin nasib rakyat. Saya ingat lagi, Datuk selalu mengulang kalimah Janji Ditepati. Namun setelah mandat itu diterima, mana Janji Ditepati? Yang saya lihat, banyak roti capati yang dijual di kedai-kedai mamak. Saya tak suka makan roti capati.
Ingatlah Datuk, mandat yang dipegang sekarang diberi oleh rakyat, maka rakyat mampu menariknya kembali. Maka, prihatinlah masalah rakyat. Datuk kata rakyat mampu untuk menanggung kenaikan kos ini. Adakah Datuk tahu kewujudan begitu banyak golongan yang tidak mempunyai rumah (homeless) di bandar KL ini? Hampir setiap minggu rakan-rakan saya melalui begitu banyak program seperti The Nasi Lemak Project dan sebagainya turun untuk memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan. Itu baru di bandar, bagaimana pula nasib mereka di kampung? Saya masih ingat lagi sewaktu saya kecil, ibu saya menangis kerana tidak mampu memberi wang kepada saya untuk ke sekolah. Saya memikirkan, jika golongan pertengahan pun berang kerana kenaikan kos sara hidup, bagaimana pula dengan golongan bawahan? Datuk, mereka miskin bukan kerana mereka bodoh, tapi mereka miskin kerana mereka diperbodohkan kroni-kroni Datuk.
Setiap kali berjalan di bandar, saya sedih melihat golongan peminta sedekah, golongan OKU yang menjual barang-barang di tepi jalan. Saya terfikir, di manakah perginya cukai-cukai yang dibayar rakyat kepada kerajaan? Ke mana ia dilaburkan? Saban tahun, saya kecewa melihat laporan audit yang dikeluarkan Jabatan Audit Negara. Begitu banyak pembaziran dan wang yang 'lesap'. Itu wang rakyat Datuk. Wang golongan yang membanting tulang setiap hari mencari nafkah sekeluarga. Majoriti rakyat Malaysia bukanlah kaya macam Datuk, kami tak mampu belajar ataupun bercuti sehingga ke luar negara, tapi Alhamdulillah kami masih mampu berfikir. Berfikir kenapa rakyat Malaysia dibebani sehingga sebegini rupa.
Masyarakat Malaysia, kita bertuah kerana bumi Malaysia ini kaya dengan rezeki. Kita ada minyak, kelapa sawit dan pelbagai lagi hasil negara. Tapi jangan sekali-kali kita bersyukur kepada kerajaan apabila pendapatan hasil bumi ini diseleweng dan disalahguna.
Semalam, saya dapat tahu seorang aktivis yang memperjuangkan supaya kos sara hidup diturunkan, Azan Safar, Pengerusi Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) ditahan polis untuk direman. Saya tertanya-tanya, begitu ramai penjenayah nasional, penyeleweng wang rakyat dan wang zakat dibiarkan hidup senang lenang, tapi kenapa seorang anak muda yang memperjuangkan nasib rakyat tertindas ditahan polis dan aktivis lain dilayan dan diherdik kasar sewaktu penangkapan saudara Azan Safar? Wah, nampaknya Datuk mahu menangkap siapa saja yang membantah kenaikan kos sara hidup yang membebankan rakyat. Lagak Datuk gah seperti seorang diktator. Saya fikir, logik apakah ini?
Sesungguhnya, saya sedar Datuk mungkin tidak akan membaca apa yang saya tulis, namun jauh di sudut hati saya berharap Datuk dapat berubah. Jika tidak, maka tunggulah hukuman daripada rakyat yang diperbodohkan ini. Mandat yang kami berikan kepada Datuk, ketahuilah ia tidak lama. – 25 Disember, 2013.- TMI

Kamis, 19 Desember 2013

Surat Terbuka Kepada Najib Razak - Kemana duit kami pergi?

YAB Datuk Seri,
Tidak dapat dinafikan, Malaysia yang dipimpin YAB kini berhadapan masalah ekonomi.
Pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) diunjur malar, defisit kian melebar, hutang makin mengakar, inflasi terus menjalar dan tabungan semakin sukar.
Walaupun transformasi dijana dan janji dijaja, barah rasuah dan disiplin integriti masih kekal di tahap lama.
Kerajaan YAB dilihat mengambil formula mudah untuk mengatasi masalah ini – cukai dinaikkan, subsidi dikurangkan, integriti dipersoalkan.
YAB pasti mengerti, pelbagai perbelanjaan, subsidi dan bantuan yang diberi kerajaan, semuanya dipungut daripada rakyat.
Pendapatan rakyat dicukai, keuntungan rakyat dicukai, perbelanjaan rakyat dicukai, manakala simpanan rakyat dipinjam untuk membiayai hutang kerajaan.
Jika demokrasi adalah pemerintahan “dari rakyat, untuk rakyat, oleh rakyat”, ekonomi yang sihat juga begitulah sifatnya.
Untuk pengetahuan YAB, kami anak muda juga cakna memikirkan hal ekonomi negara. Saban hari kami hadapi – harga makan minum mahal, harga rumah mahal, sewa rumah mahal, harga kereta mahal, tambang bas dan teksi mahal.
Hendak belajar perlu berhutang, hendak berniaga tiada modal, hendak bekerja peluang terhad, hatta hendak berkahwin terpaksa meminjam.
Tidak cukup dengan itu, YAB mengumumkan kenaikan 20 sen harga petrol selepas empat bulan pilihanraya, harga gula diumum naik 34 sen selepas lima bulan pilihanraya, tarif elektrik diumum naik 15% selepas enam bulan pilihanraya dan terkini tol lebuhraya pula mahu dinaikkan, yang semuanya tidak pernah dijanjikan.
Semua ini adalah senarai rasionalisasi (baca: pengurangan) subsidi yang telah diumumkan, belum dikira dengan yang bakal diumumkan, ditambah pula dengan peniaga yang menaikkan harga barangan.
YAB pasti tahu, harga barangan menjadi mahal (baca: inflasi) disebabkan dua faktor, tolakan-kos dan tarikan-permintaan.
Dengan kenaikan kos bahan ini, sifir mudahnya, harga akhir yang perlu dibayar pengguna akan turut meningkat.
Natijah kenaikan harga barangan ini, kos sara hidup kian menghimpit, kuasa beli makin menyusut, dan hutang isi rumah dijangka terus meningkat.
Siapa akan pulihkan ekonomi Malaysia? Rakyat tiada akses pada perjanjian pembelian tenaga (PPA) oleh Tenaga Nasional Berhad terhadap penjanakuasa bebas (IPP) yang mengaut untung besar, yang kami kira wajar dikaji-semula.
Rakyat tiada akses pada keuntungan dan royalti minyak dan gas Petronas, yang kami hitung, wajar diagih rata.
Rakyat tiada akses pada perjanjian konsesi tol yang telah mendapat pulangan atas pelaburan (ROI), yang kami darab, wajar dirunding-semula.
Rakyat tiada akses pada tender dan kontrak kerajaan, yang kami bahagi, wajar diberi secara telus dan terbuka.
Rakyat tiada akses pada subsidi untuk monopoli beras dan gula, yang kami anggar, wajar diagih saksama.
Rakyat tiada akses pada aliran perbelanjaan menteri, yang kami perincikan, wajar dijimat dalam berbelanja.
Benar, rakyat tiada akses, tetapi rakyat punyai azam dan cita untuk berubah demi hidup sejahtera.
Akhir dari saya, ingatlah, ketika YAB (dan isteri) berfikir ke mana mahu pergi, kami anak muda berfikir ke mana duit kami pergi. Teringat saya akan konsep wasatiyyah yang sering dizikirkan. Jika ikhlas diamalkan, pasti masalah mampu diselesaikan. – oleh  Syahir Sulaiman 19 Disember, 2013. - TMI