Kamis, 26 September 2013

Artis : Adam (AF2) & Fiza (Elite) Sah Bergelar Suami Isteri


Adam dan Fiza berharap perkahwinan mereka akan berkekalan sehingga akhir hayat. Foto Ihsan UTUSAN MALAYSIA.
SHAH ALAM: Dengan sekali lafaz, penyanyi Mohd Aizam Mat Saman atau Adam (Akademi Fantasia 2) dan bekas anggota kumpulan Elite iaitu Fiza selamat bergelar suami-isteri dalam satu majlis akad nikah yang diadakan di dewan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) di sini, pada pagi Khamis.
Akad nikah disempurnakan Pegawai Pendaftar Nikah Daerah Petaling, Suhaimi Ahmad kira-kira pukul 10.30 pagi.
Fiza atau nama sebenarnya, Siti Zaidatul Fiza Abd Halim, 32, menerima mas kahwin sebanyak RM300 dan sepersalinan barangan untuk solat sebagai hantaran.
Majlis pernikahan yang dijalankan dalam serba sederhana itu hanya dihadiri keluarga kedua-dua belah pihak dan wakil media.
Adam, 30, dan Fiza saling kenal mengenali pada pertengahan Julai lalu sebelum kedua-duanya memutuskan untuk berumah tangga.
Dengan sekali lafaz Adam sah bergelar suami kepada Fiza dalam sebuah majlis serba sederhana yang diadakan di dewan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Shah Alam pada pagi Khamis.
"Kami sebelum ini pernah berjumpa tetapi tiada apa-apa perasaan tapi selepas perubahan dia ke arah menjadi insan yang lebih baik saya mula rasa ingin mendekati dirinya.
"Daripada beberapa pertemuan dengan dia, saya semakin suka dan jatuh hati sehingga melamarnya untuk dijadikan isteri yang sah," kata Adam.
Tambah Adam, dia bersyukur majlis berkenaan berjalan lancar selain mengharapkan hubungan itu kekal ke akhir hayat.
Fiza yang kini sudah berhijrah dengan memakai tudung pernah berkahwin dengan Ahmed Farriq Zainul Abidin pada 8 September 2006 dan bercerai pada 4 November 2010.
Hasil perkahwinan itu mereka mendapat dua orang anak iaitu Ferra Aryana, 5, dan Feeya Adyrra, 4.
Majlis persandingan pasangan itu akan diadakan pada pertengahan Oktober depan di kampung halaman Adam di Kota Kinabalu, Sabah.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar