Tampilkan postingan dengan label MB SEL. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label MB SEL. Tampilkan semua postingan

Jumat, 14 Februari 2014

Naib Presiden PKR: Laporan The Star tentang Khalid Ibrahim tidak berasas


Naib Presiden PKR, Chua Tian Chang berkata laporan akhbar milik MCA, The Star yang melaporkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim enggan menandatangani surat peletakan jawatan bagi membenarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih jawatan menteri besar Selangor sebagai tidak berasas. 

Katanya, fokus PKR dan Pakatan Rakyat (PR) pada ketika ini adalah untuk memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dan soal siapa menteri besar Selangor tidak timbul.



"Laporan itu tiada asas. Sekarang ini fokus kami hendak menang PRK Kajang dan semua pihak termasuk Abdul Khalid bekerjasama untuk menjayakannya," kata Chua yang lebih dikenali sebagai Tian Chua kepada The Malaysian Insider di Kuala Lumpur.

"Tidak betul, tiada isu tentang surat letak jawatan. Isu menteri besar Selangor akan dibincang nanti (selepas PRK),” katanya.

Hari ini, The Star melaporkan Abdul Khalid enggan menandatangani surat peletakan jawatan bagi memberikan laluan kepada Anwar untuk menjadi menteri besar Selangor menerusi pelan "Langkah Kajang".

Menurut The Star, berdasarkan sumber peringkat tertinggi PKR, Abdul Khalid dijadualkan perlu menandatangani surat peletakan jawatan yang disediakan oleh kepimpinan parti bertarikh 23 Mac, hari sama dengan hari pengundian bagi PRK DUN Kajang.

Surat peletakan jawatan sulit itu merupakan sebahagian daripada pelan becita-cita tinggi untuk memberi laluan kepada Anwar memimpin Selangor selepas menang PRK Kajang.

"Beliau merasakan dipermainkan oleh Anwar," lapor The Star memetik sumber kerajaan negeri yang turut mengatakan Abdul Khalid sudah menyatakan hasratnya untuk tidak berundur kepada Sultan Selangor semasa pertemuan mingguan pada Rabu.

Menurut laporan akhbar itu, Abdul Khalid kini berdepan cabaran untuk mengekalkan sokongan Pakatan Rakyat (PR) Selangor terutamanya daripada DAP.

Laporan itu menyatakan Abdul Khalid berkecil hati dengan pemimpin PKR seperti Rafizi Ramli yang mengatakan beliau tidak cukup kuat untuk memimpin cabaran serangan Umno di Selangor.

Kerusi DUN Kajang kosong selepas Lee chin Cheh dari PKR meletakkan jawatan secara mengejut.

Lee, 42, merupakan seorang peguam dan bekas ahli parti Gerakan selama 10 tahun.

Dalam PRU13, Lee mendapat 19,571 undi, berbanding calon BN, Lee Ban Seng yang mendapat 12,747 undi.

Komposisi pengundi di Kajang membentuk 49% Melayu, 40% Cina, 10% India dan 0.91% lain-lain.

PR sudah mengumumkan Anwar sebagai calon mereka bagi PRK Kajang manakala BN masih lagi belum berbuat demikian.

Tetapi, spekulasi mengatakan Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun bakal diletakkan untuk melawan Anwar. -TMI

Cita-cita DSAI jadi MB Selangor mungkin tak kesampaian, Khalid enggan letak jawatan

Cita-cita Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Menteri Besar Selangor menerusi pelan hebatnya mungkin tidak akan kesampaian.

Ia berikutan penyandang jawatan itu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim enggan meletak jawatan.

Berdasarkan sumber peringkat tertinggi, Abdul Khalid dijadualkan perlu menandatangani surat perletakan jawatan yang disediakan oleh kepimpinan PKR.

Bagaimanapun difahamkan Abdul Khalid enggan berbuat demikian.


Surat perletakawan jawatan sulit itu merupakan sebahagian daripada pelan becita-cita tinggi untuk memberi laluan kepada Anwar memimpin Selangor.

Surat itu dipercayai bertarikh 23 Mac iaitu tarikh hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.

Surat bertarikh tersebut dibuat dengan jangkaan Anwar akan memenangi PRK Kajang dan menyertai DUN Selangor.

Sumber kerajaan negeri turut memaklumkan The Star bahawa Abdul Khalid menasihatkan Istana Selangor bahawa beliau tidak akan meletak jawatan.

"Beliau rasa seperti dipermain-mainkan oleh Anwar," katanya sumber berkenaan.

Abdul Khalid juga dikatakan sudah menerangkan kepada Sultan Selangor mengenai situasi politik di Selangor dalam pertemuan mingguannya pada Rabu lalu.

Difahamkan Sultan Selangor yang mahir mengenai Perlembagaan Negeri, dijangka tidak mengganggu hal politik namun akan mematuhi sepenuhnya semua undang-undang negeri.

Sejak Abdul Khalid menghadap sultan, beliau diperhatikan kini sentiasa berada dalam keadaan 'angin baik' dan selalu tersenyum.

Pemerhati berkata keadaan rambutnya sering dilihat sebagai 'pengukur angin' - kini dilihat sentiada kemas dan rapi serta kelihatan ceria.

Walau bagaimanapun, Abdul Khalid perlu menghadapi 'pertempuran sengit' dalam usaha mengekalkan kedudukannya.

Difahamkan DAP menggesa supaya diadakan mesyuarat khas Pakatan Rakyat pada minggu depan.

Seorang pemimpin senior DAP dikatakan memaklumkan kepada PKR bahawa jika parti itu gagal menguruskan Abdul Khalid, parti itu akan mula memberikan tekanan kepadanya.

Abdul Khalid dilaporkan kehilangan sokongan DAP Selangor berikutan isu rampas Bible.

Bagaimanapun tidak semua Adun DAP akan memberi tekanan terhadap Abdul Khalid kerana sekumpulan Adun parti itu yang diketuai oleh pemimpin kuat mereka akan terus memberi sokongan kepadanya.

Menurut sumber, Abdul Khalid kecewa dengan kenyataan daripada pemimpin partinya selepas Anwar dinamakan sebagai calon PRK Kadang.

Antaranya kenyataan oleh Ahli Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli iaitu individu yang dikatakan menjadi tulang belakang kepada PRK Kajang pernah dilaporkan berkata bahawa beiau yakin Anwar mampu melakukan sesuatu yang lebih baik di Selangor.

Mohd Rafizi berkata Abdul Khalid ada seorang teknokrat dan tidak mempunyai pengalaman untuk menguruskan isu perkauman dan agama.

Malah kenyataan Anwar sendiri mengenai pelannya di Selangor turut tidak menyenangkan Abdul Khalid sebagai penyandang kerusi Menteri Besar.

Baru-baru ini orang di sekeliling Abdul Khalid mengkritik cadangan Anwar untuk melibatkan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib dalam program pembangunan luar bandar Selangor.

Anwar menyatakan cadangan itu ketika berceramah di Kajang pada Rabu lalu.

Ia dilihat sebagai keputusan yang bertentangan dengan pendirian parti dan Pakatan Rakyat memandangkan kontroversi yang dikaitkan dengan Mat Taib, sebagai bekas pemimpin Umno.

Anwar dan Mat Taib pernah berada dalam pasukan yang sama pada 1996 ketika pemilihan UMNO-15/2/2014 - mStar

Rabu, 05 Februari 2014

Masalah jika Anwar dilantik MB

SHAH ALAM - Walaupun menguasai PKR, Ketua Umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bukan pemimpin yang sesuai untuk diangkat menjadi menteri besar Selangor.

Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Azmi Hassan berkata, ini kerana kontroversi yang melibatkan Anwar terlalu banyak dan boleh menjadi liabiliti bagi kerajaan negeri jika beliau dilantik sebagai menteri besar.

“Banyak kontroversi yang melibatkan peribadi beliau disentuh sebelum ini, selain itu, beliau juga bakal dibicarakan di mahkamah tidak lama lagi. Ini berisiko tinggi jika beliau dilantik jadi menteri besar Selangor.

“Ini juga boleh jadi bola tanggung untuk BN serang kerajaan negeri," katanya.


Azmi berkata, itu mungkin antara faktor Pas seakan-akan tidak bersetuju apabila nama Anwar disebut menggantikan kerusi Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor.

“Selain itu, jika Anwar memegang kerusi menteri besar,  masalah dalaman parti akan terpalit dalam pentadbiran negeri. Itu yang mahu dielak oleh Pas," katanya.

Menurut Azmi, dari segi pengamalan Anwar memang layak untuk menggantikan Abdul Khalid,  bagaimanapun akibat liabiliti yang ada, rakan PR berhati-hati dalam membuat keputusan mengenai perkara itu.

Pendapat sama turut diutarakan oleh pensyarah dari Universiti Sains Malaysia, Dr Sivamurugan Pandian bahawa Pas tidak mahu terpaut bersama dengan masalah dalaman PKR.

“Pas juga merasakan yang calon mereka lebih layak mengisi kerusi menteri besar jika Abdul Khalid berundur,” katanya.
Sivamurugan turut berpandangan bahawa peranan Anwar lebih kepada menjadi penyatu antara Pas, PKR dan DAP dalam PR.

Menurut Sivamurugan,  kemenangan Anwar di  Dun Kajang, tidak bermakna kemelut yang berlaku dalam PKR akan berakhir.

Kelmarin, Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kaiat  berkata, sayap Pas itu akan menyokong Anwar bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) di Dun Kajang.
Bagaimanapun, tidak sesekali menyokong jika Ketua Pembangkang itu berhasrat mahu menjadi menteri besar Selangor bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Kenyataan dua ahli akademik itu seakan berbeza dengan percaturan yang dibuat oleh PKR yang dilihat mahu meletakkan Anwar dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

Minggu, 02 Februari 2014

Khalid Tidak Akan Berganjak Sebagai MB Selangor


Abdul Khalid
KLANG: Walaupun Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata terdapat perbincangan beliau akan mengambil alih jawatan menteri besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim tidak mungkin akan meletak jawatan, kata sumber yang rapat dengan menteri besar.
Mereka berkata, Khalid hanya akan berbuat demikian jika Timbalan Presiden PKR Azmin Ali juga mengosongkan kerusi DUN Bukit Antarabangsa yang disandang beliau.
"Khalid tegas dengan pendirian ini dan tidak akan berganjak jika kompromi ini tidak dipenuhi," kata sumber yang rapat dengan kerajaan negeri.
Menurut sumber, Khalid telah bersetuju untuk memberi laluan kepada Anwar, tetapi jika penasihat PKR itu bertanding di Bukit Antarabangsa yang mana kerusi itu akan dikosongkan oleh Azmin.
Walau bagaimanapun beliau mendakwa Anwar kembali memperkatakan tentang hal itu dengan meminta bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang Lee Chin Cheh untuk memberi laluan kepada beliau bertanding kerusi DUN itu.
Anwar
Sumber lain berkata Khalid enggan memenuhi sebahagian daripada rancangan itu kerana Anwar telah gagal untuk meyakinkan Azmin untuk mengosongkan kerusinya.
"Khalid telah menurunkan pelan kedua yang melibatkan Lee," kata sumber itu.
Satu lagi sumber yang rapat dengan pejabat menteri besar berkata Khalid sebenarnya telah bersetuju Anwar mengambil alih tempatnya jika beliau menang kerusi negeri.
"Bagaimanapun, beliau telah mengenakan syarat, iaitu untuk Azmin yang dilihat sebagai pembuat kacau hendaklah dikeluarkan daripada DUN.
"Dia menganggap Azmin sebagai punca masalah ini di Selangor dan mengeluarkan Lee untuk membawa masuk Anwar sebenarnya tidak menangani isu sama sekali," kata sumber itu.
Sumber itu juga berkata Khalid, yang popular di kalangan masyarakat dengan dasar mesra rakyat dan personaliti merendah diri, mungkin tidak berganjak jika Azmin tidak disingkirkan.
Azmin
"Khalid adalah seorang tokoh korporat yang sangat berpengalaman dalam berurusan dan membuat keputusan. Dia tidak akan berundur melainkan jika dia mendapat apa yang dia mahu," kata sumber itu.
Seluruh negara terkejut apabila Lee meletak jawatan minggu lepas dan Anwar dinamakan sebagai calon bagi kerusi di Kajang.
Langkah itu dilihat sebagai sebahagian daripada langkah-langkah yang diambil oleh PKR untuk menghapuskan Khalid yang dianggap sebagai seorang yang lokek dan enggan menghabiskan wang negeri mengikut keperluan.

Selasa, 28 Januari 2014

Undian mahukan Khalid kekal MB


Abdul Khalid menjadi pilihan untuk kekal sebagai MB.
PETALING JAYA: Pelbagai pihak mahukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kekal sebagai Menteri Besar Selangor mengikut undian yang dijalankan oleh The Star pada Selasa.
Undian yang bermula pada pukul 8 pagi itu telah menarik perhatian seramai 2,125 pengundi untuk membuat pilihan dengan 43 peratus mahu Abdul Khalid dikekalkan.
"Beliau telah mentadbir dengan baik, sesuatu yang amat jarang dilakukan oleh pemimpin di negara ini. Beliau perlu terus menjadi menteri besar walaupun terdapat gesaan daripada pengkritiknya," kata pengundi.
Seorang anak kelahiran Terengganu, Ariff berkata, Abdul Khalid merupakan seorang yang memahami masalah ekonomi dan lebih baik dari orang lain.
"Berintegriti, jika orang Selangor tidak mahu beliau sebagai menteri besar, kami orang Terengganu mempelawa Abdul Khalid dengan tangan terbuka untuk menjadi menteri besar," katanya.
Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli pula mendapat sebanyak 24 peratus undian untuk berada sebagai pilihan kedua dengan 497 undi.
Ahmad Rasydan berkata, Rafizi merupakan rakan sekolahnya dan beliau adalah calon terbaik untuk menjadi menteri besar Selangor.
"Walaupun terdapat beberapa kenyataan beliau tidak tepat tetapi kesalahan itu lebih kecil jika dibandingkan dengan yang dilakukan oleh pemimpin lain," kata penduduk Kerteh itu.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dinamakan sebagai calon pilihan raya kecil itu hanya menjadi pilihan ketiga dengan mendapat 21 peratus atau 450 undi.
Berada di kedudukan keempat pula ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Cempaka, Iskandar Abdul Samad yang mendapat 172 undi iaitu 8 peratus.
Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali pula menjadi pilihan terakhir dengan 91 undi atau 4 peratus dari keseluruhan pilihan.  mStar 29 Jan 14

Kejutan Tahun Baru Cina Anwar

Anwar Ibrahim, makin hampir ke matlamat utama. Pic: Faisol Mustafa/mDAnwar Ibrahim, makin hampir ke matlamat utama. Pic: Faisol Mustafa/mDSIAPA yang tidak kenal dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketua pembangkang yang bukan calang-calang orangnya.
Beliau ialah seorang yang petah berbahasa, bijak dan masih mampu memberi impak yang kuat di Malaysia walau sudah berdekad bergelumang dengan kontroversi dan onak ranjau dalam merealisasikan impian politiknya.
Terkini, beliau mencetuskan senario sensasi terbaru apabila diumumkan akan bertanding merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang yang baru dua hari dikosongkan bekas ahli DUN Kajang Lee Chin Chen.
Di awal tahun 2014 ini, tindakan Anwar itu dilihat sebagai berani, seolah-olah beliau mencari satu batu loncatan untuk menggapai ‘sesuatu’ yang lebih besar dalam genggamannya.
Atau adakah ini satu kejutan sempena Tahun Baru Cina daripada Anwar?
Jadi MB Sebagai Pampasan
Datul A. Kadir JasinDatul A. Kadir JasinBekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times Press, Datuk A. Kadir Jasin menulis dalam blognya baru-baru ini tentang tindakan Anwar bertanding di Kajang. Di mata beliau, ia dilihat sebagai akuan kalah Anwar kerana gagal menjadi Perdana Menteri Malaysia.
Saban tahun, masyarakat Malaysia sudah sedia maklum akan aspirasi Anwar yang mahu memegang kuasa sebagai menteri paling kanan dalam kabinet. Ramai yang sudah arif akan harapan Anwar ini yang berputik sejak awal pembabitannya di arena politik Malaysia.
Kesungguhan beliau untuk bertanding kerusi DUN Kajang boleh dilihat sebagai ‘pampasan’ atas kegagalan menjadi seorang Perdana Menteri. Sekiranya beliau berjaya memegang tiket Ahli Undangan Negeri, Anwar berkemungkinan besar mengambil alih jawatan Menteri Besar Selangor daripada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Melalui tulisan blog Kadir, beliau berpendapat ‘musuh’ Anwar tentu akan berfikir yang Anwar bertindak demikian untuk memuaskan kehendaknya untuk menjadi Perdana Menteri yang masih tidak lagi kesampaian.
Kadir meramalkan implikasi tindakan Anwar itu akan menjadi susuatu yang menarik untuk tatapan umum.
Melalui blognya, Kadir juga menjelasnya, memandangkan Anwar lebih berpengalaman berbanding Khalid mungkin tindakan Anwar itu menjadikannya lebih layak untuk menerajui pentadbiran Negeri Selangor.
"Anwar membuat pengorbanan besar kerana matlamat beliau sejak menyertai Umno pada 1982 ialah untuk menjadi perdana menteri,” tulisnya.
Perancangan Teliti Seorang Genius
Penganalisis Politik Dr. Ismail Sualman yang dihubingi penulis bersutuju dengan anggapan yang pencalonan Anwar lewat petang semalam adalah sebagai langkah pertama beliau untuk bergelar Menteri Besar.
Prof Madya Dr Ismail SualmanProf Madya Dr Ismail SualmanKatanya, pencalonan itu bukan satu kebetulan tetapi sudah dirancang dengan teliti.
"Perancangan Anwar bermula sejak beliau dilantik sebagai perancang ekonomi kerajaan Selangor lagi pada tahun 2008 dengan bayaran sebanyak RM1 sebulan,” jelas Ismail.
Konflik yang berlaku antara Timbalan Presiden PKR Azmin Ali dan Khalid juga hanyalah sandiwara dalam PKR dan diumpamakan sebagai pendahuluan kepada ceritera cita-cita Anwar.
"Pergelutan dalam PKR adalah sebuah agenda yang dirancang, begitu juga dengan perlucutan jawatan Azmin yang dilihat memberi laluan kepada Anwar untuk menerajui Selangor.
Tambahnya lagi, Azmin dan Khalid hanya berbalah menerusi media sahaja namun hakikatnya hubungan kedua-dua mereka tidak seperti yang dilaporkan.
Pengeksploitasian Demokrasi
Ismail juga berkata, tindakan Anwar yang mahu bertanding di pilihanraya kecil Kajang memperlihatkan beliau sebagai seorang yang berhati kering dan tidak mempedulikan mandat yang diberikan kepada PKR sebelum ini melalui system demokrasi.
"Anwar seperti berhati kering untuk bertanding, memperdagangkan mandat rakyat hanya untuk menguntungkan PKR", katanya.
Timbul tanda tanya sama ada perletakan jawatan Lee disebabkan kerelaannya sendiri atau atas tekanan daripada Majlis Pimpinan PKR.
Tindakan bekas Adun Kajang Lee pula yang tidak mengumumkan sendiri perletakkan jawatannya seolah-olah tidak menghormati amanat rakyat dan menimbulkan seribu tanda tanya.
BN Perlu Bersedia
Khalid Ibrahim ketika di sidang media semalam ketika mengumumkan calon PKR bagi PRK Kajang. Pic: Faisol Mustafa/mDDalam pada itu Ismail juga menggesa BN supaya bangun dari mimpi dan melihat permainan Anwar ini dengan mata yang terbuka dan menilai setiap pergerakan Anwar dengan bijak. Beliau berfikir adalah tidak wajar untuk BN memandang enteng percaturan terbaru Anwar ini dan berterusan mentertawakan pergelutan PKR.
Sebagai langkah proaktif, BN harus mula memikirkan calon sesuai dan sama handal untuk bertanding bersama Anwar di piliharaya kecil Kajang yang akan dijalankan tidak lama lagi. Aspek terpenting untuk difikirkan ialah langkah-langkah untuk mengambil hati penduduk Kajang dan secara tidak langsung memancing undi mereka.
"Saya harap rakyat Kajang juga terbuka dan menjadi hakim terhadap permainan ini", katanya semalam.
Bolehkah Anwar Jadi Menteri Besar Selangor?
Wujud keraguan sama ada Anwar memenuhi kriteria untuk menjadi Menteri Besar sekiranya beliau berjaya memenangi kerusi DUN Kajang itu.
Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia, Dr. Sivamurugan Pandian berkata antara kriteria yang paling utama untuk menjadi Menteri Besar ialah; calon perlu mempunyai kerakyatan negeri itu.
"Saya tidak pasti di dalam undang-undang tubuh negeri mensyaratkan ahli politik yang mahu menjadi MB mempunyai kad pengenalan yang membuktikan beliau seorang pemastautin di Selangor,” jelas Sivamurugan.
Katanya lagi, sekiranya Anwar memenangi kerusi itu beliau masih perlu mendapat perkenan daripada Sultan Selangor, DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah, terlebih dahulu sebelum boleh dilantik sebagai Menteri Besar yang sah.
Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian. Pic: TMIProfesor Madya Dr Sivamurugan Pandian. Pic: TMIMenurut Sivamurugan, keputusan Anwar untuk bertanding mungkin untuk menstabilkan hubungan di antara Azmin dan Khalid.
"Saya yakin Majlis Tertinggi PKR ada sebab yang kuat memilih Anwar sebagai calon untuk bertanding", katanya kepada mD.
Apa Kata Rakyat?
Suhaimi Daud, 38, yang berasal dari Kajang berkata pencalonan Anwar menggantikan Lee adalah tidak wajar dan dia merasakan keputusan Anwar itu membuktikan beliau seorang yang tamak.
Katanya, Anwar tidak sesuai di Kajang kerana ketua pembangkang itu bukan berasal dari sana.
"Dia sudah jadi Ahli Parlimen Permatang Pauh, apa yang dia mahu di Kajang?", soalnya.
"Bagi saya, tidak menjadi masalah siapa yang bertanding tetapi kalau boleh berilah peluang kepada penduduk tempatan untuk menjadi wakil rakyat kami", jelasnya kepada mD.
Namun begitu berlainan pula dengan Zamanhuri Yaacob yang berusia dalam lingkungan 50-an. Beliau menyokong penuh pencalonan Anwar di kawasannya.
"Saya yakin Anwar adalah calon yang tepat untuk membawa pembaharuan di sini tambah-tambah lagi dengan pengalaman luas yang beliau miliki,” kata Zamanhuri.
Beliau juga berpendapat penduduk di Kajang kebanyakkannya terdiri daripada penyokong Pakatan Rakyat dan majoriti daripada mereka adalah penyokong Anwar.
Zamanhuri berpendapat ramai orang tempatan Kajang memaklumkan kepada beliau yang mereka tertarik dengan janji Pakatan Rakyat yang menawarkan pendidikan percuma kepada anak Selangor.
"Kalau Anwar jadi Menteri Besar, pendidikan anak-anak akan jadi percuma...jika dapat tawaran masuk Universiti tak perlu ibu bapa buat pinjaman", katanya kepada mD.
Sementara itu, Chew Hiew Kuang berpendapat laluan Anwar tidak akan menjadi semudah yang disangka selepas diumumkan sebagai calon untuk bertanding kerusi DUN Kajang.
Katanya, peluang Anwar untuk memenangi kerusi itu adalah 50-50.
.."Walaupun Anwar dilihat sebagai pemimpin yang berkaliber dan berpengalaman luas, namun ramai diantara kawan-kawan saya yang tidak suka dengan perwatakan serta masalah peribadi beliau sebelum ini,” katanya.
Beliau beranggapan banyak undi yang diperolehi PKR pada pilihanraya lalu majoritinya disumbangkan oleh masyarakat berbangsa Cina (rekod melaporkan terdapat 41 peratus pengundi Kajang terdiri daripada kaum Cina).
"Individu yang diletakkan sebagai calon adalah faktor yang amat penting. Selain daripada itu, adalah lebih baik sekiranya wakil rakyat kami ialah seorang yang berperwatakan baik dan bersahsiah," katanya.
Masyarakat Siber Selar Keputusan Anwar
..Pengguna laman sosial Twitter bagaimanapun dilihat mengecap tindakan Anwar mengisi kekosongan kerusi di Kajang. Masing-masing memaparkan pandangan mereka yang kebanyakkannya melihat pencalonan Anwar seperti mengiyakan spekulasi  yang mengatakan beliau bercadang untuk menjadi Menteri Besar.
Berikut ialah luahan sebilangan pengguna Twitter:
@IhsanHuhu :"Seriously I trust DAP more than PKR. You do not take #Kajang people's trust for granted. Surely we can wat until PRU14 for any reshuffling.”
@beckyilham : "So as an MP, do you serve the people or the power hungry leader in your party?#kajang", tulisnya.
..Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang @tankengliang:
"PR leaders should come up with a crystal clear explanation on #Kajang fiaso. Just be honest and man up! Otherwise, face the consequences.
@mdsaifullah9: " Kau ingat Pengundi tak rasa marah ke? kena 'buang' masa pergi undi untuk PRK sebab YB DUN #kajang letak jawatan", tulisnya.

Senin, 28 Oktober 2013

Buat apa saya nak guling Khalid - DSAI

  • Anwar IbrahimAnwar Ibrahim. - Foto Sinar Harian oleh SAFWAN MANSOR
 1 / 1 
KUALA LUMPUR - Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan adanya usaha untuk menggulingkan kerajaan negeri Selangor yang ditadbir oleh Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Anwar hari ini mengakui memang ada membuat teguran terhadap Abdul Khalid supaya hasil pendapatan negeri dapat ditumpukan kepada rakyat terutama di dalam bidang pendidikan dan infrastruktur, namun tidaklah sampai ke tahap mahu menggulingkan kerajaan negeri itu.

"Memang teguran dibuat walaupun tidak dalam konteks yang benar, saya puji kerajaan Pulau Pinang dan Selangor kerana pengurusan ekonomi yang baik, saya gesa kerana lebihan itu, supaya dapat menumpu kepada rakyat terutama dalam bidang pendidikan dan terutamanya dalam bidang infrastruktur.

"Itu sahaja yang saya tekankan, saya kata itu sahaja yang saya bagi contoh saya dapati Shah Alam, jalan setiap minggu saya dapat aduan, rosak dan sebagainya, jadi saya kata dekat Khalid ada pegawai bagi laporan baik (tentang keadaan jalan) tapi di jalan itu berlopak.

"Sebab itu ada orang kata Anwar mahu gulingkan, buat apa saya mahu gulingkan," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Anwar juga berkata, desas-desus yang bertiup kencang kononnya Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali mahu mengambil alih tampuk kerajaan negeri tidak ada dalam pengetahuannya.

"Azmin, kalau dia nak ambil alih tak kan saya tak tahu, yang tahu Utusan dan Utusan yang paling prihatin tentang masalah ini," ujarnya.

Sabtu, 26 Oktober 2013

Utusan sokong PAS gantikan Khalid sebagai MB Selangor, bukan Azmin


Kolumnis Utusan Malaysia, Awang Selamat hari ini mempersoalkan keengganan PAS menyertai kepimpinan tertinggi negeri Selangor setelah wujud perselisihan dalaman PKR bagi memilih Menteri Besar Selangor yang paling layak.
Beliau berkata desas-desus bertiup kencang bahawa Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) akan digantikan dengan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali tidak lama lagi.
“Awang tertanya-tanya mengapa PAS tidak mahu menuntut jawatan Menteri Besar? Adakah PAS tidak cukup keyakinan untuk menggalas teraju kepimpinan dengan sekadar jadi pengekor?
“Adakah parti dalam Pakatan Rakyat (PR) akan menentang habis-habisan jika PAS mengambil tindakan sedemikian? Kebanyakan pemimpin PAS negeri juga dikatakan lebih condong kepada Khalid.
“Isu ini sedang hangat diperkatakan dalam PKR. Bagaimanapun khabarnya Khalid enggan berundur walaupun didesak oleh Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya melalui akhbar edisi Ahad, Mingguan Malaysia hari ini.
Menurut Awang Selamat, pihak yang menyokong Abdul Khalid kurang senang dengan tekanan yang dikenakan ke atas beliau kerana mereka berpendapat kejayaan pakatan pembangkang mempertahankan Selangor turut disumbangkan oleh faktor kepimpinan Menteri Besar Selangor itu.
Katanya, beberapa pemimpin PKR Selangor yang menyokong Azmin mahukan Anwar lebih tegas melakukan perubahan kepada jawatan Menteri Besar.
“Menurut mereka Anwar telah berjanji untuk melantik Azmin menggantikan Khalid. Sebagai Timbalan Presiden, sepatutnya beliau sudah lama diberi jawatan lebih utama.
“Awang menetap di kawasan pentadbiran Selangor. Tidak kisahlah siapa menjadi Menteri Besar sama ada Khalid mahupun Azmin asalkan perlembagaan negeri membenarkan,” katanya.
Awal bulan ini, Anwar mengkritik Abdul Khalid dan meminta Menteri Besar Selangor itu tidak lagi berbangga dengan lebihan kewangan yang diperolehi tetapi gagal membelanjakannya dengan baik.
Sebaliknya, Anwar memuji Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang disifatkannya berjaya membawa Pulau Pinang mencapai tahap prestasi terbaik.
Anwar mendakwa, setakat ini Pulau Pinang di bawah pimpinan Lim menunjukkan prestasi membanggakan berbanding Selangor ekoran kelemahan yang dilihat masih belum berjaya diatasi dalam pentadbiran Abdul Khalid. – 27 Oktober, 2013.