Tampilkan postingan dengan label AZMIN ALI. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label AZMIN ALI. Tampilkan semua postingan

Rabu, 15 Januari 2014

PKNS kata mesyuarat exco putus gugur Azmin


Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berkata keputusan untuk menamatkan jawatan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali sebagai ahli PKNS dibuat oleh mesyuarat exco.

Setiausaha Kerja PKNS, Norita Mohd Sidek berkata, jawatan Azmin ditamatkan melalui surat bertarikh 8 Januari lalu, sebenarnya dibuat selaras dengan mesyuarat exco pada 13 November dan disahkan pada 4 Disember tahun lalu.


"Merujuk kepada isu jawatan YB Mohamed Azmin Ali sebagai Ahli Perbadanan PKNS yang dilaporkan di media, PKNS ingin mengesahkan bahawa kami telah mengutus surat bertarikh 8 Januari 2014 kepada YB Mohamed Azmin Ali bagi memaklumkan bahawa tempoh jawatan beliau ditamatkan selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor pada 13 November 2013 dan disahkan oleh MMKN pada 4 Disember 2013.

“PKNS juga ingin memaklumkan bahawa kuasa melantik ahli perbadanan adalah di tangan MMKN (mesyuarat exco) dan bukan di tangan pengurus besar selaras dengan klausa 4(1) enakmen penubuhan PKNS,” katanya dalam satunkenyataan ringkas lewat malam tadi.

Kenyataan ini sama sekali berbeza dengan penjelasan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam bahawa ia dibuat atas arahan Pengurus Besar PKNS Othman Omar yang bakal menamatkan khidmat hujung bulan ini.

Bercakap dalam sidang media selepas mesyuarat exco semalam, Khalid berkata, surat pengguguran Azmin itu dikeluarkan oleh Othman dan exco menerimanya selepas Azmin juga menerima keputusan itu.

PKR Selangor sebelum itu menuntut penjelasan Khalid berhubung pengguguran Azmin itu atas alasan mereka tidak dimaklumkan awal dan ia bertentangan dengan keputusan kongres PKR tahun lalu yang memutuskan semua lantikan politik, termasuk pengguguran perlu mendapat sokongan parti.

Kenyataan terbaru PKNS ini sekaligus dilihat bakal menyemarakkan lagi kehangatan dalam PKR menjelang kongres pemilihan parti itu tidak berapa lama lagi. - Malaysiakini

Sabtu, 11 Januari 2014

Persengketaan Tan Sri Khalid dan Azmin Ali kembali memuncak


KLANG: Persengketaan lama antara Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Mohamed Azmin Ali dilihat kembali memuncak apabila Menteri Besar itu menggugurkan Timbalan Presiden Parti Keadilan (PKR) berkenaan daripada jawatan ahli lembaga pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
Walaupun sumber PKNS mendakwa keputusan tersebut untuk 'mengukuhkan' perbadanan itu, pengikut setia Mohamed Azmin sebaliknya mendakwa keputusan itu bertujuan melemahkan pemimpin berkenaan menjelang pemilihan parti tahun ini.
"Pengguguran (Mohamed) Azmin adalah satu keputusan perniagaan untuk mengukuhkan kedudukan penyumbang ekonomi terbesar negeri ini," tegas sumber PKNS itu.
Bagaimanapun ternyata penyokong Azmin menolak alasan ini dengan mendakwa Abdul Khalid bertindak dengan sewenang-wenangnya untuk menghapuskan musuh politiknya.
Sehubungan itu mesyuarat khas dijangka akan diadakan di Ibu Pejabat PKR pada Ahad malam bagi membincangkan mengenai kedudukan Mohamed Azmin dan beberapa isu lain di Selangor.
Salah seorang daripada mereka berkata Mohamed Azmin selalu memberikan tekanan kepada Menteri Besar ketika mesyuarat ahli lembaga pengarah.
"Azmin bertanya banyak soalan dan sering mencabar kenyataan dan keputusan Khalid yang diputuskan dalam mesyuarat.
"Itulah sebabnya beliau digugurkan," katanya.
Seorang lagi penyokong Mohamed Azmin berkata: "Jika anda seorang ahli politik, adalah penting untuk anda memegang jawatan dalam syarikat atau organisasi berkaitan kerajaan untuk mendapatkan pengaruh.
"Apa yang Tan Sri (Abdul Khalid) lakukan adalah untuk sekat sayap Azmin sebelum pemilihan PKR."
Tambahnya Abdul Khalid juga m -menghantar mesej kepada ahli akar umbi parti bahawa beliau lebih berkuasa daripada Timbalan Presiden PKR itu. - mStar

Sabtu, 26 Oktober 2013

Utusan sokong PAS gantikan Khalid sebagai MB Selangor, bukan Azmin


Kolumnis Utusan Malaysia, Awang Selamat hari ini mempersoalkan keengganan PAS menyertai kepimpinan tertinggi negeri Selangor setelah wujud perselisihan dalaman PKR bagi memilih Menteri Besar Selangor yang paling layak.
Beliau berkata desas-desus bertiup kencang bahawa Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) akan digantikan dengan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali tidak lama lagi.
“Awang tertanya-tanya mengapa PAS tidak mahu menuntut jawatan Menteri Besar? Adakah PAS tidak cukup keyakinan untuk menggalas teraju kepimpinan dengan sekadar jadi pengekor?
“Adakah parti dalam Pakatan Rakyat (PR) akan menentang habis-habisan jika PAS mengambil tindakan sedemikian? Kebanyakan pemimpin PAS negeri juga dikatakan lebih condong kepada Khalid.
“Isu ini sedang hangat diperkatakan dalam PKR. Bagaimanapun khabarnya Khalid enggan berundur walaupun didesak oleh Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya melalui akhbar edisi Ahad, Mingguan Malaysia hari ini.
Menurut Awang Selamat, pihak yang menyokong Abdul Khalid kurang senang dengan tekanan yang dikenakan ke atas beliau kerana mereka berpendapat kejayaan pakatan pembangkang mempertahankan Selangor turut disumbangkan oleh faktor kepimpinan Menteri Besar Selangor itu.
Katanya, beberapa pemimpin PKR Selangor yang menyokong Azmin mahukan Anwar lebih tegas melakukan perubahan kepada jawatan Menteri Besar.
“Menurut mereka Anwar telah berjanji untuk melantik Azmin menggantikan Khalid. Sebagai Timbalan Presiden, sepatutnya beliau sudah lama diberi jawatan lebih utama.
“Awang menetap di kawasan pentadbiran Selangor. Tidak kisahlah siapa menjadi Menteri Besar sama ada Khalid mahupun Azmin asalkan perlembagaan negeri membenarkan,” katanya.
Awal bulan ini, Anwar mengkritik Abdul Khalid dan meminta Menteri Besar Selangor itu tidak lagi berbangga dengan lebihan kewangan yang diperolehi tetapi gagal membelanjakannya dengan baik.
Sebaliknya, Anwar memuji Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang disifatkannya berjaya membawa Pulau Pinang mencapai tahap prestasi terbaik.
Anwar mendakwa, setakat ini Pulau Pinang di bawah pimpinan Lim menunjukkan prestasi membanggakan berbanding Selangor ekoran kelemahan yang dilihat masih belum berjaya diatasi dalam pentadbiran Abdul Khalid. – 27 Oktober, 2013.