Kamis, 28 November 2013

Perhambaan di London : Kamarmahtum akhirnya bertemu Siti Aishah


Kamar Mautum.
PETALING JAYA: Pertemuan yang dinanti-nantikan selama 30 tahun akhirnya dapat dilaksanakan oleh pesara guru, Kamar Mahtum apabila dia dipertemukan dengan Siti Aishah Wahab di satu lokasi rahsia di London.
Astro Awani melaporkan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, Datuk Seri Zakaria Sulong mengesahkan pertemuan diantara Kamar dan mangsa hamba domestik, Siti Aishah Wahab.
Kamar tiba di London untuk bertemu adiknya yang menghubungi keluarganya buat kali terakhir pada 1980, sebelum memutuskan hubungan mereka.
Difahamkan hubungan Aishah dengan keluarganya terjejas kerana penglibatannya dengan kumpulan Maoist yang diketuai oleh warga India, Aravindan Balakrishnan dan rakannya, Chanda Pattni.
Siti Aishah.
Kamar dilaporkan memberikan sejadah (tikar sembahyang) kepada Siti Aishah seperti yang dimintanya dalam surat kepada keluarganya di Malaysia.
Tiada lagi maklumat terperinci didedahkan buat masa ini walaupun anak saudara Siti Aishah, Siti Zawiyah Othman memberitahu The Star bahawa saudara mereka di London memaklumkan kepada keluarga di Malaysia bahawa Siti Aishah diserang strok baru-baru ini.
Siti Aishah antara tiga wanita yang berjaya diselamatkan daripada menjadi hamba domestik lebih 30 tahun di selatan London baru-baru ini.
Terdahulu, dalam laporan The Telegraph, Kamar membaca surat yang ditujukan kepada Siti Aishah memaklumkan mengenai betapa sayangnya keluarga itu kepadanya dan berharap mereka dapat bersatu semula.
"Saya berharap dari surat ini dan hakikatnya saya datang ke London akan membuatkan adik saya sedar betapa kami sayangkan dia. Ia adalah impian dan harapan saya iaitu dalam masa terdekat kita boleh bersatu," kata Kamar.
Zakaria turut dilaporkan sebagai berkata telah berjanji untuk membantu keluarga itu untuk bertemu semula dengan Aishah.
"Kami masih belum dapat bertemu dengannya kerana polis masih menjalankan siasatan dan ia begitu rumit dan memakan masa yang lama. Apa yang kita bimbangkan adakan kebajikan dan keselamatannya. Jika dia adalah rakyat Malaysia dan ingin pulang, kami akan membantunya sedaya upaya," katanya.- mStar

Tidak ada komentar:

Posting Komentar