Jumaat November 15, 2013
Pelancong Warga Taiwan Mati Ditembak, Isteri Dipercayai Dilarikan Di Perairan Semporna
SEMPORNA: Seorang pelancong warga Taiwan ditemui mati ditembak, manakala isterinya dipercayai dilarikan sekumpulan lelaki tidak dikenali dalam kejadian di Pulau Pom-Pom, dekat perairan ini, awal pagi Jumaat.
Lelaki berusia 57 tahun itu yang dikenali sebagai Lim Min Hsu ditemui mati dengan dua kesan tembakan di koridor sebuah resort di sini kira-kira pukul 1 pagi Jumaat.
Isterinya, An Wei Chang, 58, juga warganegara Taiwan dilaporkan hilang susulan insiden itu.
Pasangan suami-isteri itu tiba di resort tersebut pada Selasa dan dijadualkan meninggalkan resort berkenaan pada 20 November ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan insiden itu tetapi tidak mendedahkan maklumat lanjut.
Penduduk-penduduk di Semporna berkata tiada aktiviti mencurigakan berlaku tetapi polis dan tentera telah mengambil langkah berjaga-jaga.
"Kami terdengar bunyi tembakan di sebuah pulau tetapi tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku," kata seorang kakitangan di Majlis Daerah Semporna.
Peniaga Pasar Malam Maut Ditembak
BACHOK: Seorang peniaga pasar malam menjadi mangsa terbaru kes tembakan di Kelantan apabila maut selepas terkena beberapa das tembakan semasa dalam perjalanan pulang daripada berniaga di Kampung Pengkalan Petah di sini, malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Lai Yong Heng berkata, Alias Yusof, 58, ditembak beberapa das yang tepat mengenai kepala dan perut dalam kejadian kira-kira 8.45 malam.
"Mangsa ditembak individu yang menaiki motosikal kira-kira jarak 250 meter dari tapak pasar malam itu ketika sedang menunggang motosikal bersama anaknya berumur enam tahun dalam perjalanan pulang," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Lai berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala anak lelakinya tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian untuk bedah siasat dan menurutnya kes akan disiasat secara terperinci.
Sementara itu, isteri mangsa, Jawiah Che Mat, 41, berkata ketika kejadian dia yang memandu van berada tidak jauh di hadapan suaminya sebelum terdengar bunyi tembakan.
"Saya lihat suami saya dalam keadaan tertindih dengan motosikal manakala anak saya berada di sebelahnya dalam keadaan pucat.
"Sewaktu alihkan motosikal, suami saya masih bernyawa sebelum meninggal dunia," katanya yang yang berniaga air minuman di pasar malam berkenaan. Anak pasangan itu kelihatan trauma kerana terkejut.
Sementara itu, seorang saksi, Fazli Mahmood, 30-an, berkata pada mulanya dia menyangka tembakan itu adalah bunyi mercun tetapi kemudiannya melihat sebuah motosikal yang dinaiki dua individu memecut laju.
"Tetapi motor jenis apa saya tidak tahu dan mengetahui arwah kena tembak selepas itu," katanya.
Pada 30 Oktober lalu, seorang peniaga emas cedera parah terkena tembakan di bahagian bahu dalam kejadian di Kampung Sering, Kota Bharu. - BERNAMA
Tidak ada komentar:
Posting Komentar