IPOH: Seorang maut manakala tujuh yang lain cedera dalam kemalangan membabitkan dua treler dan dua kereta di Km 257.2 lebuhraya Utara-Selatan menghala Selatan berhampiran Terowong Menora di sini, Isnin.
Dalam kejadian pukul 4.30 petang itu, pemandu lori treler yang membawa muatan siling, M. Ukesparen, 31, disahkan mati di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Abdul Gaffar Muhamad ketika dihubungi berkata kejadian itu membabitkan treler berkenaan dengan sebuah lagi treler yang membawa muatan bitumen serta dua kereta masing-masing jenis Avanza dan Nissan Latio dengan kesemuanya dalam perjalanan menghala ke Selatan.
"Treler yang membawa muatan siling itu mengalami kerosakan brake dan cuba memperlahankan kenderaannya sebelum menghimpit treler yang membawa muatan bitumen itu dan menyebabkannya (treler bitumen) terbalik dan masuk gaung," katanya.
Katanya treler yang membawa muatan siling itu kemudiannya terbabas ke hadapan dan merempuh dua kereta itu.
Beliau berkata bapa kepada Ukesparen cedera pada bahagian kepala manakala pemandu treler yang membawa muatan bitumen tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Kereta Avanza membawa seramai lima penumpang dan seorang daripada mereka Rokiah Awang mengalami patah tangan kiri manakala yang lain cedera ringan. Pemandu kereta Nissan turut mengalami cedera ringan," katanya.
Tiga mangsa dihantar ke HRPB manakala empat yang lain menerima rawatan di Hospital Kuala Kangsar.
Abdul Ghaffar berkata ekoran kejadian itu, kenderaan dari arah selatan menghala utara bergerak perlahan sepanjang empat kilometer disebabkan pengguna jalan raya mahu melihat kejadian itu. -BERNAMA
Tidak ada komentar:
Posting Komentar