OCTOBER 29, 2013
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah seorang Perdana Menteri yang berlagak seperti anak nakal. Seorang anak nakal ini tidak akan faham masalah yang ada pada orang lain atau adik atau ibu bapa mereka. Anak nakal selalunya kuat berbelanja, maklum sajalah wang ringgit itu bukannya dia yang mencarinya. Dia hanya pandai berbelanja dan berbelanja tidak kira pada waktu baik atau buruk.
Pembentangan bajet baru-baru ini menunjukkan sikap berpura-pura Najib, yang dengan selamba beretorik dengan slogan wasatiyah, dan berbagai-bagai lain yang melambangkan kerajaan beliau berbelanja secara berhemah dengan wang rakyat yang ada. Tetapi di dalam berslogan hebat itu beliau memperuntukkan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan peruntukan yang sangat besar dalam sejarah negara, iaitu sebanyak RM16.45 billion.
Bajet bagi Jabatan Perdana Menteri pada 2010 adalah RM11.88 billion, bagi 2012 sebanyak 13.72 billion dan bajet 2014 adalah RM16.45 billion. Peruntukan Jabatan Perdana Menteri lebih besar daripada peruntukan belanjawan Kementerian Pertahanan dan ini keadaan yang amat susah untuk diterima oleh rakyat ramai.
Jabatan penting di bawah JPM tidak menelan belanja yang sebegitu besar. Jakim hanya diperuntukkan kurang RM800 juta, dan Jabatan Implimentasi dan Koordinasi (ICU) tidak melebihi RM400 juta. Agensi-agensi penguatkuasa di bawah JPM seperti Penguatkuasa Maritim tidak pun berbelanja sampai RM400 juta. Ini bermakna jumlah yang RM14 billion itu hanya untuk kegunaan Pejabat Perdana Menteri sahaja.
Elok pembahas di Parlimen meminta Perdana Menteri memberikan pecahan terperinci terhadap RM14 billion yang lain itu. Persoalannya kenapa begitu mahal untuk menyelenggarakan Perdana Menteri sekarang ini, sedang PM itu sendiri memotong banyak perkara yang selama ini dibelanjakan oleh rakyat sendiri.
Yang amat menyakitkan bagi rakyat sekarang ini, pemimpin kita khususnya Perdana Menteri sendiri menunjukkan sikap tidak mahu berkorban untuk rakyat seperti beliau sarankan rakyat untuk berkorban. Dalam pada kita semua dipotong segala subsidi seperti subsidi bahan petroleum dan sebagainya, Perdana Menteri masih memberikan peruntukan yang berlipat kali ganda jumlahnya daripada peruntukan pada beberapa tahun sebelumnya.
Perdana Menteri masih lagi mengelilingi dunia tanpa had dan berlegar di seluruh dunia hampir setiap minggu dengan jet peribadi yang menelan belanja hampir RM100 juta sejak tiga tahun lalu. Kenapa PM begitu boros sedangkan rakyat dimintanya berbelanja secara berhemah dan berjimat cermat. Malahan bukan sahaja meminta rakyat berjimat, segala subsidi yang dirasai oleh rakyat ditarik satu persatu.
Kenapa bersikap seperti ‘nangoi’ dan tidak mempunyai ‘finesse’ walaupun sedikit? Kenapa tidak ada rasa malu dengan mengkufurkan nikmat pemberian Tuhan melalui rakyat yang sedang dalam kesusahan? Kenapa tidak langsung mempunyai ‘conscience’ dalam diri Perdana Menteri dan jemaah Menterinya? Kenapa?
Kepada Najib kami berseru, berbuat baiklah sedikit. Bentuklah sedikit jiwa rakyat di dalam diri saudara itu. Bersikaplah sebagai seorang yang mempunyai ibu bapa. Kenapa malukan nama baik keluarga? Kalaulah PM Najib masih bersikap begini tidak payah hapuskan subsidi gula, sikap beliau sendiri akan menambah pesakit diabetes kerana kehidupan yang stressful rakyat sekarang ini.
Apakah benar kata-kata seorang pemimpin kita yang lain, membawa keluar seseorang dari kampung itu adalah mudah, tetapi hendak mengeluarkan kampung dari dalam diri seseorang itu adalah kerja yang sangat susah. Najib ini dikendongnya kampung itu ke mana-mana. Malah beliau berbangga pula menunjukkan kampungnya itu di khalayak ramai dengan selamba sahaja.
Dalam dunia ini bukan Najib seorang memegang jawatan Perdana Menteri ini, tetapi PM yang lain itu tidaklah bersikap seperti si kudung mendapat cincin seperti sikap PM kita ini. Siapa yang membuatkan Najib menjadi begini? Siapa yang tahu?
Kenapa tidak ada langsung sifat malunya? Kenapa? Hendak kita biarkan sahaja keadaan ini berterusan? Kenapa Umno dan Barisan Nasional tidak bertindak terhadap Najib yang sudah melupakan daratan ini?
Hentikanlah budaya 'vandalisme' yang di amalkan oleh PM ini. Cara beliau berbelanja amat menakutkan kita. Beliau sudah menjadi seorang maharaja dan tidak lagi pemimpin rakyat. – aspanaliasnet.blogspot.com,
Tidak ada komentar:
Posting Komentar