OCTOBER 27, 2013
Akhbar milik Umno Utusan Malaysia dalam edisi Ahad Mingguan Malaysia hari ini meneruskan serangan terhadap masyarakat Cina apabila melabelkan kaum itu tidak suka ditegur dan mengatakan pendekatan politik mereka sudah melampau dan berbahaya hasil pengamatan dari sebuah buku ‘The Chinese Dilemma’, tulisan Ye Lin Shing.
Menurut kolumnisnya Awang Selamat, penulis buku itu tidak malu untuk mengakui orang Cina Malaysia bersikap tidak adil terhadap orang Melayu malah katanya, masyarakat Cina taksub menyokong parti ekstrem DAP serta mahu menuntut hak sama rata dengan orang Melayu.
“Rumusan yang boleh dibuat dari buku tersebut, orang Cina di negara ini lebih beruntung berbanding negara lain tetapi masih tidak bersyukur. Penulis menekankan bagaimana sikap pemurah orang Melayu dalam kontrak sosial sebelum merdeka membolehkan kaum Cina mendapat kerakyatan.
“Masyarakat Cina Malaysia juga perlu menghayati nasib dialami warga Cina di Vietnam menjadi orang hanyut dipaksa meninggalkan negara itu serta kaum Cina di Kemboja yang ramai daripada mereka dibunuh atau dihalau.
“Penduduk Cina di Indonesia turut mengalami nasib sama apabila identiti mereka dihapuskan, begitu juga di Filipina, yang kaum Cina dinafikan kerakyatan mereka,'' katanya.
Awang Selamat berkata, buku tersebut menjadi sangat relevan untuk dibaca terutama pasca Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang menyaksikan tsunami kaum Cina menolak kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan orang Melayu.
“Apabila akhbar Utusan Malaysia menyiarkan di muka surat depan, ulasan berita bertajuk Apa Lagi Cina Mahu? dua hari selepas keputusan PRU-13, sebahagian pemimpin DAP dan NGO Cina marah walaupun kandungan laporan itu disifatkan oleh banyak pihak sebagai realistik dan suatu pertanyaan yang rasional,” katanya.
Menurutnya lagi, kerajaan banyak memenuhi tuntutan kaum Cina bersifat perkauman seperti pengembangan sekolah Cina dan dasar kerajaan yang membolehkan ramai orang Cina terus kaya raya namun mereka tetap mahu menjatuhkan kuasa politik Melayu.
“Penulis turut menggambarkan sikap angkuh Cina Malaysia yang suka menghina orang Melayu. Orang Melayu sebenarnya sedang dijajah kaum Cina tetapi itulah keistimewaan orang Melayu, mereka adalah bangsa yang bersopan santun dan penyabar.
“Sepatutnya orang Cina perlu berbakti kepada orang Melayu. Awang kasihan kepada orang Melayu. Walaupun banyak beralah kepada kaum Cina sejak dahulu lagi tetapi terus dilukai dan dikhianati. Budi yang dihulur, racun yang diberi. Pun begitu, ramai Melayu yang masih tidak sedar diri,” katanya.
Dua hari selepas keputusan PRU13 diumumkan, akhbar Utusan Malaysia mempersoalkan “Apa lagi Cina mahu?” di muka hadapannya, satu langkah dilihat untuk menunjukkan trend pengundian Cina lawan Melayu.
Laporan itu diselar ramai pihak kerana sebahagian besar penganalisis berpendapat, keputusan PRU13 sebenarnya menunjukkan perbezaan pengundian antara penduduk bandar dan luar bandar bukan antara kaum Cina dan Melayu. – 27 Oktober, 2013.- TMI
Tidak ada komentar:
Posting Komentar