Selasa, 28 Januari 2014

DSAI tidak hormati pengundi, pentingkan parti dari negara

OLEH MD IZWAN DAN ELIZABETH ZACHARIAH
JANUARY 29, 2014
LATEST UPDATE: JANUARY 29, 2014 11:07 AM
Keputusan bertanding di DUN Kajang menunjukkan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak 'menghormati' pengundi. Gambar fail.Keputusan bertanding di DUN Kajang menunjukkan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak 'menghormati' pengundi. Gambar fail.Keputusan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang menunjukkan ketua pembangkang itu pentingkan partinya daripada negara, kata penganalisis politik.
Langkah tersebut menunjukkan ketua umum PKR itu "tidak menghormati" pengundi dan akan melemahkan kedudukan Pakatan Rakyat (PR) di Selangor.
Ketua Pegawai Eksekuti Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan, berkata pilihan raya kecil tersebut akan menyebabkan "masalah tidak sepatutnya" kepada rakyat.
"Ia adalah paling teruk yang dibuat pada ketika ini, menunjukkan Anwar meletakkan kepentingan parti berbanding rakyat.
"Rakyat pasti kecewa dengan ini, ia jelas tidak menghormati pengundi dan hanya menunjukkan perbalahan politik dalaman," katanya dan dan menambah ia teladan tidak baik pada masa hadapan.
Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia, Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, berkata rakyat pasti mempersoalkan langkah Anwar kerana mereka yang memilih pemimpin dalam pilihan raya umum sebelum ini.
"Rakyat pasti rasa ini suatu yang tidak betul kerana perbalahan dalaman menyebabkan mereka perlu mengundi sekali lagi," katanya.
Kedua-dua mereka, Wan Saiful dan Azizuddin mempersoalkan kos pilihan raya kerana ia pasti menelan belanja berjuta ringgit pada ketika rakyat terpaksa berjimat-cermat berikutan kenaikan kos sara hidup.
"Dia (Anwar) akan buat rakyat terpaksa bayar satu lagi pilihan raya.
"Kita bercakap tentang penjimatan tapi dia mahu belanja lebih lagi," kata Wan Saiful.
Azizuddin berkata: "Pilihan raya ini membazir wang sahaja. Suruhanjaya Pilihan Raya berbelanja sekurang-kurangnya RM4 juta untuk setiap pilihan raya kecil."
PKR semalam mengesahkan Anwar yang juga ketua pembangkang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lee Chin Cheh melepaskan jawatan atas alasan "demi kebaikan parti".
Spekulasi mengatakan langkah tersebut bertujuan memberi laluan kepada Anwar untuk dilantik sebagai menteri besar Selangor bagi meredakan ketegangan antara dua kem pemimpin PKR, Mohamed Azmin Ali dan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
"Bila tukar menteri besar, saya takut akan ada kesan kerana Abdul Khalid kerana rakyat suka dia berikutan pengurusan kewangan dan ketelusannya, maka ia akan merengangkan hubungan antara Pakatan dengan rakyat nanti.
"Apabila berlaku keadaan seperti ini, tidak sampai setahun memerintah tiba-tiba ada pertukaran, ini menunjukkan masalah dalam Pakatan. Ini tidak elok untuk mereka," kata Azizuddin.
Bagaimanapun, dua penganalisis politik, Wong Chin Huat dan Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (Umcedel), Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman meramalkan masa depan cerah untuk PR susulan keputusan Anwar untuk bertanding di kerusi DUN Kajang.
"Dalam sistem presiden, ketua eksekutif kerajaan sub-nasional mengawal lebih banyak sumber dan peluang untuk membuktikan kemampuan mengurus kepada pemimpin nasional lain.
"Logiknya sama di Malaysia, walaupun kita secara amnya mengamalkan sistem berparlimen," kata Wong  di akaun Facebook miliknya.
Wong berkata, langkah Anwar itu bukan suatu kebetulan dan ia adalah realistik sebelum mensasarkan tempat ke Putrajaya.
"Ini bukan kebetulan. Anwar lebih realistik dengan meletak dirinya di Shah Alam terlebih dahulu sebelum mensasarkan ke Putrajaya," katanya.
Mohamad Redzuan pula yakin Anwar akan menang dengan majoriti lebih besar berbanding yang diperoleh Lee dalam pilihan raya sebelum ini.
"Perlu ambil kira faktor pengundi Cina dan Melayu serta calon itu sendiri.
"Ini pasti akan memalukan Barisan Nasional. Jika mereka letak wakil MCA di situ, ia pasti akan memalukan mereka," kata Mohammad Redzuan.
Beliau juga menyifatkan menteri besar, Abdul Khalid tidak mempamerkan prestasi baik selepas terpilih untuk penggal kedua.
"Ini mungkin pendekatan selamatkan Pakatan di Selangor, sebab Khalid tidak menunjukkan peningkatan prestasi.
"Walaupun rakyat suka Khalid dan popular, tapi orang politik tidak begitu, itulah isunya," katanya.
Beliau juga menolak andaian mengatakan perpecahan dalam parti seperti yang didakwa sesetengah pihak kerana semua parti politik memiliki masalah dalaman.
"Perpecahan dalaman PKR bagi saya perkara biasa, bukan mereka sahaja, malah PAS dan DAP pun sama juga.
"Dalam Umno pun ada pecahan kerana perpecahan parti politik ini perkara biasa," kata Mohammad Redzuan. – 29 Januari, 2014 - TMI

Tidak ada komentar:

Posting Komentar