Kamis, 30 Januari 2014

PRK Kajang : Pemuda Pas komited bantu calon PR

SHAH ALAM - Selepas beberapa kenyataan membidas peletakan jawatan Adun Kajang, Lee Chin Cheh, hari ini Pemuda Pas menyatakan akan komited membantu rakan parti yang bertanding dalam PRK Dun Kajang.

Ketuanya, Suhaizan Kaiat berkata, walaupun peletakan jawatan Adun PKR itu tidak disokong, namun sokongan akan terus diberikan kepada calon PR bagi memastikan kemenangan berpihak kepada parti perikatan itu.

"Pemuda Pas tetap komited untuk membantu memenangkan calon PR.

"Mungkin kita tidak bersetuju pada perletakan jawatan, tapi kita juga tidak setuju jika kerusi itu terlepas dari genggaman PR," tulisnya dalam laman Facebooknya.

Terbaru, akhbar Sinar Harian melaporkan tindakan bekas Adun, Chin Cheh meletak jawatan terus mendapat pertikaian dalam kalangan Pemuda Pas.


Pemuda Pas melihat tindakan itu seperti mempermainkan amanah rakyat yang sebelum ini berusaha memastikan kemenangan beliau dalam PRU13, Mei tahun lalu.

Ketua Pemuda Pas Petaling Jaya Selatan, Aziz Mahaiyuddin berkata, Chin Cheh hanya memperlekehkan usaha dan kepercayaan rakyat kepadanya dan peletakan jawatan tanpa sebab munasabah dilihat mengetepikan matlamat PR memastikan kebajikan dan keadilan terhadap rakyat dilaksanakan sebaiknya.

“Selangor bukan ditadbir PKR saja, tetapi ditadbir bersama Pas dan DAP, sepatutnya keputusan meletak jawatan ini dibincang bersama, bukan keputusan sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Suhaizan juga berkata kenyataan yang dikeluarkannya sebelum ini adalah berbentuk teguran ekoran pembaziran akan berlaku melalui PRK.

"Kita tak cakap kita sokong calon yang diletakkan di PRK itu.

"Kita hanya komited atas semangat kerjasama dengan PR, kita sebelum ini juga hanya tegur pemimpin itu kerana telah mempermainkan rakyat, rakyat telah pilih, tapi dia letak jawatan.

"Sepatutnya tak perlu letak jawatan begitu," katanya kepada Sinar Harian Online.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar