Oleh Abdul Rahman Hashim
Heboh di dalam media arus perdana kita mengorkestrakan Perhimpunan TURUN31 Disember 2013 adalah Perhimpunan GULING kerajaan. Pada saya perhimpunan yang digerakkan oleh beberapa NGO ini berjaya dari segi menghimpunkan puluhan ribu orang yang datang atas kesedaran untuk menyatakan kepada kerajaan betapa rimas dan resahnya rakyat akar umbi dengan kenaikan harga barang, kenaikan kadar TOL, kenaikan tarif elektrik, kenaikan harga petrol, pengurangan subsidi gula dan bermacam-macam lagi yang membabitkan kesengsaraan rakyat menjelang tahun 2014
Di sebalik kejayaan itu, kegagalan yang ketara pula dilihat ialah pihak penganjur gagal mencetuskan huru hara, tiada letupan bom selain percikan bunga api oleh penganjur Ambang Tahun Baru 2014@DBKL. Kegagalan menghuru harakan Dataran Merdeka mungkin mengecewakan juga Utusan Malaysia, Berita Harian, TV3 dan pihak media yang sekutu dengannya, kerana begitu lama mereka cuba memutar belitkan matlamat perhimpunan ini diadakan kononnya di situ akan berlaku insiden kerajaan akan DIGULINGKAN oleh pencetus demonstran termasuk mendakyahkan kononnya akan ada letupan bom.
Semuanya AUTA belaka. Datuk Bandar Kuala Lumpur yang mengetuai pekikan Tahun Baru di atas pentas Dataran Merdeka tidak pun terasa dirinya terancam. Begitu juga rakyat seluruh negara pula dihidangkan dengan siaran secara langsung oleh pihak TV tanpa ada rasa was-was akan mara bahaya yang akan menimpa sambutan Tahun Baru kali ini. Jika benar perhimpunan TURUN ini dianggap bahaya, kenapa Bukit Aman tidak menasihatkan Datuk Bandar dan lain-lain VIP supaya jangan hadir; ataupun nasihatkan sahaja agar 'Konsert Ambang Tahun Baru 2014' itu dibatalkan sahaja?
Jika dilihat propaganda yang diputarkan, Dataran Merdeka bagaikan akan bermandi darah, mungkin juga bangunan DBKL akan dirampas, bangunan warisan Sultan Abdul Samad dan Kelab Selangor yang berdekatan dengan Dataran Merdeka mungkin juga turut menjadi sasaran untuk mencetuskan rampasan kuasa. Di situ juga terlalu dekat dengan Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman, Bank Negara, Bank Rakyat, Bangunan CIMB, Kompleks Kerajaan Jalan Dato' Onn serta pusat-pusat membeli belah di Sogo, Pertama Complex, Stesen LRT di Masjid Jamek juga berdekatan, Pasar Seni, Daya Bumi, Maju Junction, Medan Mara kesemuanya memang boleh dimangsakan jika benar peserta himpunan ini hendak menggulingkan kerajaan. Semuanya mengarut saje.
Siaran berita TV1, TV2 dan TV3 yang dimainkan setiap hari mungkin juga membuatkan denyut nadi emak bapak yang berada di kampung turut menjadi risau. Termiang-miang di benak hati mereka, apakah anak-anak mereka juga terlibat untuk menggulingkan kerajaan? Saya cuma terfikir, apakah kerajaan akan mengisytiharkan darurat, jika benar perhimpunan membela rakyat itu mampu menggulingkan kerajaan? Jadi, apabila semuanya itu tidak berlaku, bukankah itu hanya suatu gertakan yang hendak menakut-nakutkan orang ramai sehingga warga kota menjadi gelisah tentang keselamatan diri mereka menjelang ambang tahun baru 2014. Jika ia merupakan suatu gertakan untuk menakut-nakutkan rakyat, jelas terbukti strategi dan taktik bodoh itu tidak menjadi, sebaliknya berbondong-bondong rakyat yang menyertainya tanpa rasa takut pun. Mereka memaparkan sepanduk-sepanduk yang bercirikan kekecewaan di atas kenaikan harga barang yang akan berkuatkuasa 1 Januari 2014.
Syukur Alhamdulillah, akhirnya pihak polis bertindak bijak kerana mereka tidak melakukan apa-apa kekasaran yang boleh menyebabkan tercetusnya kekacauan. Tidak ada semburan 'water canon' yang dihalakan kepada para demonstran, tidak ada yang pecah kepala akibat pukulan cota FRU, tidak berlaku keganasan seperti yang disangka, letupan bom juga tidak kedengaran. Tidak pula kedengaran kereta ambulan untuk membawa demonstran yang tercedera atau yang terbunuh ke hospital. Para demonstran wajarlah berterima kasih kepada pihak polis, kerana keselamatan semua demonstran dan orang awam sentiasa dikawal rapi oleh mereka. Saya tidak bersetuju jika para demonstran tidak dapat menerima hakikat ini!
Walaupun perhimpunan aman ini telah bersurai tanpa insiden berat yang berlaku, namun saya yakin pihak media terutamanya Utusan Malaysi sentiasa tidak berpuas hati dengan kejayaan Perhimpunan TURUN ini. Tentu ada manipulasi dan putar belit lain yang akan digembar gemburkan dalam melaporkan berita untuk memburukkan keadaan. Media ini tidak pernah positif terhadap mereka, maka sebab itu Utusan sering kalah dalam beberapa kes samannya terutama berkaitan dengan gelombang seumpama ini. Kebencian dan sakit hati terhadap akhbar seperti ini menyebabkan ia menjadi liabliti kepada UMNO dan kerajaan.
Saya juga yakin pihak penganjur tentunya berpuas hati di atas kejayaan mereka itu. Namun yang pasti belum tentu pihak kerajaan boleh akur dengan bantahan dan tuntutan TURUN kerana tuntutan itu dianggap didalangi oleh musuh politik UMNO/BN, walaupun tidak semua tuntutan itu berniat jahat. Apa pun, kita mengharapkan pihak kerajaan dapat mendengar rintihan rakyat dan jangan berlengah untuk melakukan muhasabah agar rakyat tidak merasa kecewa lagi. Jangan biarkan derita rakyat berlarutan, kerana ia boleh membahayakan masa depan UMNO/BN. Wallahu'alam.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar