Pengerusi Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) Mohamad Azan Safar (gambar) menyifatkan perhimpunan yang berlangsung dengan aman malam semalam berjaya dan mendakwa disertai 50,000 peserta menolak tuduhan bahawa Turun merupakan himpunan untuk mengulingkan kerajaan.
"Himpunan ini juga diakhiri dengan lagu Negaraku sebaik saja menjelang tahun 2014 sebagai simbolik bahawa rakyat Malaysia benar-benar cintakan negara, sekali gus menafikan himpunan ini adalah usaha untuk menggulingkan kerajaan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Malah, Azan yang sebelum ini pernah ditahan polis gara-gara penglibatanya dengan Turun turut memuji kerjasama baik yang diberikan pihak berkuasa dalam memastikan perhimpunan dijalankan dengan aman.
Tambahnya, kejayaan himpunan Turun merupakan kemenangan tersendiri sebagai pemulaan kepada perjuangan tahun 2014 yang lebih mencabar.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak polis dan DBKL yang telah memberikan kerjasama terbaik dalam memastikan himpunan malam tadi berlangsung dengan aman.
"Dan tahniah kepada rakyat yang berjaya menganjurkan himpunan buat rakyat pada malam tadi," katanya.
Semalam, perhimpunan Turun yang membantah siri kenaikan barangan dan perkhidmatan oleh kerajaan pada malam sambutan tahun baru telah berjaya menawan Dataran Merdeka dengan kehadiran kira-kira 10,000 peserta.
Bagaimanapun jumlah kehadiran peserta demostrasi berbeza dengan apa yang dinyatakan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Zainuddin Ahmad dalam sidang medianya semalam apabila menyebut hanya 5,000 orang yang terlibat dalam perhimpunan tersebut.
Mengulas mengenai jumlah penglibatan peserta Turun yang begitu ramai, Azan berkata ia membuktikan betapa rakyat Malaysia sebenarnya terbeban dengan peningkatan kos sara hidup.
Terdahulu Kaji selidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (UMCEDEL) ketika mendedahkan hasil kajian mereka sebelum ini memberi amaran kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) agar menangani kenaikan kos sara hidup sekiranya mereka masih ingin memerintah selepas Pilihan Raya Umum ke-14.
Malah, beberapa pemimpin BN turut menyuarakan hasrat agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memandang berat hasil kajian berkenaan meskipun Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan memberi jaminan kerajaan sedang berusaha untuk tidak membebankan rakyat dengan kenaikan berkenaan.
Malam semalam peserta demonstrasi yang berarak dari lokasi berbeza di ibu negara, iaitu di hadapan kompleks membeli belah Sogo, Masjid Jamek sebelum bertemu di Dataran Merdeka telah berjaya melepasi tiga halangan polis untuk memasuki kawasan padang.
Kemuncak himpunan Turun menyaksikan tiada percikan bunga api dan konsert ambang Tahun baru pula terpaksa ditamatkan sebelum detik jam 12 malam.
Tidak seperti demonstrasi sebelum ini, tiada sebarang kekerasan atau tangkapan yang dilakukan pihak berkuasa.
Bagaimanapun Ketua Polis Daerah Dang Wangi mengesahkan dua orang anggotanya telah cedera ditangan akibat jatuh semasa peserta demonstrasi melepasi halangan pihak berkuasa.
Malah pihaknya turut melaporkan menjumpai senjata yang ditinggalkan di tepi jalan sebelum perhimpunan bermula.
Katanya, senjata iaitu empat parang dan 13 pisau dijumpai di tepi longkang Kompleks Daya Bumi .
Zainuddin berkata akan menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat kejadian tersebut termasuk mengenal pasti dalang terlibat agar dakwaan dapat dilakukan.
Beliau juga berkata, beberapa pemimpin pembangkang juga turut dikenalpasti terbabit dengan insiden semalam namun tidak mendedahkan nama pemimpin tersebut.
Pengarah Strategik PKR Rafizi Ramli, ahli Parlimen Bukit Katil Shamsul Iskandar Mat Akin, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub dan beberapa pemimpin pembangkang turut kelihatan dalam perhimpunan Turun semalam. – 1 Januari 2014.TMI
Tidak ada komentar:
Posting Komentar