Rabu, 01 Januari 2014

Wanita sarat mengandung antara dicekup di malam tahun baru

  • Bawa dua anak lakukan maksiatSanggup ibu ini membawa anaknya bersama ke sebuah hotel untuk melakukan maksiat.
 1 / 5 
GEORGETOWN - Sanggup seorang ibu membawa dua anaknya yang masih kecil ‘menemaninya’ melakukan maksiat.

Ibu yang berstatus isteri orang itu dicekup Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JAINPP) melalui Ops Ambang Maksiat 2014 di sebuah hotel apartmen di sini.

Melalui operasi yang bermula jam 2 pagi itu mendapati seorang lelaki dengan selamba berada di ruang tamu bilik hotel berkenaan sedangkan wanita berkenaan berada di dalam bilik tidur.

Lebih mengejutkan apabila penguatkuasa juga terjumpa dua kanak-kanak perempuan berusia tiga dan enam tahun di sebuah lagi bilik tidur.

Dalam nada selamba lelaki tersebut mengaku dia ditemani rakannya sedangkan selepas penguatkuasa membuat pemeriksaan wanita itu pula mengaku lelaki tersebut sebagai suaminya.

Jawapan yang berbeza itu akhirnya menyebabkan kegiatan maksiat mereka dapat dihidu JAINPP sehingga membuktikan kedua-dua mereka berstatus suami dan isteri orang lain.



Wanita sarat mengandung turut dicekup

Bukan itu saja, seorang wanita yang sarat mengandung lapan bulan turut dicekup bersama teman lelakinya di sebuah hotel.

Wanita yang ditangkap dalam keadaan menggeletar dalam sebuah bilik itu mengaku anak yang dikandungnya adalah hasil hubungan dengan teman lelakinya itu, namun sebaliknya lelaki tersebut tidak mengaku.

“Itu bukan anak saya, itu anak dia dengan orang lain,” kata lelaki tersebut.


Terpaksa masuk ikut tingkap

Sementara itu, di salah sebuah hotel di Tanjung Tokong di sini, lima penguatkuasa terpaksa berhempas pulas memasuki sebuah bilik melalui tingkap tandas.

Hampir 30 minit lamanya penguatkuasa mengetuk pintu dan memberikan amaran, namun kedua-dua pasangan yang berusia lingkungan 20an itu tetap tidak mahu membukanya.

Disebabkan itu, tingkap kecil setinggi lebih satu meter terpaksa dipanjat oleh salah seorang penguatkuasa dan kemudiannya membuka pintu bilik air.

“Kenapa tak mahu buka pintu? Sikap degil anda begini hanya membuatkan ramai orang susah,” tegur Ketua Unit Operasi dan Penguatkuasaan, Khairul Azman Azizan.
"Kami takut, saya rasa gementar," demikian jawapan lelaki tersebut.

Sementara itu, teman wanitanya duduk tersorok di tepi almari solek dan bertindak degil apabila cuba disiasat oleh penguatkuasa wanita.


Adik-beradik dicekup

Manakala, dua adik-beradik lelaki turut dicekup atas kesalahan berkhalwat dengan pasangan masing-masing di sebuah hotel murah di Tanjung Bungah, di sini.

Mereka menempah hotel yang sama namun kedua-duanya dicekup di tingkat yang berlainan.

Di hotel yang sama, seorang kakitangan awam turut ditahan bersama pasangannya.

Lelaki tersebut memberitahu dia hanya singgah di hotel berkenaan selepas selesai kerjanya untuk sambutan malam tahun baru di Padang Kota Lama.


39 individu ditahan

Khairul Azman berkata, Operasi Ambang Maksiat 2014 itu dijalankan di Daerah Timur Laut, Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Selatan (SPS).

Menurutnya, operasi yang bermula dari jam 2 hingga 7 pagi itu berjaya menahan 39 individu mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996 atas kesalahan berkhalwat.

Jika sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara, ataupun kedua-duanya sekali.

“Kali ini operasi yang dijalankan berbeza kerana kami hanya menumpukan Seksyen 27 berbanding dengan Seksyen 29 iaitu perbuatan tidak sopan, ini memandangkan faktor cuti dan juga sumber maklumat yang diterima.

“Kami menerima maklumat hotel di kawasan-kawasan panas telah penuh ditempah, dan kebanyakan mereka ini datang untuk menyambut tahun baru yang mana persembahan bunga api dinanti sejak jam 8 malam hingga 12 tengah malam'

"Jadi selepas waktu itu mereka sudah letih dan melihatkan situasi dan pengalaman kami mendapati mereka akan mendaftar masuk ke hotel.

“Jika sambutan ini diadakan pada hujung minggu kemungkinan yang melakukan Seksyen 29 lebih ramai kerana ramai yang akan menghabiskan masa di tepi pantai dan sebagainya,” katanya.

Operasi itu turut disertai Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JAINPP, Yusuff Ahmad dan 20 penguatkuasa. - Sinar

Tidak ada komentar:

Posting Komentar