Rabu, 19 Februari 2014

Kassim Ahmad ibarat bongkah ais di permukaan laut



Pelbagai pihak melahirkan kritikan terhadap kenyataan tidak beradab serta bertentangan dengan prinsip Islam yang dikeluarkan oleh Kassim Ahmad.

Kenyataan beliau bukanlah perkara baru, bahkan buku beliau turut diharamkan dan diyakini boleh membawa kerosakan akidah.

Pelbagai fatwa serta kecaman telah dilakukan sebelum ini, nampaknya ia tidak berkesan untuk mengubah pendirian dan kefahaman salahnya terhadap ajaran Islam.


Melihat latar belakang beliau, pandangannya bukanlah sesuatu yang pelik kerana kejahilan adalah musuh utama manusia, namun tidak menyedari kejahilan adalah lebih besar lagi.

Lantaran itu wujudnya istilah seperti jahil murakab, iaitu seseorang yang tidak menyedari bahawa ia tidak mengetahui. Atau dalam bahasa biasa "dia tidak tahu yang dia tidak tahu.”

Kalaulah ia hanya sekadar Kassim Ahmad, mungkin tidaklah besar sangat untuk diulas dan diberi perhatian.

Namun bilamana pemikiran salah ini diterima dan dibahas sebagai suatu pemikiran yang dianggap hebat, maka ia akan menjadi masalah.

Ia ibarat bongkah ais di atas permukaan laut, walau yang kelihatan hanya seketul ais yang kecil, namun di bawahnya jauh lebih besar dari apa yang dilihat.

Apa perlu dibuat?

Pihak berkuasa agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) khususnya, dan majlis agama Islam negeri mesti melihat isu ini secara serius untuk diatasi.

Sekadar mengeluarkan fatwa sahaja tanpa tindakan hanya akan menjadikan ia satu bahan ketawa masyarakat.

Kalau ajaran al-Arqam diburu sehingga akar umbinya, maka sepatutnya ajaran yang menyimpang ini juga mesti diatasi.

Saya melihat serangan dan kecaman tidak akan menyelesaikan masalah. Kefahaman salah beliau perlu diperbetulkan melalui perbincangan dan diskusi yang penuh hikmah.

Memang pelik pemikiran beliau, akan tetapi ia bukanlah sesuatu yang sukar untuk diatasi.

Ambil contoh gesaan beliau agar al-Quran ditafsir semula, dan pentafsirannya mestilah berdasarkan al-Quran sahaja, bukan Hadis dan bukan pandangan para sahabat atau para alim ulama.

Persoalannya, kalau beliau menolak Hadis, bagaimana beliau boleh beriman dengan al-Quran kerana al-Quran diturunkan kepada Rasulullah dan Baginda membacakan al-Quran ini?

Umpamanya, di dalam al-Quran, Allah memerintahkan sujud, bagaimana kita nak tahu cara perbuatan sujud tersebut kalau bukan melalui cara yang ditunjukkan Rasullulah?

Demikian juga puasa, zakat dan seluruh ajaran al-Quran. Kalaulah Rasulullah bukan pentafsir kepada al-Quran, apakah kita lebih layak mentafsirnya?

Kassim Ahmad, dan orang-orang Islam yang lain yang jelas dilihat keliru perlu dipanggil, diperbetulkan dan diberi kefahaman sebenar terhadap kekeliruan tersebut.

Seandainya beliau telah dipanggil dan diberi penjelasan, maka jangan pula ada penganjur yang merasai hebat pemikiran salah beliau sehingga sanggup menganjurkan wacana pemikiran beliau.

Lebih dukacita beberapa orang mufti dan pemimpin agama yang biasa cepat mengeluarkan pandangan yang melibatkan pembangkang terus diam membisu tidak mengeluarkan kenyataan kecaman sebagaimana biasa.

Apakah ini membuktikan politik melebihi segalanya termasuk isu akidah bagi mereka ini? Wallahu a'lam.

Yang dikhuatiri PAS ialah tindakan mereka yang sudi membisu dalam hal ini akan dilihat oleh orang yang jahil bahawa apa yang disebut Kassim Ahmad boleh diterima.

JAKIM perlu memanggil penganjur dan mendapatkan keterangan, bahkan pihak berwajib perlu bertindak kerana pelbagai pihak telah membuat laporan polis untuk tindakan seterusnya.


DATUK TUAN IBRAHIM TUAN MAN naib presiden PAS dan pengerusi lujnah dakwah PAS.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar