Pembunuhan kejam pejuang demokrasi kelahiran Myanmar di Ampang melahirkan kebimbangan rakyat Myanmar di Malaysia jika ketegangan agama di tanah air mereka merebak ke dalam komuniti mereka yang sangat kecil di sini, kata satu laporan hari ini.
Polis berkata, Ko Aung Gyi, penganut agama Buddha dan ahli Persatuan Jenerasi 88 dan Jenerasi Baru - kumpulan yang menonjol dalam memperjuangkan demokrasi di Myanmar ditemui mati pada 4 Februari lalu.
Mayat aktivis berusia 43 tahun itu ditemui dalam bonet kereta terbiar.
Laporan autopsi menunjukkan kemungkinan dia ditikam di tengkok dan muka dengan pemutar skru, diserang dengan benda berat, kemungkinan batu bata dan ditumbuk beberapa kali.
"Saya sangat takut," kata Myat Ko Ko, seorang penganut Buddha yang pernah berdemonstrasi bersama Aung Gyi untuk menuntut demokrasi di Myanmar."Apa yang berlaku kepada Aung Gyi juga boleh berlaku kepada aktivis lain," katanya dipetik oleh Asian Wall Street Journal dalam laporannya semalam.
Kematian Aung Gyi berlaku dalam minggu sama dengan kejadian dua ahli politik Buddha dari daerah bergolak Myanmar iaitu Rakhine yang terselamat daripada tembakan ketika melawat Kuala Lumpur, dalam kejadian disifatkan polis sebagai percubaan membunuh.
Aye Maung, peguam, dan Aye Thar Aung, Presiden Liga Demokrasi Arakan, kumpulan yang memperjuangkan hak etnik Buddha Rakhine berkata pada sidang media, 'pengganas agama' terlibat dalam cubaan untuk membunuh mereka.
Polis Malaysia bagaimanapun tidak memberikan motif atau mengenal pasti orang yang disyaki dalam serangan itu.
Polis berkata, tiada bukti sehingga kini yang mengaitkan kedua-dua kejadian itu dan pilis akan menyiasat kedua-dua kejadian itu daripada semua sudut untuk mengenal pasti motif.
Kebangkitan sentimen anti-Islam di Myanmar mengganggu perubahan politik, dengan majoriti Buddha melawan minoriti, khasnya di Rakhine yang bersempadan dengan Bangladesh.
Lebih 150,000 masih tidak ada tempat tinggal selepas keganasan yang tercetus sehingga memaksa mereka meninggalkan rumah dan tinggal di tempat tinggal sementara, lapor media.
Pertempuran merebak ke kawasan lain di negara itu sepanjang tahun lalu, membunuh sekurang-kurangnya 150 mangsa yang kebanyakannya beragama Islam.
Pakar keselamatan memberikan amaran ketegangan ini boleh merebak ke kawasan lain di Asia Tenggara, khasnya di Malaysia yang mempunyai majoriti penduduk Islam dan Indonesia yang simpati dengan nasib umat Islam di sana dan membalas dendam.
Malaysia sangat terdedah kepada apa yang berlaku ini, kerana mempunyai penduduk Myanmar yang beragama Buddha dan Islam yang ramai, lapor sebuah harian perniagaan.
Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi orang pelarian berkata, 34,368 Rohingya didaftarkan sebagai pelarian di Malaysia, bersama 7,940 etnik Rakhine.
Dijangka ribuan rakyat Myanmar berada di Malaysia secara haram atau menunggu didaftarkan sebagai pelarian. Kebanyakan etnik Rakhine adalah Buddha, manakala Rohingya adalah Islam.
Aktivis Myanmar beragama Buddha di Malaysia memberitahu The Wall Street Journal, mereka bimbang dengan keselamatan mereka.
Manakala umat Islam Myanmar yang tinggal di Malaysia pula bimbang mereka dituduh terlibat dalam serangan itu dan menjadi sasaran keganasan.
"Saya belum pernah mendengar Rohingya membunuh aktivis atau ahli politik sepanjang hidup saya," kata Abdul Hamid Musa Ali, Presiden Persatuan Rohingya Malaysia, kumpulan yang menyediakan bantuan kepada Rohingya Muslim di negara ini.
"Jika Rohingya ini berani, mereka akan kekal di Rakhine dan berjuang di sana,” katanya.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar bimbang dengan merebaknya ketegangan antara Buddha - Islam di Myanmar.
"Kami mengikuti perkembangan di Myanmar secara dekat," kata Khalid.
Pada Jun, keganasan yang berlaku di Rakhine menyebabkan empat mati di Malaysia dan 15 lagi cedera, semuanya penganut Buddha Myanmar.
San Win, Buddha Myanmar yang tinggal di Malaysia berkata, dia dan Aung Gyi menerima ancaman bunuh selepas itu.
San Win berkata, dia dan rakan-rakannya sangat bimbang berikutan pembunuhan rakan-rakannya.
Pada Mei lalu, beberapa rakyat Indonesia ditahan kerana didakwa cuba mengebom kedutaan Myanmar di Jakarta.
Tertuduh kemudiannya mengaku membuat rancangan itu, dengan berkata mahu membalas dendam dengan pembunuhan yang berlaku ke atas umat Islam di Myanmar.
Indonesia mempunyai bilangan umat Islam teramai di dunia. – 20 Februari, 2014. - TMI
Tidak ada komentar:
Posting Komentar