PETALING JAYA: Bekas calon Ketua Pemuda Umno, Syed Rosli Syed Harman al Jamalulail mempersoal tindakan Majlis Fatwa Kebangsaan yang berani membidas Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua tetapi tidak berani membidas Menteri Pelancongan, Datuk Seri Nazri Aziz yang mempertikaikan keputusan majlis itu melarang umat Islam menyambut Hari Kekasih.
Katanya, tindakan double standard pengerusinya, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin menunjukkan bahawa Majlis Fatwa bersikap pilih kasih
.
.
“Bagaimana orang bukan Islam nak hormati Majlis Fatwa kalau majlis itu hanya berani menegur orang bukan Islam sedangkan orang Islam yang membuat kenyataan yang sama terlepas,” katanya kepada FMT.
Dalam akhbar harian hari ini, Dr Shukor menggesa Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu supaya tidak menyerlahkan kejahilannya dalam isu berkaitan agama Islam.
Katanya, fatwa berkaitan Hari Kekasih adalah berdasarkan sudut Islam yang hanya terpakai kepada umat Islam sahaja justeru, tindakan Tony itu dilihat seolah-olah cuba memperlekeh fatwa berkenaan.
“Tindakan ini tidak kena dan dia (Tony) tidak memikirkan sensitiviti umat Islam. Ini adalah negara majmuk dan dia tidak boleh berbuat demikian kerana tidak tahu kesan terhadapnya kelak.
“Kalau tidak melibatkan dirinya, janganlah bising sebab semua ini adalah dari sudut agama Islam,” kata Dr Shukor ketika dihubungi di sini hari ini.
Tony melalui laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini memuat naik satu kenyataan ketika berada di London bersama isterinya.
Kenyataan itu didakwa menyentuh larangan pihak berkuasa agama Islam di negara ini yang mengisytiharkan sambutan Hari Kekasih sebagai haram.
Mengulas lanjut, Abdul Shukor menegaskan, sebagai pemimpin bertaraf wakil rakyat, Tony sepatutnya mempunyai kesedaran sivik, saling menghormati dan bertanggungjawab terhadap segala kenyataannya.
“Saya fikir semua rakyat terutama yang berada di bandar mengetahui berhubung sensitiviti ini. Saya percaya umat Islam tidak akan sampai ke tahap itu untuk membuat provokasi agama,” tegasnya.
Syed Rosli hairan kenapa Pengerusi Majlis itu tidak berani menegur Nazri.
“Adakah takut jawatannya terlucut?” soal beliau.
Nazri sebelum ini mempersoalkan mengapa orang Islam tidak dibenarkan meraikan Valentine’s Day, selain berpandangan sambutan itu bukan sebagai satu bentuk sembahyang.
Nazri turut mengecam PAS atas tindakan parti itu melancarkan kempen menentang Valentine’s Day dan menyifatkannya sebagai ‘mengarut’.
Nazri dilaporkan mengeluarkan kenyataan tersebut sebagai reaksi terhadap kenyataan Menteri agama, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang melancarkan penguatkuasaan pencegahan secara besar-besaran di seluruh negara pada malam 14 Feb lalu.
Pada 22 hingga 24 Nov 2005, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-71 yang bersidang telah membincangkan Hukum Orang Islam Menyambut Perayaan Valentine’s Day.
Muzakarah berpandangan bahawa ajaran Islam amat mengutamakan kasih sayang dan tidak ada hari tertentu di dalam Islam bagi meraikannya.
Oleh itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam dan roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar