Selasa, 25 Februari 2014

Khalid Ibrahim jadi timbalan presiden, ganjaran lepas jawatan MB Selangor?


OLEH MD IZWAN
FEBRUARY 26, 2014
Sumber mendedahkan Khalid cuba bermain 'tarik tali' dalam isu jawatan menteri besar, bersikap seolah-olah tidak mengetahui usaha untuk mengulingkannya. – Gambar The Malaysian Insider, 26 Februari, 2014.Sumber mendedahkan Khalid cuba bermain 'tarik tali' dalam isu jawatan menteri besar, bersikap seolah-olah tidak mengetahui usaha untuk mengulingkannya. – Gambar The Malaysian Insider, 26 Februari, 2014.Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dijangka mendapat sokongan dan pengaruh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding jawatan timbalan presiden parti itu pada April ini, kata satu sumber.
Sumber dalaman PKR memberitahu, perkara itu mungkin berlaku sebagai ganjaran Khalid melepaskan jawatan menteri besar Selangor kepada Anwar selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada 23 Mac ini.
"PRK Kajang ini hanya platform bagi pemilihan parti April nanti," kata satu sumber kepada The Malaysian Insider yang enggan namanya didedahkan.
"Ia menjadi medan masing-masing dalam parti untuk membuktikan keupayaan dan kebolehan."
Anwar dikatakan akan menggantikan menteri besar penggal kedua itu bagi meredakan ketegangan Khalid dan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.
Dengan jawatan presiden semakin hampir menjadi milik Anwar, jawatan kedua tertinggi timbalan presiden akan menjadi rebutan untuk bergandingan bersama-sama ketua pembangkang tersebut.
Ketika ini masih ada belum calon secara terbuka mengumumkan untuk mencabar Azmin. Bagaimanapun sumber memberitahu dua nama ketika ini menjadi sebutan.
Antaranya Khalid dan anak perempuan sulung Anwar, Nurul Izzah yang kini naib presiden PKR.
"Khalid dilihat paling kuat sekali untuk melawan Azmin dan Nurul Izzah pun mungkin bertanding... tapi dengan kes perceraian yang melandanya, mungkin dia akan menarik diri," kata sumber itu merujuk kepada kes perceraian Nurul Izzah dengan suaminya di Mahkamah Rendah Syariah, Kuala Lumpur.
Sumber memberitahu, perkembangan terkini terutamanya tawaran Khalid sendiri untuk menjadi pengarah PRK Kajang dan beberapa langkah populis dalam isu air bertujuan membina imejnya sebagai seorang pemimpin hebat.
"Perlu ingat, ahli PKR paling ramai adalah di Selangor... jika Khalid berjaya dalam pilihan raya kecil kali ini, ia pasti membina momentum untuk pemilihan parti nanti," kata sumber yang mengatakan di Selangor sahaja ahli PKR adalah sebanyak 130,000 orang.
Kebimbangan disuarakan oleh sumber sekiranya Anwar tunduk kepada Khalid yang mahu mendapatkan sokongan daripada beliau untuk bertanding jawatan timbalan presiden.
"Sepatutnya Azmin yang jadi pengarah pilihan raya, tapi Khalid berjaya mengambil alih selepas memaksa Anwar tunduk kepada syaratnya," kata sumber yang mendedahkan antara syarat Khalid sekiranya mahu mengosongkan jawatan menteri besar adalah dengan melantiknya sebagai pengarah pilihan raya.
Malah, sumber mendedahkan sehingga kini Khalid masih belum menandatangani sebarang surat perjanjian untuk melepaskan jawatannya.
"Mana ada dia tandatangani, sampai sekarang pun belum ada apa-apa lagi.
"Ini yang membimbangkan. Khalid mungkin menggunakan surat tersebut untuk paksa Anwar sokong dia," katanya sumber itu lagi.
Tidak menolak sokongan akar umbi masih lagi memihak kepada Azmin, sumber menegaskan situasi tersebut akan berubah sekiranyaAnwar sendiri menyokong Khalid untuk bertanding.
Sumber mendedahkan Khalid cuba bermain "tarik tali" dalam isu jawatan menteri besar, bersikap seolah-olah tidak mengetahui usaha untuk mengulingkannya.
Khalid sehingga kini masih belum memberikan sebarang isyarat untuk bertanding dalam pemilihan parti, namun Azmin sejak awal sudah memulakan kempen mempertahankan jawatannya.
Khalid dan Azmin sering tidak sekata serta menimbulkan banyak pertikaian dalam banyak perkara, antaranya baru-baru ini dalam isu melibatkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
Pemilihan PKR akan bermula 25 April dan berakhir pada 11 Mei ini. Penamaan calon di peringkat pusat akan diadakan pada 29 Mac.
Bagi peringkat cawangan pula, ia akan diadakan mengikut zon bermula 4 hingga 13 April ini. – 26 Februari, 2014. - TMI

Tidak ada komentar:

Posting Komentar