Rasanya tidak salah untuk ibu bapa bersikap sedikit cerewet apabila memilih pusat jagaan harian. Selepas beberapa laporan kematian bayi tersedak susu, ada pula ibu yang membuat intipan cara moden dan terkejut apabila mendapati pengasuh memukul anak mereka.
Itu mungkin kes terpencil, tetapi tidak salah untuk kita lebih berhati-hati. Kita tidak mahu anak kecil ini ‘diperdagangkan’ secara sulit seperti yang berlaku di sebuah kampung pedalaman di Filipina.
Ketika kanak-kanak kecil di sebuah pusat jagaan harian leka bermain, tiga kanak-kanak di rumah sebelah dipaksa menjadi pelakon untuk melakukan aksi seks yang ditayangkan secara langsung melalui Internet dan dapat disaksikan di seluruh dunia.
Aksi menjijikkan yang berlaku di rumah banglo itu turut diulang berkali-kali secara rahsia di kebanyakan rumah di Ibabao, kampung terpencil di Pulau Cebu di mana pornografi Internet kanak-kanak sudah memasuki 5,000 rumah penduduk dan dianggap aktiviti lebih menguntungkan berbanding menangkap ikan atau bekerja di kilang.
Aksi menjijikkan yang berlaku di rumah banglo itu turut diulang berkali-kali secara rahsia di kebanyakan rumah di Ibabao, kampung terpencil di Pulau Cebu di mana pornografi Internet kanak-kanak sudah memasuki 5,000 rumah penduduk dan dianggap aktiviti lebih menguntungkan berbanding menangkap ikan atau bekerja di kilang.
“Pada mulanya saya amat terkejut, tidak percaya perkara ini berlaku di bandar saya,” kata Datuk Bandar, Adelino Sitoy, sejurus selepas polis mengumumkan mereka berjaya menjejaki rantaian pedofilia (keinginan melakukan hubungan seks dengan kanak-kanak atau ada kecenderungan seksual terhadap kanak-kanak) yang ditayangkan secara langsung. Paling mengejutkan, Ibabao menjadi penyumbang atau sumber pornografi kanak-kanak.
Ketika kampung terpencil itu mendapat perhatian, pihak berkuasa dan badan yang memperjuangkan hak kanak-kanak berkata, industri lucah itu berjangkit dan merebak dengan pantas di kebanyakan kawasan di Filipina khususnya membabitkan keluarga miskin apabila ribuan kanak-kanak sudah menjadi mangsa penderaan seksual.
Sekali imbas, Ibabao adalah kampung nelayan yang terletak 550 kilometer di selatan Manila. Penduduknya amat akrab kerana kebanyakannya ada pertalian persaudaraan atau mempunyai hubungan baik sejak dulu lagi dengan jiran. Mereka juga dilihat sering ke gereja.
Namun polis dan pihak berkuasa berkata, di dalam rumah separa kayu yang kecil, ramai ibu bapa mengarahkan anak mereka melakukan aksi seks di depan kamera web yang disambungkan ke Internet dan dijual kepada kaki pedofilia luar negara. Ada juga kanak-kanak yang diperdaya masuk ke rumah jiran dan akhirnya dipaksa melakukan aksi lucah itu, kata mereka.
Sitoy berkata, ada banyak faktor yang membuatkan perdagangan seks secara dalam talian itu berkembang dengan pesat antaranya kanak-kanak dikurung secara rahsia di rumah, kedudukan Ibabao yang terpencil dan sikap tidak peduli ketua kampung, apatah lagi jika mereka mempunyai saudara-mara yang terbabit dalam jenayah berkenaan.
Pemburuan besar-besaran hanya dilakukan apabila sesetengah daripada rakaman video itu sampai ke rumah warga Britain yang sememangnya terkenal sebagai kaki pedofilia. Pada Mac lalu, lelaki ini dihadapkan ke mahkamah dan dijatuhkan hukuman penjara lapan tahun.
Sejurus selepas itu, polis Filipina mengadakan serbuan di Ibabao dan kawasan berhampiran dengan bantuan pihak berkuasa Britain, Australia dan Amerika Syarikat. Dalam satu serbuan pada September tahun lalu, polis dan pekerja sosial memasuki rumah banglo di sebelah pusat jagaan harian berkenaan dan menahan sepasang suami isteri serta menyelamatkan tiga anak mereka yang berumur tiga, sembilan dan 11 tahun. Dua hari kemudian, 13 lagi kanak-kanak diselamatkan daripada beberapa rumah lain.
Penduduk Ibabao kini amat curiga dengan kemasukan orang luar, tetapi ada yang bersetuju untuk membuka mulut dengan syarat identiti mereka dirahsiakan.
Mereka memberitahu ‘sarang seks siber’ masih terus beroperasi di kampung itu, tetapi tiada penduduk yang melaporkannya atas faktor keselamatan. Selain itu, budaya penduduk Filipina yang tidak suka menjaga tepi kain orang turut membantu jenayah itu terus dilakukan.
Seorang suri rumah, Jennifer Canete, 38, yang bersedia bercakap mengenai jenayah itu secara terbuka mengesahkan ramai penduduk yang terbabit dan dia bimbangkan keselamatan empat anaknya yang masih kecil, takut mereka juga menjadi mangsa. Ini kerana dia menghantar salah seorang anaknya di pusat jagaan bersebelahan banglo sarang seks siber itu.
“Kami berasa amat marah apabila mengetahui perkara ini. Macam mana mereka boleh lakukan jenayah di sebelah pusat jagaan harian? Kini kami mula bimbang, kami tidak tahu apa akan jadi pada anak-anak kami apabila mereka pergi ke sekolah kerana di sini ramai orang yang terbabit dalam jenayah ini,” katanya.
Pihak berkuasa juga tidak pasti bila perdagangan seks kanak-kanak itu memasuki Ibabao. Namun menurut pekerja sosial, seorang wanita Filipina yang dipercayai menganggotai kumpulan penjenayah datang ke kampung berkenaan beberapa tahun lalu dan memperkenalkan skim cepat kaya kepada penduduk di situ.
Wanita itu juga mengajar penduduk cara mencari pelanggan daripada laman sembang pornografi dan menerima bayaran melalui pemindahan wang antarabangsa, kata salah seorang pekerja sosial yang meminta identitinya dirahsiakan demi keselamatannya.
Sesetengah operator memujuk kawan anak mereka untuk datang ke rumah dan menjadikan kanak-kanak ini sebagai mangsa. Mangsa diugut supaya menutup mulut jika tidak mahu ibu bapa mereka dicederakan.
Seorang ibu berkata, jirannya pernah mengajaknya untuk turut serta dalam jenayah berkenaan dan menawarkan RM320 untuk satu sesi - jumlah yang amat lumayan bagi penduduk yang kebanyakannya mempunyai pendapatan kira-kira RM22 sehari. Jirannya memujuk dengan mengatakan mereka tidak perlu mengadakan sebarang sentuhan fizikal.
“Saya berasa amat marah. Sejak dulu kami diajar untuk melindungi dan me-nyayangi anak kami. Kami memang bukan orang kaya, tetapi kami juga bukanlah terlalu miskin atau terdesak. Ini perbuatan terkutuk,” katanya.
Bagaimanapun, seperti penduduk lain yang bimbangkan keselamatan mereka, dia juga tidak membuat laporan polis. Namun dia cuba sedaya upaya menjauhkan diri daripada mereka yang diketahui terbabit dalam jenayah itu bagi mengelakkan sebarang masalah.
Ketika mengumumkan kehancuran rangkaian pedofilia, Agensi Jenayah Nasional Britain berkata, 11 orang sudah ditangkap di Filipina pada pertengahan Januari lalu dan 18 lagi tangkapan dibuat di negara lain di seluruh dunia manakala 733 suspek masih ditahan untuk siasatan.
Andrey Sawchenko, Ketua Misi Keamanan Filipina (IJM) yang membantu dalam penangkapan berkenaan berkata, 39 kanak-kanak diselamatkan di Ibabao dan kawasan lain di negara itu.
Tetapi dia percaya, masalah sebenar jauh lebih besar dan serius. Masih ramai penjenayah yang bebas dan aktif menjalankan perdagangan seks siber membabitkan kanak-kanak. Agensi Jenayah Nasional Britain juga menyifatkan penderaan seksual kanak-kanak secara dalam talian itu sebagai ‘ancaman yang semakin membimbangkan.’
Dalam satu kenyataannya berbunyi: kedaifan hidup, kewujudan perkhidmatan Internet yang semakin pantas dan adanya pelanggan kaya dari luar negara mendorong kumpulan penjenayah mengeksploitasi kanak-kanak demi mengaut keuntungan.
Kumpulan pejuang hak kanak-kanak Belanda, Terre des Hommes menganggarkan di Filipina saja ‘berpuluh-puluh ribu’ kanak-kanak dianiaya dalam industri seks siber ini. Tahun lalu kumpulan ini mencipta kanak-kanak perempuan warga Filipina berumur 10 tahun secara maya dan dia ‘dihantar’ ke laman sembang bagi menarik minat kaki pedofilia.
Dalam tempoh 10 minggu, 20,000 orang daripada 71 negara cuba berkenalan dengan gadis maya ini dan memintanya melakukan aksi atau persembahan seks. Maklumat kaki pedofilia itu dikumpulkan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Mungkin jenayah seperti ini tidak berlaku di negara kita, tetapi tidak rugi jika ibu bapa meluangkan lebih masa dan memantau pergerakan anak-anak kita demi keselamatan mereka. - myMetro
Tidak ada komentar:
Posting Komentar